Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lalamove perkenal khidmat penumpang di Lembah Klang

Nov 13, 2024 | 1:01 PM
Lalamove kini memperluaskan perkhidmatan dengan menyertai sektor pengangkutan swasta menerusi pengenalan Lalamove Ride, yang buat permulaan boleh digunakan pengguna di Lembah Klang.
Lalamove kini memperluaskan perkhidmatan dengan menyertai sektor pengangkutan swasta menerusi pengenalan Lalamove Ride, yang buat permulaan boleh digunakan pengguna di Lembah Klang. - Foto LAMAN WEB LALAMOVE

KUALA LUMPUR: Pengguna pengangkutan awam di Malaysia kini mempunyai satu lagi pilihan pengangkutan swasta selepas syarikat kurier atau penghantaran Lalamove, memperkenalkan perkhidmatan baru bagi membawa penumpang, dikenali sebagai Lalamove Ride.

Menerusi perkongsian di laman media sosial Lalamove, perkhidmatan Lalamove Ride buat masa ini hanya boleh digunakan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Sama seperti wadah pengangkutan swasta lain seperti Grab dan Bolt, perkhidmatan Lalamove Ride tersedia 24 jam dan pengguna boleh terus membuat tempahan pengangkutan menggunakan aplikasi Lalamove yang sedia ada, tanpa perlu memuat turun aplikasi baru di Google Play Store dan Apple App Store.

Semakan di laman web Lalamove mendapati, untuk menempahnya, pengguna hanya perlu memasukkan lokasi semasa dan destinasi yang ingin dituju, serta membuat pilihan kenderaan.

Sebagai permulaan, hanya pilihan kereta sedan tersedia dan ia boleh memuatkan sehingga empat penumpang, dengan harga asas Lalamove Ride bermula daripada RM6 ($1.80).

Tambang akan berubah mengikut kesesakan trafik, kadar tempahan dan ketersediaan jumlah pemandu semasa.

Pembayaran boleh dibuat sejurus tempahan di aplikasi sama ada melalui wallet Lalamove atau tunai.

Sebaik tempahan disahkan, pengguna boleh menjejak pemandu menggunakan peta dalam aplikasi.

Penyertaan Lalamove dalam sektor perkhidmatan kenderaan swasta menyusul langkah syarikat mobiliti terkemuka Eropah, Bolt, yang melancarkan perkhidmatan e-hailing di Lembah Klang sebelum ini.

Pengarah Urusan Lalamove Malaysia, Cik Jane Teh, berkata Lalamove turut mengalu-alukan rakan pemandu untuk menyertai perkhidmatan mereka, dalam usaha memperluaskan pasaran perkhidmatan itu dalam kadar segera.

“Menerusi proses permohonan yang mudah, ia membolehkan mana-mana individu untuk mengakses ride-hailing bersama operasi penghantaran semasa hanya dengan menggunakan satu platform.

“Bukan itu saja, dengan mempelbagaikan permintaan perjalanan dan pesanan penghantaran, rakan pemandu boleh memanfaatkan keperluan pengangkutan yang berkembang di pasaran tempatan dan menambah pendapatan mereka,” katanya, lapor Malaysiakini.

Pengurus Besar Malaysia di Bolt, Encik Afzan Lufti, berkata misi Bolt untuk membina bandar yang berpusatkan manusia, bukan kereta, adalah asas kepada segala yang dilakukannya.

Menurutnya, sebagai permulaan di Malaysia, pihaknya komited menyediakan penyelesaian mobiliti yang mengurangkan pencemaran, mampu milik dan mudah diakses bagi memenuhi keperluan pemandu serta penumpang di Lembah Klang.

Dianggarkan jumlah pengguna dalam pasaran e-hailing di Malaysia dijangka mencapai 11.47 juta orang menjelang 2029.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg