NEW YORK: Encik Elon Musk, penasihat rapat kepada bakal presiden Donald J. Trump, bertemu Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 11 November di New York, dalam satu sesi yang disifatkan dua pegawai Iran sebagai perbincangan tentang cara meredakan ketegangan antara Iran dengan Amerika Syarikat.
Pihak Iran berkata pertemuan antara Encik Musk dengan Encik Amir Saeid Iravani, berlangsung lebih sejam di lokasi rahsia.
Pegawai Iran itu, yang bercakap dengan syarat nama mereka tidak didedah kerana mereka tidak diberi kuasa membincangkan dasar secara terbuka, menyifatkan pertemuan itu sebagai “positif” dan “berita baik.”
Ditanya sama ada terdapat sesi sedemikian, Encik Steven Cheung, pengarah komunikasi Encik Trump, berkata:
“Kami tidak mengulas mengenai laporan mesyuarat peribadi yang berlaku atau tidak berlaku.”
Encik Musk tidak menjawab permintaan untuk mendapat ulasan.
Jurucakap peralihan pentadbiran Trump-Vance yang akan datang, Cik Karoline Leavitt, berkata dalam satu kenyataan:
“Rakyat Amerika memilih semula Presiden Trump kerana mereka mempercayainya untuk memimpin negara kita dan memulihkan keamanan melalui kekuatan di seluruh dunia.
“Apabila beliau kembali ke Rumah Putih, beliau akan mengambil tindakan yang perlu untuk berbuat demikian.”
Encik Musk, yang telah dilantik memimpin Jabatan Kecekapan Pemerintah oleh Encik Trump, muncul sebagai warga privet paling berkuasa dalam peralihan Encik Trump, dan mengambil bahagian dalam hampir setiap temu duga kerja.
Semasa panggilan telefon dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, sebelum ini, bakal presiden itu menyerahkan telefon kepada jutawan itu.
Encik Musk memainkan peranan penting dalam menyediakan keupayaan komunikasi kepada Ukraine dalam peperangan dengan Russia.
Pertemuan langsung antara pegawai kanan Iran dengan Encik Musk menimbulkan kemungkinan perubahan nada antara Teheran dengan Washington di bawah pentadbiran Encik Trump.
Salah seorang pegawai Iran berkata Encik Musk yang meminta pertemuan itu diadakan dan duta tersebut memilih lokasinya.
Semasa penggal pertamanya, Encik Trump mengundurkan Amerika daripada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dengan kuasa dunia, menyebutnya “perjanjian berat sebelah mengerikan yang tidak pernah, pernah dibuat,” dan mengenakan sekatan ekonomi keras ke atas pendapatan minyak dan urus niaga perbankan antarabangsa Iran.
Encik Trump turut mengarahkan pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Qassim Suleimani, di Iraq pada 2020.
Sebagai tindak balas, pemimpin tertinggi Iran melarang sebarang rundingan dengan pentadbiran Trump dan pegawai Iran berikrar akan membalas dendam atas pembunuhan Encik Suleimani.
Pendakwa raya persekutuan berkata dalam pemfailan mahkamah bahawa Iran merancang membunuh Encik Trump sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika.
Susulan pemilihan Encik Trump, Iran berdebat secara terbuka sama ada ia kini boleh mencapai perjanjian baru dan lebih berkekalan dengan Amerika.
Ramai ahli pemerintah baru Presiden Masoud Pezeshkian lebih suka berunding, dengan alasan Encik Trump suka membuat perjanjian dan mungkin terdapat peluang untuk menarik balik sekatan.
Ramai dalam puak konservatif di Iran menentang pelibatan dengan Encik Trump, dan sebarang rundingan – atau perjanjian – mesti diluluskan oleh pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Encik Trump penyokong setia Israel, yang melancarkan perang terhadap militia yang disokong Iran, Hamas dan Hezbollah sejak serangan 7 Oktober 2023.
Pada 14 November, dalam hantaran di media sosial, X, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata:
“Perbezaan boleh diselesaikan melalui kerjasama dan dialog. Kami bersetuju untuk meneruskan dengan keberanian dan niat baik. Iran tidak pernah meninggalkan meja rundingan mengenai program nuklear amannya.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg