THE HAGUE (Belanda): Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendakwa bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dengan tiga pertuduhan jenayah kemanusiaan.
Ia berhubung penglibatannya dalam sekurang-kurangnya 76 pembunuhan sebagai sebahagian daripada “peperangan membanteras dadah”.
Kertas pertuduhan yang telah banyak disunting bertarikh 4 Julai tetapi hanya diumumkan pada 22 September, memaparkan tuduhan terhadap bekas pemimpin berusia 80 tahun itu, yang kini berada dalam tahanan ICC di The Hague.
Pertuduhan pertama membabitkan dakwaan penglibatannya sebagai pelaku bersama dalam 19 pembunuhan yang dilakukan antara 2013 dengan 2016 semasa Duterte menjadi Mayor Bandar Davao.
Pertuduhan kedua berkaitan dengan 14 pembunuhan yang dipanggil, ‘Sasaran Bernilai Tinggi’, pada 2016 dan 2017 semasa Duterte menjadi presiden.
Sementara itu, pertuduhan ketiga melibatkan sekitar 43 pembunuhan yang dilakukan semasa operasi “pembersihan” atas dakwaan pengguna atau pengedar dadah peringkat rendah.
Ini berlaku di seluruh Filipina antara 2016 dengan 2018, kata pihak pendakwa.
“Skala sebenar penganiayaan semasa tempoh pertuduhan adalah jauh lebih besar, seperti yang ditunjukkan dalam sifat serangan yang meluas,” kata pendakwa raya ICC.
“Serangan itu termasuk beribu-ribu pembunuhan, yang dilakukan secara konsisten sepanjang tempoh pertuduhan,” tambah pendakwa raya.
Tuduhan terhadap Duterte berpunca daripada kempennya selama bertahun-tahun terhadap pengguna dan pengedar dadah yang menurut kumpulan hak asasi manusia telah membunuh beribu-ribu orang.
Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Duterte pada 7 Mac mengandungi satu pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan 43 dakwaan kes pembunuhan.
Tuduhan pendakwa dibuat pada malam sebelum kehadiran Duterte di ICC untuk mendengar tuduhan terhadapnya.
Bagaimanapun, sidang itu ditangguhkan kerana mahkamah mempertimbangkan sama ada Duterte layak untuk mendengar pertuduhan itu.
Peguamnya, Encik Nicholas Kaufman, berkata bahawa anak guamnya tidak boleh dibicarakan akibat gangguan kognitif yang menjejas kebolehan dan kemahiran mentalnya.
Justeru, Encik Kaufman, menggesa ICC supaya menangguhkan prosiding terhadap Duterte selama-lamanya.
Duterte ditangkap di Manila pada 11 Mac, diterbangkan ke Belanda pada malam yang sama dan ditahan di unit tahanan ICC di Penjara Scheveningen sejak itu.
Pada pendengaran awalnya, dia mengikuti pautan video, kelihatan terpinga-pinga dan lemah, hampir tidak berdaya untuk bercakap.
Menurut laporan sebelum ini, Duterte hampir pasti memenangi kerusi Mayor Bandar Davao dalam pilihan raya pada 12 Mei meskipun sedang ditahan di ICC. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg