WASHINGTON/TEHERAN: Sekurang-kurangnya empat terbunuh selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas Iran bagi malam ke-13 berturut-turut, ketika konflik antara kedua-dua negara terus memuncak dan mengancam kestabilan rantau Timur Tengah serta bekalan tenaga dunia.

Markas Pusat Amerika (Centcom) dalam kenyataan awal pagi Jumaat memaklumkan tenteranya menyasarkan pusat pemerintahan tentera Iran, kemudahan simpanan dron, rangkaian komunikasi, tapak pemantauan pantai dan aset maritim.

Menurut Centcom, serangan itu bertujuan melemahkan keupayaan tentera Iran, khususnya Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang didakwa mengancam laluan perkapalan komersial di rantau Teluk.

Media pemerintah Iran melaporkan serangan Amerika Syarikat di wilayah Khuzestan, barat daya negara itu, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan lima lagi.

Timbalan Gabenor Khuzestan, Valiollah Hayati, berkata serangan peluru berpandu itu menyasarkan kawasan sekitar bandar Ahvaz.

“Empat rakyat kami syahid manakala lima lagi cedera akibat serangan musuh pengganas Amerika Syarikat,” katanya seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.

Selain Khuzestan, letupan turut dilaporkan di sekurang-kurangnya enam wilayah lain termasuk Lorestan dan Hormozgan.

Dalam perkembangan berkaitan, Centcom menegaskan Selat Hormuz masih dibuka kepada pelayaran komersial walaupun ketegangan semakin memuncak.

Menurut tentera Amerika Syarikat, kapal dagang masih boleh menggunakan laluan itu dengan sokongan keselamatan tentera negara berkenaan.

Bagaimanapun, Kor Pengawal Revolusi Islam menegaskan mereka masih menguasai Selat Hormuz dan hanya kapal yang berkoordinasi dengan Iran dijamin laluan selamat.

Beberapa jam selepas serangan Amerika Syarikat, tentera Iran mengumumkan melancarkan satu lagi gelombang serangan dron ke atas kemudahan tentera Amerika Syarikat di Bahrain dan Jordan.

Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita Mehr, dron Iran menyasarkan tangki simpanan bahan api, gudang peralatan serta penempatan anggota tentera di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain.

Iran turut mendakwa menyerang hangar pesawat, kemudahan penyelenggaraan dan kawasan penginapan tentera di Pangkalan Muwaffaq Salti atau Al-Azraq di Jordan.

Tentera Iran memberi amaran bahawa sebarang tindakan yang menjejaskan kepentingan negara itu hanya akan memburukkan lagi keselamatan serantau dan menggugat kestabilan ekonomi.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi bayangan bahawa Washington bersedia meningkatkan lagi operasi ketenteraan terhadap Teheran.

Beliau berkata sedang mempertimbangkan serangan terbesar setakat ini selepas Iran melancarkan beberapa serangan balas terhadap sekutu Amerika Syarikat di rantau Teluk, termasuk menyerang sebuah menara telekomunikasi di Kuwait.

“Saya hampir membuat keputusan. Kami sudah bersedia sepenuhnya,” kata Encik Trump dalam temu bual dengan portal berita Axios.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, pula memberi amaran bahawa tindakan agresif Washington akan menyebabkan Encik Trump “membayar harga yang lebih mahal”.

Beliau menegaskan Iran akan terus membalas setiap serangan mengikut prinsip “mata dibalas mata”, termasuk jika kemudahan awam atau infrastruktur negara itu terus menjadi sasaran.

Sebagai reaksi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, berkata pendekatan Encik Trump adalah “kepala dibalas mata”, sekali gus menggambarkan pendirian Washington untuk bertindak lebih keras.

Konflik yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu menyaksikan Amerika Syarikat meningkatkan serangan terhadap pelbagai sasaran di Iran, termasuk jambatan, terowong dan kemudahan ketenteraan.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat serta sekutunya di rantau Teluk.

Perkembangan itu dilihat semakin menghakis perjanjian damai sementara yang dimeterai kedua-dua negara bulan lalu.

Dalam perkembangan berasingan, kumpulan Houthi di Yaman turut memperluaskan konflik apabila menyerang dua kapal tangki Arab Saudi di Laut Merah pada 23 Julai sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa dan menyebabkan harga minyak dunia melonjak.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, memberi amaran bahawa keadaan semakin sukar dikawal.

“Satu krisis mencetuskan krisis lain, dan setiap peningkatan ketegangan membawa kepada peningkatan yang seterusnya,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Houthi sebelum ini mengisytiharkan sekatan ke atas pelabuhan Arab Saudi di Laut Merah, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap laluan perdagangan utama dunia di Selat Bab al-Mandeb.

Penganalisis tenaga turut memberi amaran gangguan berterusan di Selat Hormuz dan Laut Merah boleh menjejaskan bekalan minyak global.

Harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$100 ($129) setong buat kali pertama dalam tempoh beberapa bulan, mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan gangguan bekalan yang lebih besar sekiranya konflik terus memuncak. - Agensi berita