Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayaran pengangkutan kini lebih mahal? Jangkakan trend berterusan

Akta Pekerja Platform sediakan jaring keselamatan CPF untuk pemandu, tetapi penumpang yang mungkin perlu tanggung kos tambahan
Jan 19, 2025 | 5:30 AM
Platform khidmat tempahan pengangkutan seperti Grab berbeza secara asasnya daripada syarikat teksi tradisional.
Platform khidmat tempahan pengangkutan seperti Grab berbeza secara asasnya daripada syarikat teksi tradisional. - Foto ZAOBAO

Pada tahun ini (2025), khidmat tempahan pengangkutan (ride-hailing) di Singapura akan menjadi lebih mahal.

Grab, Gojek, Tada dan CDG Zig telah mengumumkan bahawa mereka akan menaikkan harga mereka mulai 1 Januari 2025.

Salah satu pemacu utama peralihan ini ialah Akta Pekerja Platform Singapura yang berkuat kuasa pada hari yang sama.

Syarikat pengamat pasaran, Momentum Works, menjangkakan Akta itu menambah sekurang-kurangnya $493 juta dalam kos bagi caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk platform pengangkutan dan penghantaran makanan dalam tempoh lima tahun; dan platform tersebut berkemungkinan akan menyalurkan kos ini kepada pengguna.

Kos tambahan untuk khidmat tempahan pengangkutan

Walaupun pemerintah telah memperkenalkan skim sokongan sementara dari 2025 hingga 2029 untuk membantu mengimbangi caruman CPF pemandu semasa peralihan itu, gaji bawa pulang pemandu pasti akan berkurangan kerana sebahagian pendapatan mereka diperuntukkan kepada simpanan CPF.
Pada masa yang sama, struktur kos perusahaan akan meningkat disebabkan oleh keperluan tambahan ini.

Walaupun pemandu mesti menyesuaikan diri dengan gaji bawa pulang yang lebih rendah, persoalan yang lebih besar kekal: Siapa yang akan menyerap peningkatan kos itu kepada perusahaan?

Persoalannya penting kerana, antara purata 630,000 perjalanan dari satu tempat-ke-satu tempat (P2P) yang berlaku di bandar ini setiap hari pada Oktober 2024, kira-kira 562,000 atau 89 peratus telah dilakukan melalui khidmat tempahan pengangkutan.

Oleh itu, adalah berbaloi untuk melihat keadaan semasa perusahaan ini – dari sudut pandangan kedua-dua pemandu dan penumpang – dan melihat bagaimana perubahan itu akan mempengaruhinya.

Sistem yang cekap

Penulis baru-baru ini (Disember 2024) menyertai podcast tempatan popular The Daily Ketchup sebagai tetamu untuk membincangkan, antara lain, isu kos perkhidmatan platform yang kebanyakan kita gunakan setiap hari: khidmat tempahan pengangkutan dan penghantaran makanan.

Ketiga-tiga hos bersama podcast itu semuanya berkongsi perspektif yang sama: Setiap kali mereka melancong ke negara maju lain seperti Jepun, Eropah atau Amerika Syarikat, kos menaiki teksi atau kereta sewa privet sentiasa jauh lebih mahal berbanding dengan Singapura.

“Adakah kita terlalu dimanjakan?” tanya salah seorang hos semasa podcast itu.

Ia adalah topik yang menarik dan ramai yang mempunyai pendapat yang kuat mengenainya.

Peraturan, persaingan pasaran dan, sudah tentu, topografi bandar, semuanya mempunyai peranan dalam hal ini.

Dalam kebanyakan pasaran, perusahaan teksi bukanlah pasaran bebas dengan harga ditentukan oleh penawaran dan permintaan.

Penduduk Singapura mungkin biasa dengan perdebatan berterusan ini mengenai sama ada teksi/kereta sewa privet harus dianggap sebagai satu bentuk pengangkutan awam.

Bagaimanapun, perkara ini menjadi lebih menarik apabila anda membandingkan pendapatan bersih – iaitu, pendapatan selepas perbelanjaan seperti komisen platform, sewa kenderaan dan minyak – pemandu teksi dan pemandu pengangkutan tempahan di pasaran maju yang berbeza.

Biasanya, pemandu di Singapura sebenarnya memperoleh pendapatan bersih yang sangat kompetitif berbanding rakan sekerja mereka di New York (sebelum tip), London dan Paris, bandar dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita yang setanding dengan Singapura.

Walaupun pemandu pengangkutan tempahan boleh memperoleh pendapatan yang lumayan, terdapat satu kaveat (notis rasmi).

Sehingga kini, mereka tidak mempunyai jaminan sosial, yang bermakna mereka tidak mampu untuk berehat atau meninggalkan pekerjaan mereka.

Tetapi perubahan sedang berlaku dan ia boleh mengubah dinamik sektor pengangkutan tempahan itu.

Tekanan pada platform

Platform perkhidmatan pengangkutan seperti Grab berbeza secara asasnya daripada syarikat teksi tradisional.

Firma teksi telah lama beroperasi dalam rangka kerja terkawal dengan struktur tambang tetap dan asas kos yang boleh diramal.

Mereka sering menggabungkan kos seperti faedah pemandu ke dalam harga bagi pengguna.

Sebaliknya, platform tempahan pengangkutan adalah ringan aset, hanya berfungsi sebagai perantara tanpa memiliki kereta atau menggajikan pemandu secara langsung.

Model ini membolehkan fleksibiliti dan kemudahan menentukan skala, dan juga mengalihkan kos kenderaan dan penyelenggaraan kepada pemandu bebas.

Tetapi ini menjadikan platform sebegitu sangat bergantung pada tenaga kerja gig mereka.

Apabila khidmat tempahan pengangkutan dimulakan pada 2013, pengguna di Singapura menikmati promosi besar dan juga pilihan lebih luas kerana mempunyai lebih ramai pemandu yang sedia untuk mengangkut mereka ke sana sini.

Platform sebegini dan pelabur mereka telah bergantung pada gabungan subsidi dan diskaun promosi untuk memastikan perjalanan murah untuk pengguna.

Strategi ini membolehkan mereka meningkatkan operasi dengan pantas dan menangkis persaingan.

Teksi tradisional telah mula berundur. Pada Disember 2016, terdapat lebih daripada 27,000 teksi di Singapura; jumlah itu berkurang kepada kira-kira 13,000 pada Oktober 2024.

Dan seperti yang dinyatakan di atas, hampir 90 peratus daripada perjalanan harian P2P di Singapura dilakukan melalui tempahan pengangkutan.

Tetapi era tambang rendah ini tidak boleh bertahan selama-lamanya dan harga telah meningkat beransur-ansur selama bertahun-tahun.

Sekarang anda sering mendengar orang di Singapura mengeluh tentang kos perjalanan yang tinggi.

Kita mesti ingat bahawa syarikat seperti Grab dan Gojek beroperasi pada margin keuntungan yang sangat tipis dan disusun untuk meminimumkan kos pendahuluan sambil memaksimumkan kebolehskalaan.

Platform-platform ini, yang mendapat kelebihan melalui penetapan harga dinamik dan pintasan peraturan, kini menghadapi cabaran untuk mengekalkan daya saing kerana peraturan seperti Akta Pekerja Platform di Singapura bertujuan untuk menyamakan kedudukan.

Siapa yang akan serap kos?

Platform bergantung pada pesanan berskala besar pada margin keuntungan yang tipis untuk berdaya maju.

Lebih daripada itu, pengguna akan lari, dan di bawah jumlah itu, syarikat akan kerugian.

Dengan pelabur menuntut laluan yang lebih jelas kepada keuntungan yang mampan, meletakkan kos tambahan kepada pengguna menjadi pilihan yang paling berdaya maju.

Jadi kos tambahan tidak mungkin diserap oleh platform atas sebab mudah: kewangan mereka tidak dapat mengekalkannya.

Walaupun Akta Pekerja Platform akan menambah baik jaringan keselamatan untuk pemandu, ia secara asasnya mengganggu sifat ringan aset model perusahaan tempahan pengangkutan.

Perusahaan itu perlu mengimbangi antara menaikkan harga secukupnya untuk kekal mampan, tanpa menghindar penumpang.

Selain itu, kenaikan tambang boleh merangsang inovasi dalam bidang mobiliti lain.

Daripada kenderaan elektrik kepada perkongsian kereta sewa tanpa pemandu, syarikat mungkin meneroka model baru untuk mengimbangi kos dan menarik pengguna.

Pemerintah juga boleh memainkan peranan dengan memberi insentif kepada pilihan pengangkutan yang mampan atau memberi subsidi kepada teknologi baru muncul.

Ketika kita memasuki 2025, kos perjalanan mungkin menjadi ujian penentu untuk cara kita mengimbangi kemudahan dengan kos sara hidup.

Seperti yang disebutkan oleh rakan sebaya saya yang lebih muda dalam podcast di atas, jika saya sudah membayar $20 untuk pilihan tempahan pengangkutan selepas menghadiri konsert pada tengah malam, saya mungkin sanggup membayar lebih sedikit untuk kemudahannya, bukannya mencari cara lain untuk pulang ke rumah .

Penulis ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Momentum Works, sebuah syarikat usaha niaga yang beribu pejabat di Singapura dengan tumpuan pasaran baru muncul global. Rencana ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg