WASHINGTON: Menjelang hari Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November, jutaan rakyat negara itu keluar mengundi awal, sama ada melalui pos atau secara fizikal.
Data semasa menunjukkan bahawa lebih ramai pengundi berdaftar Republikan telah mengundi awal di negeri penting seperti Arizona, Nevada, dan North Carolina berbanding pengundi Demokrat.
Keadaan itu memberikan sedikit harapan kepada Parti Republikan, yang secara tradisinya sering ketinggalan dalam undian awal berbanding Demokrat.
Walaupun data itu menunjukkan kecenderungan parti dalam kalangan pengundi, ia tidak semestinya menggambarkan sokongan sebenar terhadap calon tertentu.
Keputusan itu hanyalah satu petunjuk sementara dalam perlumbaan sengit antara calon Demokrat, Naib Presiden Cik Kamala Harris, dengan bekas presiden Republikan, Encik Donald Trump.
Parti Republikan menghadapi dilema tersendiri dalam pendekatan terhadap undian awal dan melalui pos.
Encik Trump, yang secara lantang menyuarakan bahawa pilihan raya 2020 lalu telah dicemari penipuan, turut mengkritik pengundian awal dan pos.
Namun begitu, sejak empat tahun lalu, Parti Republikan telah berusaha keras untuk mengubah persepsi itu dalam kalangan pengundi mereka, menggalakkan undian awal bagi memastikan peluang kemenangan meningkat.
Encik Trump sendiri dalam wawancara sebelum ini turut menyatakan kesediaannya untuk mengundi awal, walaupun menyatakan pandangan “bercampur baur” terhadap kaedah tersebut.
Sebaliknya, Parti Demokrat secara tradisi lebih aktif menggalakkan pengundi mereka supaya mengundi awal, terutama melalui undi pos.
Semasa pilihan raya 2020, 60 peratus pengundi Demokrat mengundi melalui pos, berbanding hanya 32 peratus pengundi Republikan.
Pada 2024, Demokrat sekali lagi berusaha memanfaatkan undi melalui pos, khususnya di negeri seperti Pennsylvania, walaupun Republikan melabur berjuta-juta dolar untuk menggalakkan pengundi mereka berbuat demikian.
Michigan menjadi contoh menarik dalam pola pengundian awal kali ini.
Pada hari pertama pengundian awal secara langsung, lebih 145,000 pengundi keluar mengundi, menunjukkan minat yang tinggi.
Michigan kini melaksanakan undang-undang baharu hasil referendum yang memperluaskan akses pengundian awal, menjadikan analisis perbandingan data undi awal berbanding tahun-tahun lalu sukar untuk dipadankan.
Namun begitu, Parti Demokrat optimis apabila lebih 60 peratus telah mengembalikan semula borang undi mereka melalui pos di Michigan.
Di kawasan kubu kuat Demokrat seperti Detroit, hampir dua pertiga borang undi melalui pos sudah dikembalikan, dengan kadar pemulangan tertinggi dicatat dalam kalangan pengundi warga emas kulit hitam – satu demografi penting bagi parti itu.
Di Nevada pula, Parti Republikan mencatat rentak positif, dengan lebih 31,000 pengundi berdaftar Republikan telah mengundi berbanding pengundi Demokrat.
Peningkatan pengundi Republikan itu banyak disumbangkan oleh daerah luar bandar yang merupakan kubu kuat Encik Trump, serta Washoe County yang disifatkan sebagai kawasan yang mudah beralih angin atau ‘swing vote’.
Strategi Parti Republikan untuk memanfaatkan pengundian awal di Nevada turut dibantu oleh pelaburan besar-besaran dana kempen, dengan harapan untuk merampas kerusi Senat yang kini disandang oleh Demokrat.
Sejak pilihan raya 2020, beberapa negeri telah memperkenalkan perubahan peraturan yang memberi kesan kepada undi awal dan undi pos.
Georgia dan North Carolina, misalnya, telah mengetatkan peraturan permohonan mengundi melalui pos, mewajibkan kad pengenalan dengan lebih ketat, dan mengehadkan akses kepada peti undi pos.
Ini menyebabkan cabaran tambahan, terutama bagi pengundi yang tinggal di kawasan pedalaman dan terjejas akibat bencana seperti taufan, yang baru-baru ini melanda North Carolina.
Perubahan peraturan itu di satu sisi dilihat sebagai langkah untuk meningkatkan keselamatan pilihan raya, tetapi di sisi lain, ia memberi kesan kepada kemudahan akses pengundi terhadap pengundian awal.
Parti Demokrat telah menyatakan kebimbangan bahawa perubahan itu mungkin akan menurunkan kadar mereka yang keluar mengundi dalam kalangan pengundi yang cenderung menyokong mereka.
Data pengundian awal itu memberi gambaran persaingan sengit bakal berlangsung, terutama di negeri yang mungkin menyebabkan keputusan undi beralih seperti Michigan, Nevada, dan North Carolina.
Walaupun pengundian awal tidak dapat menjangkakan keputusan akhir, ia membantu parti-parti politik dalam mengatur strategi kempen mereka dan menyasarkan pengundi yang belum keluar mengundi.
Bagi Parti Demokrat, kadar mereka yang mengembalikan semula borang undi melalui pos yang tinggi dalam kalangan demografi adalah penting.
Ini kerana ia memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap Cik Harris adalah kuat, terutama di bandar besar.
Bagi Parti Republikan, peningkatan jumlah pengundi awal di negeri seperti Nevada menandakan bahawa strategi baru untuk menggalakkan pengundi mereka mengundi awal mula berhasil.
Analisis awal menunjukkan pilihan raya 2024 masih terbuka untuk dimenangi mana-mana parti.
Ini walaupun Parti Republikan mempunyai momentum awal di beberapa ‘swing state’ atau senario politik negeri yang kerap berubah dan bakal menentukan keputusan pilihan raya.
Parti Demokrat menunjukkan kekuatan undian melalui pos yang stabil dan menyasarkan untuk mempertingkatkan kempen di saat akhir.
Ketika hari pilihan raya semakin hampir, tumpuan akan terus diberikan kepada ‘swing state’ yang bakal menentukan hasil pilihan raya kali ini.
Keputusan akhir itu akan banyak bergantung kepada sejauh mana kejayaan kedua-dua parti dalam menggerakkan pengundi yang belum mengundi, serta sejauh mana mereka mampu mengatasi cabaran logistik dan peraturan baharu dalam proses pengundian. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg