Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rumah dibangun, dihuni semula selepas hancur dipukul arus deras tsunami

Dec 22, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Encik Feriansyah bersama dua adiknya, Encik Muhammad Faisal dan Encik Ardiansyah, membesar di rumah ini yang menyatukan anggota keluarga mereka sebelum tsunami melanda. Rumah itu dibina semula beberapa tahun selepas musnah akibat tsunami.
(Dari kiri) Encik Feriansyah bersama dua adiknya, Encik Muhammad Faisal dan Encik Ardiansyah, membesar di rumah ini yang menyatukan anggota keluarga mereka sebelum tsunami melanda. Rumah itu dibina semula beberapa tahun selepas musnah akibat tsunami. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sekali pandang sebuah rumah di Jalan Dahlia, Desa Lampulo, Kecamatan Kuta Alam, Banda Aceh kelihatan seperti rumah-rumah lain dalam kawasan yang sama.

Tiada siapa yang menyangka rumah setingkat dengan dua bilik dan sebuah ruang makan tanpa perabot melainkan sebuah almari itu pernah menempatkan tujuh beradik dan sepasang suami isteri.

Malangnya selepas lebih 12 tahun ia berdiri, rumah tersebut musnah akibat dipukul arus besar menyusuli gempa bumi dan bencana tsunami pada 26 Disember 2004.

Bukan sahaja rumah itu musnah, malah ibu serta tiga anaknya terkorban dibawa arus deras dan tidak ditemui akibat bencana itu.

Berita Minggu (BM) dipelawa masuk ke rumah usang yang dibina semula pada 2007 itu dan duduk di atas permaidani yang agak lusuh.

Biskut dalam tin disajikan berserta air sirap.

Suasana hiba dirasakan tatkala hujan mulai turun dengan lebat, sedang tiga beradik lelaki itu menceritakan pengalaman tragis mereka apabila tsunami melanda.

Salah seorang daripada empat beradik yang masih hidup, Encik Feriansyah, kini 37 tahun, berkata beliau sedang bekerja di atas sebuah kapal apabila berlakunya malapetaka itu.

“Pada saat itu, saya masih bekerja... terasa gempa itu yang sangat dahsyat. Masa itu saya berada di atas kapal. Kapal itu bergoyang kuat dan seperti terhentak.

“Saya tidak tahu berapa lama gempa itu berlarutan... apabila gegaran berhenti, saya terasa ingin pulang ke rumah untuk menjenguk keluarga saya,” kata Encik Feriansyah yang ketika itu baru berusia 17 tahun.

Kurang lima minit setibanya di rumah, beliau terdengar teriakan beberapa penduduk: “Air laut naik! Air laut naik!”

Mendengarkan jeritan tersebut, beliau segera membawa ibu, kakak dan salah seorang adiknya bergegas meninggalkan rumah.

Mereka segera menaiki sebuah trak yang turut ditumpangi beberapa penduduk lain.

Malangnya ketika enjin tersebut baru hendak dihidupkan, arus air yang deras menghentam trak tersebut.

“Ini menyebabkan trak yang dinaiki itu berputar di dalam air lalu terbalik.

“Saya sudah tidak dapat ingat lagi siapa di sisi saya... di depan atau belakang saya. Saya hanya ingat mahu cuba selamatkan diri,” tambahnya.

Ketika trak itu terbalik, Encik Feriansyah dapat lolos dan memanjat naik sebelum berpaut pada wayar elektrik yang berdekatan. Beliau kemudian berpaut pada wayar itu sebelum berusaha menarik dirinya ke salah sebuah bangunan berdekatan.

Daripada bangunan itu, beliau hanya dapat melihat trak yang dinaiki awal dihanyutkan air tsunami. Anggota keluarganya yang bersama awal tadi bagaimanapun tidak lagi kelihatan.

Air hanya mula surut sedikit sekitar lapan jam kemudian dan pada masa itulah beliau mula mencari anggota keluarganya – malangnya ibu serta tiga adik-beradiknya lain tidak ditemui sehingga hari ini.

Salah seorang adiknya yang terselamat, Encik Muhammad Ardiansyah, 31 tahun, ketika itu berada di luar kawasan kampungnya dan hanya bertemu dengan abang-abangnya selepas sekitar 10 hari kemudian.

Menurut Encik Ardiansyah sebelum kejadian beliau langsung tidak tahu apa sebenarnya tsunami.

Namun semenjak berlakunya bencana itu yang mengorbankan anggota keluarganya selain jiran tetangga lain, beliau yang pernah menghuni Sekolah Bersepadu Fajar Hidayah di daerah Blang Bintang, Aceh Besar serta abang-abangnya kini lebih akrab.

Apatah lagi mereka tinggal berdekatan, dengan Encik Ardiansyah kini menetap di rumah di mana mereka dibesarkan yang dibangunkan semula pada 2007 itu.

Beliau menambah bapanya meninggal dunia baru-baru ini akibat sakit tua sementara seorang lagi abangnya, Encik Safrizal, yang kini berusia 39 tahun, sedang bekerja semasa temu ramah ini berlangsung.

Ditanya wartawan mengapa beliau memilih untuk terus tinggal di rumah yang membawa pelbagai kenangan pahit itu, Encik Ardiansyah berkata:

“Mungkin ada orang anggap rumah ini berbahaya kerana dekat dengan pantai dan sebagainya, tapi kami selesa di sini... kami lahir dan dibesarkan di sini. Kami sudah biasa bermasyarakat di sini.

“Air laut itu sentiasa akan ada di tempat yang lain.”

Seorang lagi abang Encik Ardiansyah, Encik Muhammad Faisal, 36 tahun, berkata beliau masih ingat pada malam sebelum bencana dahsyat itu berlaku, beliau bersama anggota keluarganya lain sempat duduk bersama sambil menikmati kedinginan malam.

Beliau juga akur bahawa meskipun mereka sekeluarga rapat sebelum ini, namun bencana tsunami telah membuat hubungan beliau dan abang-abangnya lebih akrab.

“Saya masih terkenangkan kali terakhir kami semua berkumpul pada malam sebelum tsunami. Dan kini kami rasakan yang kami tidak dapat berenggang lagi.

“Kalau sebelum tsunami, usia kami masih kecil... pergaduhan itu memang biasa. Tapi kini tidak lagi... kami lebih menghargai kehadiran satu sama lain,” tambahnya yang akur rumah itu menjadi saksi mereka membesar dan kumpul bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg