WASHINGTON: Ekonomi kekal menjadi isu paling penting dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November, berdasarkan tinjauan terkini oleh The New York Times/Kolej Siena.
Walaupun inflasi dilaporkan semakin reda dan petunjuk ekonomi utama mencatat peningkatan, pengundi tetap berasa keadaan ekonomi hanya pada tahap sederhana atau lemah.
Faktor itu membuktikan bahawa perasaan bimbang terhadap ekonomi terus menjadi tumpuan pengundi, dan isu tersebut dijangka menjadi aspek utama bagi mereka dalam menentukan pemimpin seterusnya.
Dalam konteks ini, bekas Presiden, Encik Donald Trump, terus menjadi calon yang lebih dipercayai dalam menangani isu ekonomi berbanding lawannya, Naib Presiden, Cik Kamala Harris.
Namun, Cik Harris kini semakin merapatkan jurang keyakinan itu.
Meskipun beliau berdepan cabaran sebagai calon naib presiden kepada seorang presiden yang kurang popular, iaitu Encik Joe Biden, Cik Harris telah mencatat sedikit peningkatan dari segi persepsi pengundi terhadap kemampuannya menguruskan ekonomi negara.
Dalam tinjauan terkini oleh Times/Siena, yang diadakan pada September, Encik Trump mendahului Cik Harris dengan 13 mata peratusan dalam isu ekonomi.
Namun, dalam tinjauan terkini yang dijalankan pada lewat Oktober, jurang itu semakin mengecil kepada hanya enam peratusan mata.
Peningkatan itu khususnya ketara dalam kalangan pengundi bukan berkulit putih tanpa kelulusan kolej.
Kumpulan itu mula menyokong Cik Harris dengan perbezaan 26 peratusan mata.
Faktor ekonomi masih dilihat sebagai isu yang paling utama, dengan 31 peratus pengundi mengatakan bahawa isu ekonomi atau inflasi menjadi faktor utama dalam undi mereka.
Walaupun Cik Harris menunjukkan peningkatan dalam menangani isu ekonomi, pilihan raya presiden tersebut kekal sengit dan seimbang dengan kedua-dua calon memperoleh sokongan 48 peratus di peringkat nasional.
Bagaimanapun, di negeri utama yang dianggap sebagai penentu kemenangan, Encik Trump masih mengungguli Cik Harris dalam soal keyakinan pengundi terhadap pengurusan ekonomi.
Di negeri seperti Arizona dan Pennsylvania, Encik Trump mendahului dengan masing-masing 16 dan 11 mata peratusan dalam kalangan pengundi yang berpotensi.
Selain daripada ekonomi, isu seperti pengguguran dan imigresen turut menjadi topik hangat dalam kempen kali ini.
Dalam tinjauan yang sama, pengguguran mendapat sokongan sebagai isu kedua terpenting dengan 15 peratus pengundi melihatnya sebagai faktor penentu.
Imigresen juga kekal sebagai isu besar, terutama bagi Encik Trump yang terkenal dengan retorik imigresennya sejak kempen 2016.
Cik Harris pula, dalam kempen terakhirnya, memberi tumpuan terhadap hak pengguguran serta menampilkan imej Encik Trump sebagai calon yang tidak stabil.
Bagi pengundi yang belum membuat keputusan, ekonomi dan inflasi tetap menjadi keutamaan.
Kumpulan itu, yang lebih tiga kali ganda lebih nenberi tumpuan pada ekonomi berbanding isu pengguguran, cenderung mempercayai kemampuan Encik Trump dalam menangani isu ekonomi walaupun Cik Harris telah mencatat sedikit kemajuan sejak September.
Tambahan pula, perasaan tidak puas hati terhadap perdagangan antarabangsa dan pengaruh korporat telah mendorong lebih ramai pengundi untuk menyokong pandangan Encik Trump.
Beliau mendakwa Amerika telah mengalami kerugian akibat perdagangan bebas, yang telah menyebabkan pengurangan peluang pekerjaan di negara itu.
Secara sejarah, apabila pengundi tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi, mereka sering mengundi mahukan perubahan.
Ini dapat dilihat pada 1992 apabila Encik Bill Clinton berjaya mengalahkan Presiden George H.W. Bush dalam suasana ekonomi yang suram.
Begitu juga, pada 2008, Encik Barack Obama, memanfaatkan krisis kewangan untuk meraih sokongan.
membawa kemenangan kepada Demokrat selepas pentadbiran Presiden Bush yang berakhir dengan krisis ekonomi besar.
Ungkapan, ‘The economy, stupid’ atau ‘Ekonomi, bodoh’ yang terkenal oleh penasihat politik Encik Clinton, Encik James Carville, masih relevan sehingga kini, iaitu apabila kempen politik harus memberi tumpuan kepada penyampaian mesej ekonomi yang mudah difahami oleh rakyat.
Menurut Encik Carville, “Kempen harus memberi tumpuan pada isu yang dirasakan rakyat, bukan sekadar memberitahu mereka bahawa keadaan ekonomi adalah baik.”
Walaupun pelbagai isu lain seperti imigresen dan hak pengguguran turut mempengaruhi pilihan pengundi, ekonomi tetap menjadi pertarungan sengit antara Encik Trump dengan Cik Harris.
Kedua-dua calon giat mempromosikan agenda ekonomi masing-masing dengan tujuan untuk meraih sokongan pengundi dalam tempoh genting kini. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg