Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengunduran tentera Israel pertama di selatan Lebanon

Dec 12, 2024 | 4:26 PM
Tentera Israel berkumpul berhampiran sebuah kenderaan tentera selepas kembali dari Lebanon  susulan gencatan senjata antara Israel dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, berhampiran Kiryat Shmona dan sempadan Israel-Lebanon di utara Israel, pada 11 Disember. 
Tentera Israel berkumpul berhampiran sebuah kenderaan tentera selepas kembali dari Lebanon susulan gencatan senjata antara Israel dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, berhampiran Kiryat Shmona dan sempadan Israel-Lebanon di utara Israel, pada 11 Disember.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Seorang pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat, Jeneral Michael Kurilla, melawat Beirut pada 11 Disember untuk memantau pengunduran pertama tentera Israel dari Lebanon di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicapai November, menurut Komando Pusat Amerika Syarikat (Centcom).

Jeneral Kurilla, yang merupakan Komander Centcom, mengadakan pertemuan dengan Komander Angkatan Bersenjata Lebanon, Jeneral Joseph Aoun, di ibu pejabat pemantauan gencatan senjata.

Dalam kenyataan di platform X, Centcom menyatakan bahawa Jeneral Kurilla berada di Beirut untuk memantau pengunduran Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan penempatan Angkatan Bersenjata Lebanon di Al-Khiam, sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

Jeneral Kurilla menyifatkan perkembangan itu sebagai “langkah pertama yang penting dalam pelaksanaan menghentikan permusuhan berpanjangan dan asas untuk kemajuan seterusnya”.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, turut menyatakan bahawa penempatan tentera Lebanon di kawasan Al-Khiam dan Marjayoun merupakan langkah asas untuk memperkukuh kestabilan di selatan.

“Kami menghargai usaha tentera dalam mewujudkan kestabilan di kawasan selatan,” katanya dalam kenyataan di media sosial platform X.

Tentera Israel dalam kenyataannya menyebut bahawa Briged Ketujuh telah menyelesaikan misi mereka di Al-Khiam. Kini, tentera Lebanon bersama Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) mengambil alih kawasan tersebut, sejajar dengan persetujuan gencatan senjata yang diselaraskan oleh Amerika.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Hezbollah dijangka menarik balik pasukannya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel-Lebanon dan membongkar prasarana ketenteraannya di kawasan selatan Lebanon.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, menyatakan bahawa gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 27 November berpotensi mewujudkan keamanan berpanjangan.

Beliau menegaskan bahawa usaha itu adalah peluang untuk penduduk di kedua-dua sisi sempadan kembali menjalani kehidupan normal dengan selamat.

Walaupun terdapat tuduhan pelanggaran oleh kedua-dua pihak, gencatan senjata ini masih bertahan dan memberikan harapan kepada kestabilan di rantau tersebut.

Dalam tempoh 60 hari, tentera Israel dijangka menyelesaikan pengundurannya, membuka ruang kepada peluang baru bagi keamanan yang lebih kukuh. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg