BEIJING: Pasukan penyelamat China meneruskan operasi mencari mangsa terselamat selepas ribut kuat dan banjir besar mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, menyebabkan puluhan sungai melimpah serta sebuah empangan takungan pecah.

Pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan pada 8 Julai, sekali gus meningkatkan risiko banjir susulan di beberapa wilayah yang sudah terjejas teruk.

Di wilayah selatan Guangxi, enam orang maut manakala sekurang-kurangnya 130,000 penduduk dipindahkan selepas hujan lebat akibat Taufan Maysak mencetuskan banjir besar.

Pegawai tempatan berkata hujan dijangka berterusan di Guangxi dan wilayah jiran, Guangdong, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat serta pemulihan.

Menurut media pemerintah, air berlumpur yang deras menyebabkan tebing 40 sungai dan laluan air di Guangxi melimpah, selain merosakkan hampir 13,000 ekar tanah pertanian.

Rakaman yang disiarkan stesen penyiaran CCTV menunjukkan arus deras mengalir melalui runtuhan dinding konkrit sebuah empangan takungan yang pecah di Guangxi. Anggota penyelamat yang memakai jaket keselamatan dilihat menggunakan bot getah untuk memasuki kawasan dinaiki air.

Agensi berita Xinhua melaporkan pemerintah China menghantar bantuan tambahan ke kawasan terjejas, termasuk makanan, baju hujan dan bot getah.

Pusat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negara mengekalkan tahap respons kecemasan banjir kedua tertinggi di Guangxi.

Menteri Sumber Air China, Encik Li Guoying, berkata paras air di Stesen Hidrologi Wuzhou, Guangxi, dijangka melepasi tahap amaran lebih enam meter menjelang awal Khamis.

“Disebabkan hujan lebat berterusan dan aliran banjir yang berada pada paras tinggi untuk tempoh panjang, keselamatan takungan dan benteng di kawasan terjejas berdepan ujian berat,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang memantau rapi empangan, takungan dan benteng sungai bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

Di wilayah tengah Hubei pula, ribut petir dan angin kencang mengorbankan 11 orang serta mencederakan 331 yang lain.

Xinhua melaporkan puting beliung turut dikesan di beberapa kawasan lewat Isnin. Seorang lagi masih hilang di Hubei, manakala 4,800 rumah rosak dan 22 rumah runtuh.

Presiden China, Xi Jinping, mengarahkan pasukan penyelamat melakukan segala usaha bagi mengatur operasi kecemasan dan membantu penduduk terjejas.

Menurut CCTV, beliau meminta pihak berkuasa tempatan “berusaha sedaya upaya” dalam operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan pemulihan kawasan bencana.

Bencana alam kerap berlaku di China, terutama pada musim panas apabila beberapa wilayah menerima hujan lebat berpanjangan, manakala kawasan lain berdepan cuaca panas melampau.

Pakar berkata pembangunan pesat, tekanan terhadap sistem saliran dan perubahan corak cuaca menjadikan beberapa kawasan lebih mudah terdedah kepada banjir kilat dan tanah runtuh.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Gansu, barat laut China, angka kematian akibat tanah runtuh meningkat kepada 21 orang.

Xinhua melaporkan tanah runtuh itu berlaku kira-kira jam 6.56 pagi 7 Julai di Kampung Rencang, Kaunti Dangchang, dan menimbus 33 orang.

Pasukan penyelamat dikerah ke lokasi sejurus selepas kejadian, namun operasi mencari dan menyelamat kini disahkan selesai.

“Operasi mencari dan menyelamat di tapak tanah runtuh di Kaunti Dangchang telah tamat; kejadian itu mengakibatkan 21 kematian,” menurut laporan Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan.

Punca tanah runtuh masih disiasat.

Pemerintah tempatan memperuntukkan 30 juta yuan (S$5.7 juta) bagi kerja pembinaan semula dan pemulihan selepas bencana itu.

Gelombang bencana terbaru ini menambah tekanan kepada pihak berkuasa China untuk memperkukuh persediaan menghadapi cuaca ekstrem, terutama ketika ramalan menunjukkan hujan lebat masih belum reda di beberapa wilayah utama. - Agensi berita