Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenangan kesan tsunami Aceh kekal terpahat dalam ingatan

Dec 21, 2024 | 5:30 AM
Rumah dan bangunan pejabat serta masjid kini banyak dibangunkan di Aceh dan Meulaboh.
Rumah dan bangunan pejabat serta masjid kini banyak dibangunkan di Aceh dan Meulaboh. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Gelombang setinggi 34 meter atau sehingga 10 tingkat.

Itulah yang pernah disampaikan kepada wartawan semasa kali pertama menjejakkan kaki ke Aceh beberapa hari selepas gegaran gempa bumi yang kuat disusuli gelombang raksasa tsunami melanda kawasan tersebut pada 26 Disember 2004.

Memang sukar untuk dibayangkan, namun apabila menaiki helikopter Chinook untuk menyaksikan sendiri kesan kemusnahan yang melanda Aceh dari udara ketika itu, ternyata benar hanya bencana dahsyat seperti gegaran gempa besar dan gelombang raksasa tsunami sahaja yang dapat membawa kemusnahan sedemikian.

Melainkan sebuah masjid – Masjid Raya Baiturrahman yang tidak terjejas – kebanyakan rumah menjadi rata, tidak sesuai lagi didiami.

Kesan bencana itu ternyata amat hebat.

Selain banyak rumah yang musnah, sebuah bot besar yang dibawa gelombang, tersadai menimpa sebuah rumah, sementara jalan raya rata-rata dipenuhi lumpur, batu dan kayu bangunan serta sampah sarap.

Pokok dan tanaman yang sepatutnya hasil mata pencarian penduduk, musnah sama sekali.

Para penduduk terjejas menumpang di mana-mana bangunan yang terselamat daripada pukulan tsunami dan khemah-khemah sementara, yang didirikan badan bantuan kemanusiaan.

Ada juga penduduk yang cuba meninggalkan Aceh dengan cuba menaiki pesawat khas Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk ke Medan.

Ketika itu, kebanyakan mereka hidup sehelai sepinggang dan bergantung kepada bantuan untuk mendapat sesuap nasi demi meneruskan kehidupan.

Ramai di antara mereka yang kehilangan anggota keluarga – suami, isteri, anak-anak atau sanak saudara.

Mereka kelihatan agak kurang terurus seolah-olah masih trauma dengan apa yang dilalui ketika itu.

Meskipun selepas beberapa hari bencana tsunami melanda, wartawan bersama jurugambar masih dapat melihat mayat yang baru ditemui terdampar di tepi jalan raya dan hanya ditutup kain dan ditandakan dengan bendera kecil.

Bau mayat yang mula mereput menusuk hidung.

Kesan kemusnahan dan bau busuk sedemikian sedikit sebanyak masih segar di ingatan wartawan ketika kembali ke Aceh dan Meulaboh untuk membuat liputan khas memperingati dua dekad tsunami di Aceh.

Paling menyayat adalah semasa pertemuan dengan mangsa yang terselamat daripada bencana tersebut.

Mendengarkan tragedi yang menimpa mereka yang terselamat mengembalikan detik-detik ketika wartawan membuat liputan 20 tahun lalu.

Selain ada yang mendakwa melihat ombak tinggi dari laut setinggi hampir 10 hingga 12 tingkat membadai kawasan yang berdekatan dengan laut, ada yang berkata kederasan air berwarna hitam yang melimpah ke kawasan perumahan mampu memusnahkan apa jua halangan termasuk kenderaan dan rumah.

Mereka yang hampir terkorban menceritakan bagaimana mereka berpaut kepada tiang bangunan sekuat hati mereka sambil berdoa.

Ramai dalam kalangan mereka yang kehilangan anggota keluarga dalam sekelip mata.

Sememangnya ngeri apabila difikirkan sekiranya seseorang berada dalam kedudukan sedemikian semasa berlakunya gelombang gergasi tsunami pada 26 Disember 2004 itu.

Namun di sebalik kejadian yang menimpa ketika itu, apa yang dapat dilihat adalah bantuan dan sokongan yang disalur kepada kawasan yang terjejas termasuk Aceh dan Meulaboh.

Singapura yang merupakan jiran terdekat merupakan antara yang menawarkan bantuan dan sokongan kepada kawasan yang terjejas ketika itu.

Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, menyatakan komitmen Singapura untuk menggiatkan bantuan sedaya mungkin, kerana pertolongan itu adalah tanggungjawab negara ini terhadap jiran yang terjejas.

“Singapura merupakan sebuah pulau. Jika kita tidak membantu, jangan jangkakan kita akan mendapat bantuan apabila kita memerlukannya,’ ujarnya di akhir lawatannya ke dua kawasan di Aceh yang terjejas teruk oleh bencana gempa dan tsunami.

Ketika itu Encik Lee meluangkan masa sekitar dua jam di Meulaboh, yang merupakan daerah paling teruk terjejas, untuk meninjau sendiri keranapan yang berlaku.

Selepas ke Meulaboh, Encik Lee melawat Banda Aceh dalam kunjungan sekitar sejam.

“Apa yang berlaku sejauh ini merupakan musibah yang amat dahsyat tapi pihak berkuasa Indonesia kini sedang memberikan kerjasama kepada pasukan-pasukan antarabangsa yang sedang menghulurkan bantuan.

“Pasukan Singapura sendiri sedang giat menghulurkan bantuan dan kepakaran dalam misi ini,” kata beliau kepada media yang terdiri daripada wartawan Berita Harian (BH) juga ketika itu.

Lawatan wartawan ke Aceh kali ini memberi perspektif yang berbeza.

Rumah dan bangunan pejabat serta masjid kini banyak dibangunkan di Aceh dan Meulaboh.

Masjid Raya Baiturrahman, yang kini berdiri megah di tengah-tengah Banda Aceh, menjadi tumpuan warga asing yang ingin melihat secara dekat masjid yang menjadi simbol kekuatan masyarakat di sana.

Kesan tsunami seperti sebuah kapal kontena yang tersadai di darat kini dijadikan muzium bagi memperingati bencana tersebut.

Di sebalik bencana yang pernah melanda kawasan Aceh dan Meulaboh, para penduduknya sudah dapat bangkit daripada tragedi tersebut dan meneruskan kehidupan demi masa depan yang lebih baik.

Mereka yang pernah melalui bencana itu mengakui mereka kini lebih bersemangat untuk memperbaiki kehidupan seperti biasa.

Banyak pokok besar yang ditanam dan pemecah ombak dipasang di tepi-tepi pantai – antara cara bagi mengawal ombak besar daripada melanda.

Beberapa bangunan tanpa tembok disediakan di merata Aceh sebagai tempat pemindahan atau tempat yang boleh penduduk tuju sekiranya berlaku tsunami lagi.

Sistem amaran tsunami turut dipasang dan semboyan dibunyikan setiap 26 Disember sebagai peringatan tentang bencana dahsyat itu agar penduduk kini lebih bersedia sekiranya berulang kejadian serupa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg