Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duterte menang awal Datuk Bandar meskipun ditahan ICC

May 13, 2025 | 11:45 AM
Seorang anggota polis berkawal ketika para pengundi beratur di luar pusat mengundi di bandar Panamao, wilayah Sulu, selatan Filipina pada 12 Mei 2025. Jutaan rakyat Filipina keluar mengundi pada 12 Mei dalam pilihan raya separuh penggal yang dilihat secara meluas sebagai referendum terhadap pertelingkahan hebat antara Presiden Ferdinand Marcos dengan Naib Presiden yang dipecat, Cik Sara Duterte
Seorang anggota polis berkawal ketika para pengundi beratur di luar pusat mengundi di bandar Panamao, wilayah Sulu, selatan Filipina pada 12 Mei 2025. Jutaan rakyat Filipina keluar mengundi pada 12 Mei dalam pilihan raya separuh penggal yang dilihat secara meluas sebagai referendum terhadap pertelingkahan hebat antara Presiden Ferdinand Marcos dengan Naib Presiden yang dipecat, Cik Sara Duterte - Foto AFP

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, hampir pasti memenangi kerusi Datuk Bandar Davao dalam pilihan raya pada 12 Mei dengan kemenangan besar, meskipun ketika ini beliau sedang ditahan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan pembunuhan yang diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Dengan 80 peratus undian tidak rasmi telah dikira, Encik Duterte, yang dibawa ke The Hague pada Mac lalu kerana operasi “perang terhadap dadah” yang mengorbankan ribuan nyawa, sedang mendahului pencabarnya dalam pemilihan Datuk Bandar Davao dengan jumlah undi lapan kali ganda lebih banyak.

Kemenangan ini, yang berlaku dalam pilihan raya separuh penggal seluruh negara, menjadi bukti pengaruh berterusan tokoh berusia 80 tahun itu di kota selatan tersebut, hasil reputasinya sebagai pembanteras jenayah yang pernah digelar Duterte Harry dan The Punisher.

Akaun Facebook lama Duterte dipenuhi ucapan tahniah daripada para penyokong, dengan sebahagiannya menyeru agar beliau “dibawa pulang untuk berkhidmat kepada rakyat”.

“Tahniah, Tatay D! Mari bawa beliau pulang,” tulis salah satu komen.

Encik Duterte berpotensi menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang dibicarakan di ICC.

Penahanan mengejut oleh polis Filipina atas permintaan ICC telah mencetuskan kemarahan para penyokongnya, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penculikan yang didalangi oleh sebuah mahkamah asing.

Beliau mempertahankan tindakan keras terhadap dadah, manakala pasukan guamannya menyatakan penahanan itu tidak sah.

Pihak ICC pula menegaskan bahawa mereka mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa jenayah yang berlaku sebelum Filipina menarik diri daripada perjanjian penubuhan mahkamah itu pada 2019.

Meskipun pertuduhan ICC turut merangkumi dakwaan pembunuhan suspek jenayah oleh “skuad pembunuh” ketika Encik Duterte menjadi Datuk Bandar Davao, yang telah dinafikan olehnya, para penganalisis berpendapat bahawa penahanannya hanya mengukuhkan sokongan terhadap beliau dan keluarganya, bukan sahaja di Davao malah di seluruh negara.

Dua anak lelaki bekas presiden itu juga dijangka memenangi jawatan masing-masing dalam pilihan raya 12 Mei dengan seorang dipilih semula sebagai ahli kongres, manakala seorang lagi menang jawatan Timbalan Datuk Bandar Davao dan berkemungkinan memangku jawatan bapa mereka.

Kekuatan politik dan dominasi keluarga Encik Duterte di Davao mungkin menjadi faktor penting menjelang perbicaraan pemecatan Naib Presiden Filipina, Cik Sara Duterte, yang juga anak beliau.

Sekiranya didapati bersalah, Cik Sara boleh diharamkan seumur hidup daripada arena politik, sekali gus menamatkan sebarang harapan untuk bertanding jawatan presiden.

Ketika ditanya pada 12 Mei mengenai kemungkinan kemenangan bapanya, Cik Sara berkata pihaknya sedang merancang upacara angkat sumpah.

“Peguam ICC berkata, sebaik sahaja kami menerima surat pengisytiharan kemenangan, kami akan bincangkan bagaimana beliau boleh mengangkat sumpah,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg