Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penahanan Duterte cetus ketegangan politik Filipina

Mar 12, 2025 | 4:16 PM
 Ahli keluarga mangsa pembunuhan luar perundangan memegang gambar insan tersayang ketika berhimpun dalam sidang media sehari selepas penahanan bekas presiden Filipina, Rodrigo Duterte, di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 12 Mac 2025. Duterte ditahan pada 11 Mac di Manila susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan kempen perang dadahnya yang mengakibatkan ribuan kes pembunuhan luar perundangan.
 Ahli keluarga mangsa pembunuhan luar perundangan memegang gambar insan tersayang ketika berhimpun dalam sidang media sehari selepas penahanan bekas presiden Filipina, Rodrigo Duterte, di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 12 Mac 2025. Duterte ditahan pada 11 Mac di Manila susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan kempen perang dadahnya yang mengakibatkan ribuan kes pembunuhan luar perundangan. - Foto EPA-EFE

MANILA: Tiga tahun selepas membentuk pakatan paling berkuasa dalam sejarah politik Filipina moden, dua dinasti utama negara itu - Marcos dan Duterte - kini terperangkap dalam krisis politik yang semakin meruncing dan boleh mengancam kestabilan ekonomi negara yang sebelum ini menjadi antara paling pesat membangun di Asia Tenggara.

Dalam satu tindakan dramatik pada 11 Mac, pemerintah pimpinan Presiden Ferdinand Marcos Jr telah menyerahkan bekas presiden Rodrigo Duterte kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.

Penahanan itu berlaku hanya sebulan selepas anak beliau, Naib Presiden Sara Duterte, disingkirkan daripada jawatannya oleh sekutu-sekutu Marcos dalam Dewan Perwakilan. Perbicaraan Senat dijadualkan bermula Julai ini bagi menentukan nasib politik Cik Sara.

Pemerhati politik menyifatkan langkah Encik Marcos sebagai percaturan besar untuk menyingkirkan pesaing utama menjelang pilihan raya pertengahan penggal Mei ini, yang akan menentukan sejauh mana keupayaannya meneruskan dasar pentadbiran dalam tempoh tiga tahun terakhir pemerintahannya.

Walaupun pengaruh Encik Marcos masih kuat, popularitinya sedikit menurun ekoran inflasi yang berterusan. Sebaliknya, keluarga Duterte masih memiliki sokongan akar umbi, terutama di Mindanao, dan Encik Sara kekal antara calon utama untuk pilihan raya presiden 2028.

“Jika ekonomi merosot, simpati boleh beralih kepada keluarga Duterte,” kata Bob Herrera-Lim, Pengarah Urusan firma perunding risiko Teneo. “Marcos sedang mengambil risiko besar untuk menghapuskan pesaing utamanya,” katanya.

Saham di Bursa Filipina menjunam lebih 2 peratus pada 11 Mac - kejatuhan terbesar sejak Januari - mencerminkan keresahan pelabur terhadap ketegangan politik yang semakin memuncak.

Bekas presiden Duterte, 79 tahun, berdepan pendakwaan jenayah kemanusiaan atas tindakan kerasnya dalam perang melawan dadah yang meragut lebih 6,000 nyawa.

Walaupun Encik Marcos pada awalnya menolak kerjasama dengan ICC, pendiriannya berubah selepas hubungan dengan keluarga Duterte retak susulan perbezaan dasar termasuk dalam isu dasar luar terhadap China dan Amerika Syarikat.

“Kita perlu patuh kepada komitmen antarabangsa, termasuk dengan Interpol,” tegas Encik Marcos, mengulas mengenai penahanan Duterte.

Sebaliknya, Cik Sara Duterte mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai “pengkhianatan terhadap kedaulatan negara”. “Hari ini, pemerintah sendiri telah menyerahkan seorang warganegara, bekas presiden pula kepada kuasa asing,” katanya dalam kenyataan.

“Ini satu penghinaan terhadap maruah negara dan rakyat Filipina yang menjunjung kedaulatan,” ujar Cik Sara.

Cik Sara sebelum ini dituduh oleh sekutu Marcos dalam Dewan Perwakilan menyalahguna dana awam dan merancang cubaan pembunuhan ke atas presiden, dakwaan yang dinafikannya sekeras-kerasnya.

Di pihak penyokong Duterte, ratusan berkumpul di lapangan terbang dan mengadakan doa selamat serta bantahan aman. Di Mindanao pula, ribuan lagi berhimpun sebagai tanda solidariti. Namun di Manila, kumpulan hak asasi manusia dan keluarga mangsa perang dadah menyambut baik penahanan itu.

“Perubahan kuasa dan perpecahan pakatan antara Marcos dan Duterte telah menjadikan Duterte semakin terdedah dan lemah dari segi politik,” kata Phil Robertson, Pengarah Asia bagi Human Rights and Labour Advocates.
“Malangnya, beliau sendiri adalah orang terakhir yang menyedari hakikat itu.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg