Topik diikuti
Pergi ke BHkuEl-Sayed sifatkan kemenangan Senat AS sebagai penghormatan terbesar
Calon Demokrat keturunan Mesir tewaskan calon pilihan Trump di Michigan
El-Sayed sifatkan kemenangan Senat AS sebagai penghormatan terbesar
WASHINGTON: Calon Parti Demokrat, Dr Abdul El-Sayed, melahirkan rasa syukur dan bangga selepas mencipta sejarah sebagai individu Islam pertama dipilih menganggotai Dewan Senat Amerika Syarikat dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Dr El-Sayed, 41 tahun, menewaskan calon Republikan yang disokong Presiden Donald Trump, Encik Mike Rogers, dalam persaingan sengit di Michigan.
Ketika meraikan kemenangan bersama penyokongnya di Detroit pada awal 4 November, beliau menggunakan ungkapan Arab, Insya-Allah (jika diizinkan Allah) dan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), bagi menggambarkan kejayaan bersejarah itu.
“Kita boleh beralih daripada Insya-Allah kepada Alhamdulillah,” katanya.
Menerusi hantaran di Threads, Dr El-Sayed menyifatkan peluang mewakili Michigan di Senat sebagai penghormatan terbesar dalam kerjaya perkhidmatan awamnya.
“Michigan, kita berjaya melakukan apa yang mereka katakan mustahil. Kita menang bersama-sama.
“Sekarang, tugas sebenar bermula,” katanya.
Menerusi hantaran rasmi di platform Threads, beliau menyifatkan kemenangan bersejarah itu sebagai satu penghormatan terbesar sepanjang kerjaya perkhidmatan awamnya. Calon Parti Demokrat, Dr Abdul El-Sayed, mencipta sejarah apabila menjadi individu Islam pertama dipilih menganggotai Dewan Senat Amerika Syarikat.
Beliau menewaskan calon Republikan yang disokong Presiden Donald Trump dalam pilihan raya pertengahan penggal di Michigan.
Kemenangan doktor berketurunan Mesir itu turut mengekalkan kerusi Senat Michigan dalam penguasaan Demokrat, sekali gus mengukuhkan majoriti parti tersebut selepas mencatat kemenangan besar di beberapa wilayah lain, termasuk Maine, South Carolina, Ohio dan Iowa.
Dr El-Sayed, yang pernah mengetuai jabatan kesihatan di Detroit dan Wayne County, menewaskan bekas anggota Dewan Perwakilan Republikan, Encik Mike Rogers, dalam persaingan sengit yang menyaksikan isu agama, ekonomi dan perang Gaza menjadi tumpuan.
Bercakap kepada penyokongnya di Detroit, Dr El-Sayed menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan besar rakyat Michigan yang sanggup memberikan kepercayaan kepada calon yang sebelum ini dianggap sukar untuk menang.
Dr El-Sayed, yang dilahirkan di Michigan kepada ibu bapa pendatang dari Mesir, bakal menggantikan Senator Demokrat, Encik Gary Peters, yang bersara.
Kempen pilihan raya itu dicemari serangan terhadap agama Dr El-Sayed, termasuk daripada Encik Trump yang pernah melabelnya sebagai ‘pengganas ganas’ dan sengaja menggunakan nama tengahnya, Mohamed.
Bagaimanapun, Encik Rogers enggan menyokong dakwaan Encik Trump bahawa Dr El-Sayed seorang pengganas.
Menjawab serangan tersebut, Dr El-Sayed berkata beliau tidak terganggu dengan cara Encik Trump menyebut namanya.
“Saya tidak peduli bagaimana beliau menyebut nama saya. Saya juga tidak kisah beliau mengingati nama penuh saya.
“Kerana selepas November, beliau boleh memanggil saya senator. Saya akan menjadi Senator Mohamed bagi anda,” katanya.
Dalam rapat umum di Detroit menjelang pengundian, Dr El-Sayed menuduh Republikan sengaja membangkitkan isu agama bagi mengalihkan perhatian daripada masalah ekonomi rakyat.
“Mereka tidak mahu bercakap mengenai harga minyak dan barangan dapur. Mereka mahu bercakap mengenai diri saya, nama saya dan agama saya,” katanya.
Sepanjang kempen, beliau memberikan tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, memperluas akses penjagaan kesihatan dan membantu keluarga yang berdepan tekanan kewangan.
Antara dasar utamanya termasuk memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan sejagat, dikenali sebagai Medicare for All.
Pendirian Dr El-Sayed terhadap Israel turut mencetuskan perdebatan, khususnya dalam kalangan pengundi Demokrat berketurunan Yahudi.
Beliau menggesa Washington menghentikan sokongan kepada Israel ketika perang di Gaza dan Iran, dengan alasan dana tersebut lebih baik digunakan bagi memenuhi keperluan rakyat Amerika.
Pendirian itu menyebabkan sebahagian pengundi Demokrat menolak pencalonannya.
Di Huntington Woods, Cik Lauren Slutsky, 55 tahun, yang menganggap dirinya penyokong Demokrat sepanjang hayat, berkata beliau memilih Encik Rogers kerana bimbang Dr El-Sayed tidak cukup tegas menentang sentimen anti-Yahudi.
Namun, seorang lagi pengundi Yahudi, Encik Steve Gold, yang memakai baju bertulis ‘Jews for Abdul’, menyokong Dr El-Sayed kerana dasar penjagaan kesihatannya.
“Memalukan bahawa selepas 250 tahun, Amerika Syarikat masih belum menyediakan penjagaan kesihatan kepada semua rakyatnya,” katanya.
Di utara Michigan, Cik Jen Mahaffy pula berkata beliau menyokong Dr El-Sayed kerana yakin calon itu mampu membawa perubahan positif kepada wilayah tersebut.
Namun, terdapat juga pengundi yang secara terbuka menyatakan keberatan memilih seorang calon Islam.
Seorang pelajar Michigan State University, Encik Walker Darnell, berkata latar belakang Kristiannya mempengaruhi keputusan untuk menyokong Encik Rogers.
Kemenangan Dr El-Sayed lebih bermakna kerana beliau turut berdepan perpecahan dalam partinya sendiri.
Bekas pesaingnya dalam pemilihan calon Demokrat, Cik Haley Stevens, mengejutkan parti apabila menyatakan sokongan kepada Encik Rogers menjelang hari pengundian.
Keputusan itu mencerminkan perbezaan pendirian dalam Demokrat mengenai Israel, perang Gaza dan hala tuju parti.
Encik Rogers cuba memanfaatkan perpecahan tersebut untuk menarik pengundi Yahudi dan penyokong sederhana Demokrat.
Namun, Dr El-Sayed berjaya meraih sokongan kukuh di kawasan tenggara Michigan, bandar universiti dan beberapa kawasan perindustrian.
Pilihan raya itu turut menarik perhatian nasional apabila bekas Presiden Amerika, Encik Barack Obama, dan Encik Trump turun berkempen bagi calon masing-masing.
Walaupun Encik Rogers belum mengakui kekalahan ketika keputusan awal diumumkan, kemenangan Dr El-Sayed menjadi pencapaian bersejarah bagi masyarakat Islam Amerika.
Ia juga menunjukkan bahawa isu kos sara hidup dan penjagaan kesihatan mampu menarik sokongan pengundi merentasi perbezaan agama dan latar belakang politik.
Bagi Dr El-Sayed, kemenangan itu membuktikan pengundi Michigan lebih mengutamakan dasar yang memberi kesan kepada kehidupan mereka berbanding serangan terhadap identiti dan agamanya. – Agensi berita.