Polis buru empat suspek serangan asid terhadap aktivis hak asasi di Jakarta
Polis buru empat suspek serangan asid terhadap aktivis hak asasi di Jakarta
JAKARTA: Polis Indonesia sedang memburu empat individu yang disyaki terlibat dalam serangan asid terhadap seorang aktivis hak asasi manusia yang lantang mengkritik peningkatan peranan tentera dalam pemerintah, menurut seorang pegawai pada 16 Mac.
Mangsa, Encik Andrie Yunus, timbalan penyelaras kumpulan hak asasi KontraS, diserang minggu lalu ketika menunggang motosikal. Menurut kenyataan KontraS, dua lelaki yang menaiki skuter menghampirinya sebelum salah seorang daripada mereka menyimbah asid ke arah mangsa.
Serangan itu menyebabkan Encik Andrie mengalami kecederaan serius pada muka, mata, tangan serta bahagian badan lain.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat suspek yang menaiki dua skuter mengekori Encik Andrie sebelum serangan berlaku, kata pegawai polis Jakarta, Iman Imanuddin, kepada wartawan pada 16 Mac.
Beliau berkata pihak berkuasa kini menjalankan ujian forensik terhadap sebuah topi keledar motosikal dan sebuah bekas yang dipercayai mengandungi asid yang digunakan dalam serangan tersebut.
Sementara itu, wakil KontraS, Cik Jane Rosalina, berkata kecederaan paling parah dialami Encik Andrie pada mata kanan dan beliau kini menerima rawatan khusus di unit rawatan rapi. “Keadaan beliau masih serius dan doktor memberi tumpuan kepada rawatan kecederaan pada mata kanannya,” katanya.
Menurut KontraS, Encik Andrie merupakan pengkritik lantang terhadap usaha memperluas pengaruh tentera dalam struktur pemerintah Indonesia. Ketika kejadian, beliau baru sahaja selesai merakam sebuah podcast yang membincangkan isu tersebut sebelum diserang.
Serangan itu turut mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa. Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Volker Turk, menyatakan beliau “amat bimbang” dengan serangan asid yang disifatkannya sebagai kejam. “Mereka yang bertanggungjawab atas tindakan keganasan pengecut ini mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.
Beliau turut menegaskan bahawa pembela hak asasi manusia perlu dilindungi dalam menjalankan tugas mereka dan harus dapat menyuarakan isu kepentingan awam tanpa rasa takut. Pelapor khas PBB mengenai pembela hak asasi manusia, Cik Mary Lawlor, turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap serangan yang disifatkannya sebagai “tidak boleh diterima”.
Di Jakarta, Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Encik Yusril Ihza Mahendra, berjanji bahawa pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan. “Kami komited memastikan pelaku serangan ini dikenal pasti dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Insiden tersebut berlaku di tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keadaan demokrasi di Indonesia.
Dalam laporan terbaharunya mengenai negara itu, Pemantau Hak Asasi Manusia menyatakan Indonesia sedang mengalami kemerosotan demokrasi yang berterusan, termasuk tindakan keras terhadap protes, penapisan media serta intimidasi terhadap aktivis sejak Presiden Prabowo Subianto, bekas jeneral tentera, mengambil alih jawatan pada 2024.
Serangan terhadap Encik Andrie kini dilihat sebagai satu lagi ujian besar terhadap komitmen pemerintah Indonesia dalam melindungi kebebasan bersuara dan keselamatan pembela hak asasi manusia di negara itu. - Agensi berita

