Topik diikuti
Pergi ke BHkuDuterte dijangka hadir di ICC, kemampuan hadapi perbicaraan jadi tumpuan
Duterte dijangka hadir di ICC, kemampuan hadapi perbicaraan jadi tumpuan
THE HAGUE (Belanda): Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dijangka hadir di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sendiri, dan bukan melalui sidang video, pada 16 September, ketika persoalan mengenai keadaan kognitif dan kemampuannya menghadapi perbicaraan menjadi tumpuan dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen antidadahnya.
Kemunculan itu akan menjadi penampilan awam pertama Duterte, 81 tahun, sejak dia dipindahkan ke tahanan ICC di The Hague pada Mac 2025.
Sebelum ini, dia hanya muncul melalui sidang video pada prosiding awal selepas tiba di Belanda.
Pada 16 September, para hakim akan mendengar hujah mengenai kesihatan dan keupayaannya untuk dibicarakan pada November.
Perbicaraan Duterte dijadual bermula pada 30 November, tetapi peguamnya berhujah masalah ingatannya yang serius menyebabkan dia tidak mampu memahami sepenuhnya kes terhadapnya atau membantu pasukan guaman menyediakan pembelaan.
Ketua peguam belanya, Encik Peter Haynes, berkata dalam dokumen mahkamah bahawa Duterte mengalami masalah ingatan yang ketara sehingga sukar menyimpan maklumat baharu dan mengingati semula perkara tertentu.
Menurut pihak pembelaan, masalah itu begitu serius sehingga Duterte kadangkala tidak dapat mengingati nama peguam utamanya sendiri.
Encik Haynes berkata keadaan tersebut menyebabkan pasukan guaman terpaksa menyediakan pembelaan tanpa mendapat maklumat dan arahan yang bermakna daripada Duterte.
Pendakwa ICC bagaimanapun mengambil pendirian berbeza.
Dalam dokumen berasingan, pihak pendakwa berhujah bahawa Duterte masih mampu menggunakan haknya dalam proses mahkamah secara bermakna dan cukup sihat untuk menghadapi perbicaraan.
Di bawah peraturan ICC, prosiding tidak boleh diteruskan sekiranya seseorang tertuduh tidak mampu memahami pertuduhan atau mengambil bahagian secara bermakna dalam pembelaannya.
Tiga pakar perubatan telah dilantik untuk menilai keadaan Duterte, tetapi laporan penuh penilaian itu tidak didedahkan kepada umum.
Pihak pembelaan mempertikaikan penilaian tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak lengkap dan tidak memadai, selain mahu pakar berkenaan disoal di mahkamah.
Menurut dokumen pembelaan, pakar mendapati Duterte mungkin tidak memberikan usaha sepenuhnya ketika menjalani beberapa ujian tersebut, menyebabkan keputusannya sukar ditafsirkan.
Pakar juga dilaporkan tidak dapat memastikan sama ada prestasi Duterte dalam ujian itu berpunca daripada tindakannya sengaja menunjukkan keadaan lebih buruk daripada sebenar, kurang motivasi atau ketidakupayaan sebenar akibat masalah saraf.
Pihak pembelaan memetik beberapa keputusan pemeriksaan yang menurut mereka menunjukkan tahap masalah ingatan yang dialami Duterte.
Antaranya, dia dikatakan menyangka dirinya hidup pada 2007 atau 2008, percaya usianya 84 atau 85 tahun dan tidak dapat mengingati nama Presiden Amerika Syarikat ketika ini.
Encik Haynes berhujah, masalah tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada keterangan Duterte sendiri boleh dipercayai sekiranya dia dipanggil memberikan keterangan ketika perbicaraan.
Sebagai contoh, katanya, Duterte dilaporkan tidak dapat mengingati bila dia kali terakhir dipilih dalam pilihan raya di Filipina.
ICC sebelum ini, pada Januari, memutuskan bahawa keadaan kesihatan Duterte membolehkannya mengambil bahagian dalam prosiding praperbicaraan dan mengarahkannya agar hadir di mahkamah, bukan sekadar mengikuti prosiding melalui sidang video.
Duterte menjadi Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Datuk Bandar Davao.
Dia ditahan di Filipina pada Mac 2025 berdasarkan waran ICC sebelum diserahkan kepada mahkamah di The Hague.
Kes terhadapnya berpunca daripada kempen antidadah yang dilaksanakan ketika memegang jawatan di Davao dan kemudian sebagai presiden.
Pendakwa mendakwa Duterte terbabit dalam kempen pembunuhan yang meluas dan sistematik terhadap individu yang disyaki terbabit dengan dadah.
Dia berdepan tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, dengan pendakwa mengaitkannya dengan sekurang-kurangnya 76 pembunuhan antara 2013 dengan 2018.
Waran tangkap ICC pula mengaitkan Duterte dengan kempen yang didakwa menyebabkan ribuan kematian antara 2011 dengan 2019.
Pendakwa ICC menganggarkan sehingga 30,000 orang mungkin terbunuh sepanjang kempen antidadah itu, manakala perangkaan polis Filipina mencatatkan kira-kira 6,200 suspek terbunuh dalam operasi rasmi pihak berkuasa.
Sebelum ini, Duterte mempertahankan pendekatan kerasnya terhadap dadah dan berkata polis diarahkan bertindak bagi mempertahankan diri apabila berdepan ancaman.
Dia juga pernah menyatakan kesediaannya dipenjarakan berhubung tindakannya memerangi dadah.
Dengan perbicaraan dijadual bermula pada November, pertikaian mengenai keadaan Duterte kini menjadi isu penting yang perlu diputuskan mahkamah.
Pihak pembelaan menegaskan masalah ingatannya menghalangnya daripada mengambil bahagian secara bermakna dalam kes itu, sementara pendakwa berpendapat dia masih mempunyai kemampuan untuk memahami prosiding dan mempertahankan dirinya. – Agensi berita.