Duterte bakal berdepan pra perbicaraan ICC berkait pembunuhan perang dadah
Duterte bakal berdepan pra perbicaraan ICC berkait pembunuhan perang dadah
THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte akan berdepan pendengaran pra perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bermula Isnin, 23 Februari bagi menentukan sama ada beliau akan dibicarakan atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen keras antidadah.
Pendengaran selama empat hari yang dikenali sebagai “pengesahan pertuduhan” itu bertujuan menilai sama ada terdapat bukti mencukupi untuk meneruskan kes ke perbicaraan penuh. Selepas sesi berakhir, panel hakim mempunyai tempoh 60 hari untuk mengeluarkan keputusan bertulis.
Encik Duterte, 80 tahun, dijangka tidak hadir secara fizikal di mahkamah di The Hague selepas pasukan pembelaannya memohon pengecualian kehadiran walaupun hakim memutuskan beliau sihat untuk mengambil bahagian.
Pendakwa ICC mendakwa Encik Duterte terlibat sekurang kurangnya dalam 76 pembunuhan antara 2013 hingga 2018, merangkumi tempohnya sebagai Datuk Bandar Davao dan kemudian sebagai presiden Filipina dari 2016 hingga 2022.
Pertuduhan pertama melibatkan 19 pembunuhan ketika beliau memimpin Davao City antara 2013 hingga 2016.
Pertuduhan kedua berkaitan 14 pembunuhan individu yang dikategorikan sebagai sasaran bernilai tinggi pada 2016 dan 2017 semasa beliau menjadi presiden.
Pertuduhan ketiga pula melibatkan 43 kematian dalam operasi pembersihan terhadap pengguna dan pengedar dadah peringkat rendah antara 2016 hingga 2018.
Jumlah sebenar kematian dipercayai jauh lebih tinggi dan mungkin mencecah ribuan, menurut peguam mangsa.
Peguam Duterte, Encik Nicholas Kaufman berkata bekas presiden itu menolak semua tuduhan. “Encik Duterte bersedih atas kematian berkaitan jenayah dadah, tetapi beliau menafikan sebarang kaitan dengannya,” katanya. “Tiada dasar untuk membunuh suspek seperti didakwa pendakwa raya dan tiada konspirasi dengan pegawai lain.”
Kempen antidadah dilancarkan Encik Duterte sejurus beliau menjadi presiden pada Jun 2016 dengan janji menghapuskan jenayah narkotik secara menyeluruh. Langkah itu bagaimanapun dikecam kumpulan hak asasi manusia kerana pembunuhan di luar proses undang undang.
Sebelum itu ketika menjadi datuk bandar Davao, beliau terkenal dengan pendekatan keras terhadap jenayah. Pada 2016 beliau pernah berkata secara terbuka pernah menembak suspek jenayah.
“Di Davao saya lakukan sendiri untuk tunjukkan kepada polis bahawa ia boleh dilakukan,” katanya ketika itu.
Selepas ditahan di Manila pada Mac tahun lalu dan dibawa ke Belanda, Encik Duterte menyatakan beliau bertanggungjawab terhadap kempen tersebut. “Saya yang memimpin pasukan penguatkuasaan. Saya kata saya akan lindungi kamu dan bertanggungjawab atas semua ini,” katanya dalam rakaman video.
Pemantau Hak Asasi Manusia menyifatkan pendengaran itu langkah penting. “Ia langkah kritikal memastikan keadilan kepada mangsa perang dadah Filipina,” kata penasihat undang undang antarabangsa kumpulan itu, Vik Maria Elena Vignoli. “Kes ini menunjukkan keazaman mangsa dan keluarga mereka menuntut keadilan walaupun berdepan risiko.”
Filipina keluar daripada ICC pada 2019 atas arahan Encik Duterte, namun mahkamah memutuskan ia masih mempunyai bidang kuasa bagi jenayah antara 2011 hingga 2019. Pasukan pembelaan telah merayu keputusan itu dan masih menunggu hasilnya.
Kes ini juga berlangsung ketika ICC berdepan tekanan politik termasuk sekatan Amerika Syarikat sejak Jun 2025.
Walaupun berdepan perbicaraan antarabangsa, Encik Duterte masih mempunyai sokongan kuat di Filipina, khususnya dalam kalangan rakyat yang menyokong pendekatan tegasnya terhadap jenayah.
Keputusan sama ada beliau akan dibicarakan sepenuhnya kini bergantung kepada panel hakim ICC dalam beberapa minggu akan datang. - Agensi berita

