Perangkaan menunjukkan bahawa Aceh merupakan antara wilayah termiskin di Indonesia sejak dekad lalu atau lebih, walaupun selepas bertahun-tahun usaha pemulihan semula dijalankan dengan dana dan bantuan mencurah-curah dari negara sahabat, berikutan gempa bumi dan tsunami pada Disember 2004.
Pada Mac 2024, 14.23 peratus atau 804,530 daripada 5.5 juta penduduk Aceh dikira miskin. Angka itu hanya merosot sedikit daripada 14.45 peratus pada 2023.
Tetapi seorang ahli sosiologi dan perniagaan di Aceh berbeza pendapat dengan menyatakan perangkaan yang diperoleh daripada tinjauan statistik mungkin tidak selalu mencerminkan realiti keadaan sebenar.
“Ekonomi berkembang maju di sini dan anda tidak akan menganggap bandar itu telah musnah dek dilanda tsunami raksasa jika anda berada di Banda Aceh.
“Masih terdapat kesan bencana atau tempat yang dilanda oleh tsunami, tetapi ia telah dijadikan tugu peringatan,” kata Encik Suadi, ahli sosiologi daripada Universiti Malikussaleh di Aceh.
Sesiapa sahaja yang pernah mengunjungi Banda Aceh, akan bersetuju bahawa kegiatan ‘ngopi’ atau menghirup kopi begitu rancak di ibu kota wilayah ini.
Ini memang tidak mengejutkan kerana kopi adalah salah satu produk utama keluaran Aceh.
“Ini mencerminkan ekonomi rancak,” tambah Encik Suadi kepada Berita Harian.
“Lepak di kedai kopi bukanlah satu keperluan asas, namun tempat ini sentiasa padat dengan pelanggan.
“Ini menunjukkan bahawa keperluan asas mereka telah dipenuhi, lantas membolehkan mereka kerap ke kedai kopi.”
Justeru, masalah kemiskinan tidak kelihatan jelas di peringkat daerah, kata Encik Daudy Sukma, seorang peniaga minyak wangi berusia 38 tahun.
“Orang ramai masih boleh mendapat akses kepada makanan dan keperluan asas, tetapi jika kita merujuk kepada beberapa indeks statistik, boleh jadi benar bahawa Aceh adalah antara wilayah termiskin kerana akses logistiknya terhad, terletak di hujung utara Pulau Sumatera,” tambahnya.
Cabaran logistik itu merupakan sebab utama Encik Daudy memutuskan untuk menubuhkan bilik stornya sendiri di pinggir Jakarta untuk perniagaan minyak wanginya.
Minyak wangi yang beliau hasilkan diperbuat daripada nilam, salah satu produk pertanian utama di Aceh dan telah berkembang pesat sejak dilancarkan pada April 2015.
Memandangkan pasaran Aceh yang kecil, pengembangan di peringkat nasional dan antarabangsa adalah penting untuk meluaskan perniagaannya meskipun ekonomi berkembang pesat, tambahnya.
Perniagaannya kini menghasilkan sehingga 15,000 botol setiap bulan, dengan purata kadar pesanan berulang sebanyak 49 peratus.
“Selepas 20 tahun tsunami berlalu, Aceh kini sangat selamat dan membawa harapan, manakala Banda Aceh adalah sebuah bandar yang terbuka kepada idea baru dengan kegiatan kreatif yang meriah,” tambah Encik Daudy.
Antara yang berkembang dalam kancah kreatif Banda Aceh ialah kegiatan sekumpulan penari breakdance yang diketuai oleh Cik Nainunis, 37 tahun, seorang peminat tarian breakdance dan hip-hop.
Beliau, yang lebih dikenali sebagai Nay, mengasaskan studio tarian, Nanggroe Break Cypherz (NBC), di Banda Aceh pada 2008, selepas bertahun-tahun bergiat aktif dalam kumpulan breakdance di Jakarta.
“Saya tinggal di Jakarta ketika tsunami melanda, tetapi keluarga saya terselamat.
“Saya mahu kembali, tetapi ibu saya melarang saya kerana segala-galanya sangat sukar di sana pada masa itu,’’ cerita Nay.
Aceh adalah wilayah paling teruk dilanda gempa bumi berukuran sehingga 9.3 pada skala Richter pada 26 Disember 2004, disusuli pula tsunami raksasa.
Gempa dasar laut di Lautan Hindi dekat barat Sumatera, yang paling kuat dalam tempoh beberapa dekad, mengakibatkan gelombang maut tsunami setinggi sehingga 34 meter, menjejas 12 negara dan mengorbankan lebih 200,000 nyawa.
Apabila kembali ke Banda Aceh pada 2008 – empat tahun selepas tsunami melanda – Nay mendapati bahawa beliau tertarik dengan suasana bandar.
Terdapat komuniti ekspatriat yang bekerja untuk agensi bantuan asing dan pertubuhan bukan pemerintah yang terlibat dalam kerja pembinaan semula dan pemulihan.
“Saya menerima tawaran daripada pertubuhan bukan pemerintah Australia untuk mengajar tarian breakdance untuk kanak-kanak, jadi saya memutuskan untuk membangunkan komuniti breakdance ini,” ujarnya.
Sejak itu, Nay dan komunitinya telah membuat persembahan dan bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Nay juga pernah berkhidmat sebagai juri untuk pertandingan tarian olahraga semasa berlangsungnya acara Sukan Negara (PON) yang diadakan pada September di Aceh dan Sumatera Utara.
Namun, mewujudkan komuniti tarian di Aceh yang melaksanakan undang-undang syariah bukanlah sesuatu yang mudah.
Nay berkata bahawa pada awalnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan permit daripada polis untuk menjalankan kegiatan mereka dan yang lain.
“Justeru saya menjemput mereka datang untuk memerhatikan kegiatan kami dan melihat sendiri bahawa ini adalah kegiatan yang positif.
“Kami mematuhi peraturan syariah, memastikan pakaian yang sederhana untuk kanak-kanak perempuan dan lelaki. Akhirnya, mereka faham,” jelasnya.
Namun, Nay mengakui bahawa peluang pekerjaan untuk golongan karyawan masih terbatas di Aceh, dan kerana itu mereka perlu menceburi bidang perniagaan untuk maju.
Seperti Encik Daudy, usahawan minyak wangi yang telah menjalankan perniagaannya sendiri, Nay pula mengusahakan kedai gunting rambut yang beliau mulakan pada 2012 bersama studio tariannya.
Beliau juga menawarkan kursus menggunting rambut untuk membantu anak muda mengembangkan kemahiran supaya dapat bekerja sendiri.
“Saya harap suatu hari nanti mereka boleh membuka kedai sendiri.
“Dengan peluang pekerjaan yang terhad di Aceh, mereka yang mempunyai impian besar perlu merangkul keusahawanan, mencari peluang perniagaan secara proaktif dan membangunkannya.
“Sebenarnya Aceh kaya tetapi banyak wang kami mengalir keluar kerana orang tidak membelanjakannya di sini.
“Menubuhkan perniagaan di sini boleh menggalakkan orang ramai membelanjakan wang mereka di wilayah ini dan membantu merancakkan ekonomi,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg