WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, berkata Encik Elon Musk dan mantan calon presiden Parti Republikan, Encik Vivek Ramaswamy, akan memimpin Jabatan Kecekapan Pemerintah yang baru diwujudkan.
Encik Musk dan Encik Ramaswamy “akan membuka jalan kepada pentadbiran saya untuk membongkar birokrasi pemerintah, mengurangkan peraturan yang berlebihan, mengurangkan perbelanjaan yang membazir dan menyusun semula agensi federal”, kata Encik Trump dalam satu kenyataan pada 12 November.
Encik Trump berkata kerja mereka akan berakhir pada 4 Julai 2026, sambil menambah bahawa pemerintah yang lebih kecil dan lebih cekap akan menjadi “hadiah” kepada negara sempena ulang tahun ke-250 pemeteraian Deklarasi Kemerdekaan.
Pelantikan itu memberi ganjaran kepada dua penyokong Encik Trump dari sektor swasta.
Encik Musk mengetuai syarikat kereta elektrik Tesla, wadah media sosial X, dan syarikat roket SpaceX.
Encik Ramaswamy pula merupakan pengasas syarikat farmaseutikal yang bertanding untuk pencalonan presiden Republikan menentang Encik Trump, namun beliau menyokong bekas presiden itu selepas menarik diri.
Encik Musk memberikan berjuta-juta dolar untuk menyokong kempen Encik Trump dan membuat penampilan umum bersamanya.
Encik Trump berkata beliau akan menawarkan Encik Musk, orang terkaya di dunia, peranan dalam pentadbirannya untuk mempromosikan kecekapan pemerintah.
Akronim jabatan baru tersebut – DOGE – bertepatan dengan nama mata wang kripto Dogecoin yang dipromosikan oleh Encik Musk.
Encik Trump juga berkata bahawa beliau telah memilih mantan pengarah perisikan negara, Encik John Ratcliffe untuk berkhidmat sebagai pengarah Agensi Risik Pusat (CIA).
Encik Ratcliffe, sekutu rapat Trump, pernah berkhidmat sebagai pengarah perisikan negara pada penghujung penggal pertamanya.
Beliau disahkan sebagai perisik utama negara pada Mei 2020, lapan bulan sebelum Encik Trump berundur sebagai presiden.
Sebagai mantan ahli Dewan Perwakilan dan peguam Amerika untuk Texas, beliau tidak mendapat sokongan daripada Senator Demokrat semasa pengesahannya.
Sebagai pengarah perisikan negara, Encik Ratcliffe dituduh mendedahkan maklumat untuk digunakan oleh Encik Trump dan sekutunya bagi menyerang lawan politik, termasuk Encik Joe Biden, namun tuduhan itu dinafikan oleh pejabatnya.
Agensi berita, termasuk Reuters, juga melaporkan kebimbangan bahawa Encik Ratcliffe membesar-besarkan pengalaman menentang keganasannya sebagai pendakwa raya persekutuan di Texas.
Beliau turut mengumumkan hos saluran televisyen, Fox News Channel, Encik Pete Hegseth, dicalonkan menjadi setiausaha pertahanan.
Encik Hegseth adalah veteran Pengawal Nasional Tentera dan menurut laman webnya, beliau berkhidmat di Afghanistan, Iraq, dan Teluk Guantanamo, Cuba.
Mengenai Encik Hegseth, Encik Trump berkata:
“Dengan Pete di pucuk pimpinan, musuh-musuh Amerika diberi amaran – Tentera kita akan Hebat Lagi, dan Amerika tidak akan Mengalah,” tambahnya.
Encik William McGinley pula dipilih Encik Trump untuk berkhidmat sebagai peguam Rumah Putihnya.
Encik McGinley pernah berkhidmat dalam penggal pertama Encik Trump sebagai Setiausaha Kabinet Rumah Putih. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg