Empat anggota tentera Indonesia ditahan, disyaki terlibat serangan asid ke atas aktivis hak asasi
Empat anggota tentera Indonesia ditahan, disyaki terlibat serangan asid ke atas aktivis hak asasi
JAKARTA: Tentera Indonesia menahan empat anggotanya yang disyaki mempunyai kaitan dengan serangan asid terhadap seorang aktivis hak asasi manusia yang lantang mengkritik peranan tentera dalam pemerintah, menurut pegawai pada 18 Mac.
Mangsa, Encik Andrie Yunus, yang merupakan timbalan penyelaras kumpulan hak asasi Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) diserang lewat malam 12 Mac ketika menunggang motosikal. Menurut KontraS, dua lelaki menaiki skuter menghampirinya sebelum salah seorang daripada mereka menyimbah asid.
Akibat serangan itu, Encik Andrie mengalami kecederaan serius pada wajah, mata, tangan dan bahagian badan.
Komander polis tentera, Encik Yusri Nuryanto, berkata empat anggota daripada unit risikan tentera telah ditahan bagi membantu siasatan. “Siasatan dalaman selepas serangan menemukan beberapa ketidakwajaran yang membawa kepada penahanan ini,” katanya dalam sidang media.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai peranan sebenar keempat-empat anggota tersebut, sambil menegaskan siasatan masih dijalankan. “Kami masih menyiasat motif empat suspek yang terlibat,” katanya.
Empat anggota itu, yang dikenal pasti melalui inisial NDP, SL, BHW dan ES, kini ditahan di kemudahan keselamatan tinggi di Jakarta.
Dalam perkembangan berasingan, polis Jakarta turut mengeluarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan wajah dua individu yang disyaki menyerang Encik Andrie.
Pegawai polis, Encik Iman Imanuddin, berkata kedua-dua suspek dikenali melalui inisial BHC dan MAK. Namun, hubungan mereka dengan empat anggota tentera yang ditahan masih belum dapat dipastikan.
“Kami akan menyelaras penemuan ini dengan pihak tentera,” katanya.
Sebelum ini, polis memaklumkan bahawa analisis rakaman CCTV menunjukkan empat suspek menaiki dua skuter telah mengekori Encik Andrie sebelum serangan berlaku.
Difahamkan, Encik Andrie merupakan pengkritik tegar terhadap usaha memperluaskan pengaruh tentera dalam struktur pemerintah Indonesia. Beliau baru sahaja selesai merakam sebuah podcast mengenai isu tersebut sebelum diserang.
Serangan itu turut mendapat perhatian antarabangsa. Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Volker Turk, menyifatkan insiden itu sebagai “mengerikan” dan menggesa pihak berkuasa memastikan akauntabiliti.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia pula menyatakan bahawa Indonesia menunjukkan tanda-tanda kemunduran demokrasi di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto, termasuk tindakan keras terhadap protes, penapisan media serta intimidasi terhadap aktivis.
Kes ini dilihat menimbulkan kebimbangan baharu terhadap keselamatan aktivis hak asasi di Indonesia, khususnya mereka yang lantang mengkritik institusi berkuasa. - Agensi berita

