MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, pada 6 November mengisytiharkan darurat kebangsaan selepas Taufan Kalmaegi mengorbankan sekurang-kurangnya 140 nyawa dan menyebabkan hampir 130 orang hilang di wilayah tengah negara itu menjadikannya bencana alam paling dahsyat di Filipina tahun 2025 ini.
Taufan Kalmaeg itu menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa wilayah, khususnya di Cebu, yang merekodkan jumlah kematian tertinggi. “Kebanyakan mangsa mati lemas apabila air naik terlalu cepat,” kata Ketua Pertahanan Awam, Ariel Nepomuceno.
Menurut Pejabat Pertahanan Awam Negara, hampir dua juta orang terjejas dan lebih 560,000 penduduk terpaksa berpindah, termasuk 450,000 yang berlindung di pusat pemindahan sementara. Lebih 3,500 penumpang dan pemandu trak kargo terkandas di hampir 100 pelabuhan, manakala 186 penerbangan domestik dibatalkan.
Dalam mesyuarat bersama pegawai pengurusan bencana pada 6 November, Encik Marcos berkata pengisytiharan darurat membolehkan pemerintah menyalurkan dana kecemasan dengan lebih pantas, di samping mengelak penyorokan bekalan makanan dan kenaikan harga mendadak.
“Kita mesti bertindak segera. Bantuan mesti sampai kepada mangsa tanpa kelewatan,” tegas Encik Marcos dalam sidang media yang disiarkan secara langsung.
Air bah luar biasa menenggelamkan beberapa bandar di wilayah Cebu, menghanyutkan rumah, kenderaan dan kontena besar dari pelabuhan. Di bandar Liloan, pasukan penyelamat menemui sekurang-kurangnya 35 mayat, sementara ramai lagi masih hilang.
Penduduk tempatan, Christine Aton, menceritakan detik cemas kehilangan kakaknya yang kurang upaya. “Kami cuba pecahkan pintu biliknya dengan pisau dan besi, tapi air semakin naik... peti sejuk mula terapung,” katanya. “Ayah suruh saya keluar ikut tingkap, tapi kami menangis kerana tak sempat selamatkan kakak.”
Seorang lagi mangsa terselamat, Chyros Roa, berkata beliau dan keluarganya hanya sempat melarikan diri selepas anjing peliharaan mereka menyalak kuat pada awal pagi. “Arus sangat deras. Kami jerit minta tolong, tapi penyelamat pun dihanyutkan,” katanya dalam keadaan masih trauma.
Gabenor Cebu, Pamela Baricuatro, mengakui pihak berkuasa tidak menjangka banjir sebesar itu. “Kami sudah bersedia untuk taufan, tetapi banjir kilat seperti ini sangat sukar dijangka,” ujarnya. Beliau menambah bahawa aktiviti kuari dan projek kawalan banjir yang lemah mungkin memperburuk keadaan.
Tentera udara Filipina turut kehilangan enam anggota apabila helikopter mereka terhempas di Agusan del Sur ketika menghantar bantuan ke kawasan terjejas. “Mereka sedang dalam misi kemanusiaan,” kata jurucakap tentera udara. “Kami masih menyiasat punca nahas.”
Dengan 20 taufan melanda setiap tahun, Filipina kekal antara negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia kini terpaksa menanggung satu lagi musim yang mencabar selepas Kalmaegi.
Taufan Kalmaegi yang kini menuju ke Laut China Selatan diklasifikasikan sebagai taufan paling maut di dunia bagi tahun 2025, menurut pangkalan data bencana antarabangsa EM-DAT.
Ahli meteorologi Benison Estareja berkata, jumlah hujan yang turun di Cebu sepanjang laluan taufan itu adalah 1.5 kali lebih banyak daripada purata keseluruhan bulan November.
“Ia kejadian yang berlaku sekali dalam tempoh 20 tahun,” katanya.
Cebu sebenarnya masih dalam fasa pemulihan selepas gempa bumi bermagnitud 6.9 pada 30 September lalu yang meragut 79 nyawa. Kini, rakyatnya berdepan pula bencana baru.
Encik Marcos turut memberi amaran bahawa taufan baharu dari Lautan Pasifik sedang bergerak ke arah utara Filipina dan boleh meningkat menjadi super taufan dalam tempoh beberapa hari. “Kita perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana seterusnya,” katanya.
Pakar iklim menegaskan bahawa pemanasan global menjadikan taufan semakin kuat dan sukar diramal. Lautan yang lebih panas mempercepatkan pembentukan taufan besar, manakala atmosfera yang lembap menghasilkan hujan lebih lebat.
“Apa yang berlaku di Cebu ialah tanda jelas perubahan iklim,” kata pakar bencana, Dr. Jose Alonzo. “Kita perlu ubah pendekatan dalam perancangan bandar dan sistem amaran awal.”
Sementara itu, di Vietnam, pihak berkuasa telah memindahkan ribuan penduduk pesisir menjelang pendaratan Kalmaegi yang dijangka membawa ombak setinggi lapan meter. Timbalan Perdana Menteri Tran Hong Ha menyifatkan ribut itu sebagai “sangat luar biasa dan berbahaya.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg