Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 90 maut dalam letupan gas lombong di China
Lebih 90 maut dalam letupan gas lombong di China
247 pekerja berada di bawah tanah semasa bencana terbesar dalam tempoh 17 tahun
Lebih 90 maut dalam letupan gas lombong di China
BEIJING: Satu letupan gas di lombong arang batu di utara China telah mengorbankan sekurang-kurangnya 90 individu, lapor media setempat pada 23 Mei.
Kejadian itu merupakan bencana perlombongan terbesar di negara itu dalam tempoh 17 tahun.
Seramai 247 pekerja berada di bawah tanah pada masa letupan itu, yang berlaku pada 7.29 malam pada 22 Mei di lombong arang batu Liushenyu di wilayah Shanxi, menurut agensi berita pemerintah Xinhua.
Kebanyakan mereka telah dibawa ke permukaan pada pagi 23 Mei, menurut Xinhua, yang mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 90 individu telah terkorban.
Seramai 345 anggota kecemasan telah dihantar ke lokasi, dengan penyelamat sebelum ini mencari “secara intensif” sembilan individu yang masih belum dikenal pasti.
Letupan pada 22 Mei itu merupakan bencana perlombongan terburuk di China sejak 2009, apabila 108 orang terbunuh dalam letupan lombong di timur laut wilayah Heilongjiang.
Penyelamat bertopi keledar membawa pengusung di lokasi kejadian, dengan ambulans kelihatan di latar belakang.
Presiden Chia, Encik Xi Jinping, menggesa “usaha sedaya upaya” untuk merawat mereka yang cedera dan menyeru siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu.
Beliau “menekankan bahawa semua wilayah dan jabatan mesti mengambil pengajaran daripada kemalangan ini, sentiasa berwaspada mengenai keselamatan tempat kerja ... dan tegas mencegah dan membendung berlakunya kemalangan besar dan bencana”.
Penguatkuasaan undang-undang menahan individu yang bertanggungjawab ke atas syarikat yang terlibat.
Media pemerintah pada mulanya melaporkan empat kematian dan berpuluh-puluh terperangkap selepas tahap karbon monoksida – gas yang sangat toksik dan tidak berbau – di lombong didapati telah “melebihi had”.
Sebahagian daripada mereka yang terperangkap di bawah tanah berada dalam “keadaan kritikal”, menurut laporan itu.
Jumlah kematian kemudian melonjak secara mendadak menjelang tengah hari.
Shanxi, salah satu wilayah China yang lebih miskin, ialah ibu kota perlombongan arang batu negara itu.
Keselamatan lombong di China telah bertambah baik dalam beberapa dekad kebelakangan ini, tetapi kemalangan masih berlaku dalam industri di mana protokol keselamatan sering longgar dan peraturannya samar-samar.
Pada 2023, satu runtuhan di lombong arang batu terbuka di wilayah utara Mongolia mengorbankan 53 individu.
China merupakan pengguna arang batu utama dunia dan pemancar gas rumah hijau terbesar, walaupun telah memasang kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada kelajuan rekod. – Agensi berita.
