Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Trump tingkat sokongan lelaki Hispanik, Harris pada wanita kulit putih

Oct 29, 2024 | 2:35 PM
Peningkatan sokongan lelaki Hispanik terhadap calon Republikan, Encik Donald Trump, telah diimbangi oleh peningkatan sokongan terhadap calon Demokrat, Cik Kamala Harris, dalam kalangan wanita kulit putih.
Peningkatan sokongan lelaki Hispanik terhadap calon Republikan, Encik Donald Trump, telah diimbangi oleh peningkatan sokongan terhadap calon Demokrat, Cik Kamala Harris, dalam kalangan wanita kulit putih. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Calon Presiden daripada Parti Republikan, Encik Donald Trump, semakin mendekati untuk menghapuskan kelebihan sebelum ini yang dimiliki oleh Parti Demokrat dalam kalangan pengundi lelaki Hispanik menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November, berdasarkan analisis tinjauan Reuters/Ipsos.

Mantan Presiden Trump meraih 44 peratus dalam kalangan lelaki Hispanik berbanding pesaingnya daripada Demokrat yang juga Naib Presiden, Cik Kamala Harris, sebanyak 46 peratus – perbezaan hanya 2 peratusan mata.

Jumlah yang diraih Encik Trump itu berbanding defisit 19 mata ketika menentang Presiden Joe Biden pada titik yang sama pada 2020, berdasarkan analisis melibatkan lebih 15,000 responden dalam tinjauan terkini Reuters/Ipsos itu.

Sokongan terhadap Encik Trump telah diimbangi oleh peningkatan sokongan terhadap Cik Harris dalam kalangan wanita kulit putih yang memihak kepadanya berbanding Encik Biden sebanyak 12 mata pada lewat 2020, tetapi kini mendahului Republikan sebanyak 3 peratusan mata.

Kedua-dua calon terikat dalam pertarungan yang sangat sengit, dengan sokongan terhadap Cik Harris naik sedikit – daripada 43 peratus kepada 46 peratus, berdasarkan dapatan tinjauan yang dijalankan enam hari dari 16 hingga 21 Oktober.

Setiap calon mengharapkan kemenangan dengan Encik Trump meningkatkan kelebihannya dengan pengundi Hispanik dan kulit hitam, terutamanya kaum lelaki, manakala Cik Harris telah mengurangkan kelebihan Republikan sebelum ini dengan pengundi kulit putih terutamanya golongan wanita.

Pengundi Hispanik di Elizabeth, New Jersey, yang bekerja di sebuah firma keselamatan, Encik Robert Alomia, berkata beliau menghormati kerjaya Encik Trump sebagai tokoh perniagaan dan merancang untuk mengundinya.

“Kami memerlukan orang yang cepat berfikir dan orang yang sanggup memimpin... dia seorang pemimpin,” kata Encik Alomia, 42 tahun, sambil menambah bahawa beliau turut bersimpati dengan pandangan keras Encik Trump mengenai dasar imigresen.

Encik Trump telah menuduh pentadbiran Presiden Biden membiarkan sempadan selatan terbuka kepada pendatang, manakala Cik Harris telah menepisnya dengan menyalahkan Encik Trump kerana menekan Republikan di Kongres untuk melupuskan rang undang-undang keselamatan sempadan dua parti yang akan mengetatkan kawalan sempadan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg