TEHERAN: Kemenangan Encik Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47 telah menggoncang landskap politik di seluruh dunia, terutama di Iran.
Di sebalik kesangsian dan kecurigaan, perasaan rakyat Iran terhadap kembalinya Encik Trump ke Rumah Putih dianggap sesuatu yang berbelah-bahagi.
Ada yang khuatir ia menandakan ketegangan dan konflik baru antara Teheran dengan Washington, manakala yang lain berharap Encik Trump mungkin membawa pendekatan diplomatik mengejutkan sepertimana beliau berjaya membuka lembaran baru dengan Korea Utara sebelum ini.
Namun, satu perkara yang hampir pasti – hubungan Iran-Amerika akan berubah, seperti kata penganalisis politik Iran, Ahmad Zeidabadi, yang melihat kemenangan Encik Trump sebagai permulaan kepada tekanan yang lebih tegas ke atas Iran.
“Trump akan menggunakan tekanan yang lebih kuat terhadap Iran, dan jika pemimpin Iran terus menolak, Encik Trump mungkin meningkatkan tekanannya,” jelas Encik Zeidabadi.
Sentimen itu semakin menebal kerana ramai yang masih mengingati dasar “tekanan maksimum” Encik Trump pada penggal pertamanya yang menyebabkan ekonomi Iran lumpuh akibat pelbagai sekatan.
Di pihak kepimpinan Iran, Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, jelas tidak pernah menyembunyikan kebenciannya terhadap Encik Trump.
Malah, pada 2019, beliau secara terang-terangan menyatakan bahawa Encik Trump bukan seseorang yang layak untuk bertukar mesej atau dijadikan rakan bicara.
Sikap tegas Ayatollah Khamenei itu sudah tentu semakin kuat, khususnya selepas kejadian pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani pada 2020 – peristiwa yang masih tersemat dalam ingatan rakyat Iran.
Namun, Presiden Iran yang baru, Encik Masoud Pezeshkian, melahirkan sikap yang berbeza.
Di sebalik segala ketegangan, Encik Pezeshkian, kelihatan terbuka untuk berunding dengan Amerika dalam usaha mengurangkan beban ekonomi yang menjejas rakyatnya.
Dalam kenyataan terbarunya pada 7 November, Encik Pezeshkian menyatakan bahawa Iran “tidak akan menutup pintu dalam mengembangkan hubungan antarabangsa”, membuka ruang kepada kemungkinan rundingan dengan Washington walaupun suasana politik sedang membara.
Ini menunjukkan, di sebalik tekanan, masih wujud harapan untuk diplomasi yang mungkin mampu membawa nafas baru.
Pandangan rakyat Iran terhadap kemenangan Encik Trump juga bercampur baur.
Ada yang berasa takut dengan kemungkinan kembalinya dasar tegar Amerika, bimbang hubungan kedua-dua negara akan kembali ke zaman konflik seperti penggal pertama beliau.
Namun, ada juga yang melihat Encik Trump sebagai pemimpin yang tegas dan tidak teragak-agak, malah mengaguminya.
Bagi peniaga berusia 40 tahun, Cik Fatemeh Kaveh, Encik Trump dianggap seorang pemimpin berkaliber.
“Saya sangat gembira kerana Trump menang.
“Beliau seorang yang bersemangat kuat dan berprinsip, dan saya selalu mengikuti kisah-kisahnya di media sosial.
“Saya percaya pada kekuatannya,” katanya dengan penuh keyakinan.
Pada masa yang sama, ramai rakyat Iran turut berharap kemenangan Encik Trump boleh menamatkan perbelanjaan Iran yang besar dalam menyokong kumpulan militan di Timur Tengah, seperti Hezbollah dan Houthi.
Pekerja kedai pakaian, Cik Zohreh Naghavi, menambah:
“Kemenangan Trump bermakna keamanan mungkin kembali ke Lebanon dan Gaza, dan wang Iran tidak akan dibazirkan di sana... ini adalah berita baik.”
Di sebalik segala ketidaktentuan politik, realiti ekonomi di Iran adalah masalah yang tidak dapat diabaikan.
Mata wang rial terus merosot nilainya, kekurangan bekalan perubatan, serta kenaikan harga barangan keperluan asas memberi kesan mendalam kepada kehidupan harian rakyat.
Krisis itu kian meruncing sejak beberapa tahun lalu, ditambah pula dengan protes besar-besaran seperti bantahan selepas kematian Cik Mahsa Amini pada 2022 yang mencetuskan tuntutan ke arah kebebasan wanita.
Dalam keadaan ini, sesetengah rakyat Iran berasa sudah tiba masanya Iran mencari jalan untuk berdamai dengan Amerika.
Cik Sina Khaledian, seorang jururawat mengakui “Iran tiada pilihan lain selain berdamai dengan Trump, memandangkan nilai dolar dan kesusahan rakyat.
“Kapasiti negara untuk menghadapi tekanan sudah mencapai ke batas hadnya.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg