WASHINGTON: Encik Elon Musk, mantan sekutu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 5 Julai mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baru di Amerika bagi mencabar apa yang digambarkannya sebagai “sistem satu parti” di negara itu.
Individu terkaya di dunia dan penyumbang politik terbesar kepada kempen Encik Trump dalam pilihan raya 2024 itu telah berselisih faham secara terbuka dengan Encik Trump selepas mengetuai usaha Republican untuk mengurangkan perbelanjaan dan memotong jawatan persekutuan sebagai Ketua Jabatan Kecekapan Pemerintah.
Encik Musk menentang rancangan perbelanjaan domestik besar-besaran yang diusul Encik Trump, dengan mendakwa ia akan meningkatkan hutang negara.
Beliau juga berikrar untuk melakukan apa sahaja bagi menewaskan para anggota Kongres yang menyokong usul tersebut, termasuk kini menubuhkan parti politiknya sendiri yang dinamakan Parti Amerika.
“Apabila melibatkan langkah yang memufliskan negara melalui pembaziran dan rasuah, kita hidup di bawah sistem satu parti, bukan demokrasi,” kata Ketua SpaceX dan Tesla itu dalam satu hantaran di X, platform media sosial miliknya.
Encik Musk mendakwa kedua-dua parti utama di Amerika bertindak serupa dalam isu tersebut, sekali gus menyebabkan rakyat tidak lagi menikmati demokrasi yang sebenar.
“Hari ini, Parti Amerika ditubuhkan untuk mengembalikan kebebasan anda.”
Encik Musk turut mengemukakan satu tinjauan yang dimuat naik di X pada 4 Julai, sempena Hari Kemerdekaan Amerika, di mana beliau bertanya sama ada para responden “mahu kemerdekaan daripada sistem dua parti (yang sesetengah pihak anggap sebagai sistem satu parti)” yang telah mendominasi politik Amerika selama hampir dua abad.
Tinjauan ‘ya-atau-tidak’ itu menerima lebih 1.2 juta maklum balas, dengan sekitar dua pertiga responden menyatakan sokongan untuk kemerdekaan daripada sistem tersebut.
“Dengan nisbah 2 berbanding 1, anda mahu parti politik baru, anda akan mendapatnya!” kata Encik Musk dalam satu hantaran pada 5 Julai.
Beliau turut berkongsi sebuah meme yang memaparkan seekor ular berkepala dua dengan kapsyen, “Akhiri Sistem Satu Parti”.
Masih belum jelas sejauh mana kesan yang akan dibawa oleh parti baru itu terhadap Pilihan Raya pertengahan penggal 2026, atau pemilihan Presiden pada 2028.
Pertelagahan antara Encik Trump dan Encik Musk kembali memuncak pada akhir Jun apabila Encik Trump menggesa anggota Republican di Kongres untuk meluluskan agenda domestik besar-besaran beliau melalui satu rang undang-undang.
Encik Musk meluahkan bantahan keras terhadap rang undang-undang tersebut dan menyerang anggota Republican yang dikatakan menyokong “perhambaan hutang”.
Beliau segera berikrar untuk menubuhkan parti politik baru bagi mencabar ahli-ahli legislatif yang berkempen untuk pengurangan perbelanjaan persekutuan tetapi kemudian mengundi menyokong rang undang-undang itu, yang menurut pakar akan menambah defisit Amerika sebanyak AS$3.4 trilion ($4.3 trilion) dalam tempoh 10 tahun.
Selepas Encik Musk mengkritik hebat rang undang-undang perbelanjaan utama itu – yang akhirnya diluluskan oleh Kongres dan disahkan menjadi undang-undang – Encik Trump mengugut untuk mengusir keluar jutawan teknologi itu dan menarik balik dana persekutuan daripada perniagaannya.
Encik Musk dilahirkan di Afrika Selatan dan telah memperoleh kewarganegaraan Amerika sejak 2002. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg