Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elon Musk dakwa Ukraine serang siber besar-besaran terhadap platform X

Mar 11, 2025 | 1:48 PM
Jutawan, Encik Elon Musk, menuding jari ke arah Ukraine atas serangan siber besar-besaran terhadap platform X (dahulunya Twitter), yang menyebabkan gangguan sepanjang hari pada 10 Mac.
Jutawan, Encik Elon Musk, menuding jari ke arah Ukraine atas serangan siber besar-besaran terhadap platform X (dahulunya Twitter), yang menyebabkan gangguan sepanjang hari pada 10 Mac. - Foto AFP

AUSTIN (Texas): Elon Musk telah menuding jari ke arah Ukraine atas serangan siber besar-besaran terhadap X (dahulunya Twitter), yang menyebabkan gangguan sepanjang hari pada 10 Mac.

Menurut laman web pemantau, Down Detector, berrpuluh-puluh ribu pengguna di seluruh dunia melaporkan gangguan sekejap di media sosial X pada 10 Mac

Catatan baru gagal dimuat naik oleh pengguna di negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan India di pelbagai tempat sepanjang hari.

Platform tersebut mempunyai 600 juta pengguna di seluruh dunia.

Kumpulan penggodam pro-Palestin, Dark Storm Team, mengaku bertanggungjawab di atas serangan penafian perkhidmatan (DDoS) terhadap platform itu, berdasarkan siaran Telegram awam.

Kumpulan itu terkenal kerana menyasarkan negara dan entiti yang menyokong serangan Israel ke atas Gaza.

Serangan DDoS pada asasnya ialah menyesakkan laluan di Internet dengan sengaja untuk menutup laman web.

Namun, Encik Musk menyatakan bahawa “kumpulan besar yang diselaraskan dan/atau sebuah negara terlibat” dalam penggodaman “besar-besaran” itu.

Beliau kemudian memberitahu Encik Larry Kudlow, semasa wawancara di Fox News, bahawa penggodam mempunyai “alamat IP yang berasal dari kawasan Ukraine.”

Encik Musk menyiarkan di X bahawa wadah itu disasarkan setiap hari, tetapi serangan terkini “dilakukan dengan banyak sumber” dan telah didalangi oleh “kumpulan besar yang diselaraskan dan/atau sebuah negara”.

Namun, beliau tidak memberikan bukti dakwaannya itu.

Gangguan terburuk berlaku di sepanjang pantai Amerika.

Menurut Downdetector.com, 56 peratus masalah dilaporkan untuk aplikasi X manakala 33 peratus dilaporkan untuk laman web.

Encik Musk, individu terkaya di dunia, menyatakan kepada media bahawa laman media sosial itu telah kembali beroperasi seperti biasa.

Pada Mac 2023, Twitter mengalami pelbagai gangguan selama lebih sejam apabila pautan berhenti berfungsi. Sesetengah pengguna tidak dapat log masuk dan imej tidak dapat dimuat turun.

Encik Musk, salah seorang sekutu Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang paling berpengaruh, menyiarkan tuduhannya sebagai tindak balas kepada satu lagi catatan yang menghubungkan gangguan yang berlaku dengan kontroversi baru-baru ini, termasuk tugasnya dengan Jabatan Kecekapan Pemerintah (Doge).

Beliau dan pasukannya di Doge telah ditugaskan oleh Encik Trump untuk mengurangkan saiz dan kos birokrasi persekutuan.

Sehingga kini, kira-kira 25,000 pekerja sektor awam telah dipecat, dan 75,000 lagi telah mengambil pampasan pemberhentian kerja.

Kegiatan ahli politik jutawan itu telah mencetuskan kemarahan yang meluas di seluruh Amerika, termasuk bantahan di syarikat pengedar Tesla dan kebakaran yang berlaku di kilang Tesla di luar Berlin dan stesen pengecas Tesla.

Selain mengawasi pemecatan ribuan pekerja persekutuan, Encik Musk turut memainkan peranan utama dalam pembatalan lebih 83 peratus daripada semua program di Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika.

Pada 9 Mac, Encik Musk masuk campur dalam bidang geopolitik, dengan berkata “keseluruhan barisan hadapan tentera Ukraine akan runtuh” ​​tanpa perkhidmatan Internet Starlink miliknya.

Menteri Luar Poland, Encik Radoslaw Sikorski, berkata bahawa Poland, yang membayar kos Starlink Ukraine untuk membantu menangkis pencerobohan Russia, mungkin perlu mencari pembekal alternatif. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg