Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Dunia0

MALAYSIA ISYTHIAR DARURAT

Ekon, jentera kerajaan jalan seperti biasa walau darurat: Muhyiddin

Jan 13, 2021 | 05:30 AM

PERDANA Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi jaminan bahawa aktiviti ekonomi negara akan terus berfungsi sepanjang tempoh darurat namun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Malah, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan turut memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat dapat terus bekerja manakala perniagaan, perdagangan dan industri mampu beroperasi seperti biasa.

"Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

"Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin pengawal selia dan pemudah cara syarikat dan pasaran," kata beliau dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang akan dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin juga menjelaskan kepada pihak berkepentingan bahawa Malaysia masih terbuka untuk perniagaan dalam menghadapi masa yang mencabar ini.

"Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan.

"Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik," kata beliau.

Tan Sri Muhyiddin menambah bahawa kerajaan telah menggerakkan strategi enam peringkat sejak Mac tahun lepas yang turut disertakan dalam Belanjawan 2021 dan mampu memacu semula ekonomi.

Kestabilan yang berterusan itu sudah pasti akan membolehkan negara kekal bertahan serta terus membina landasan pemulihan ekonomi yang telah diusahakan secara gigih sejak tahun lepas, kata Perdana Menteri.

Kerajaan juga, katanya, akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu urusan pihak terlibat dalam menangani Covid-19 dan pengurusan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sesekali mencampuri urusan mahkamah, Tan Sri Muhyiddin berkata jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat.

Badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan biarpun ketika pelaksanaan darurat.

Katanya, Malaysia sedang berdepan ancaman besar seperti penularan Covid-19 dan bencana banjir di beberapa negeri.

Menurutnya, dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membolehkan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat tidak lumpuh.

Perdana Menteri berkata jemaah menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi menurut perlembagaan persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang-di-Pertuan Agong daripada semasa ke semasa.

Beliau berkata sepanjang tempoh darurat ini jika Seri Paduka berpuas hati wujudnya keadaan tertentu yang menyebabkan perlu mengambil tindakan serta-merta, maka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut keadan semasa.

"Dalam konteks ini beberapa ordinan darurat boleh dimasyhurkan Seri Paduka bagi tujuan membendung wabak Covid-19 yang merangkumi hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara hak milikan tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit," katanya.

"Bagi saya, dalam keadaan negara dan rakyat yang sedang hadapi mudarat besar adalah penting ahli politik mengetepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

"Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab," katanya.


"Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan tadbir urus terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat... Tempoh darurat ini akan memberi kita ketenangan dan kestabilan yang diperlukan selain membolehkan kita menumpukan usaha pemulihan ekonomi dan pertumbuhan. Kita kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dalam tempoh-tempoh ini dan mempunyai ekosistem pengawalseliaan yang kukuh dan dinamik."
- Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map