Empat maut, lima hilang setelah timbunan sampah runtuh di tapak pelupusan terbesar Indonesia
Empat maut, lima hilang setelah timbunan sampah runtuh di tapak pelupusan terbesar Indonesia
JAKARTA: Pasukan penyelamat masih giat mencari lima individu yang dilaporkan hilang selepas timbunan besar sampah runtuh di tapak pelupusan terbesar Indonesia di Bantargebang, Bekasi, pada hujung minggu mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.
Kejadian berlaku pada 8 Mac di Tapak Pemprosesan Sampah Bersepadu (TPST) Bantargebang yang terletak di pinggir Jakarta, menurut Ketua Agensi Penyelamat tempatan, Cik Desiana Kartika Bahari.
Beliau berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan tersebut sejak malam 7 Mac, menyebabkan timbunan sampah menjadi tidak stabil.
“Hujan turun sepanjang hari sejak petang sebelumnya dan gunung sampah di kawasan itu menjadi tidak stabil,” katanya kepada Reuters.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang waktu tempatan ketika beberapa lori sampah sedang menunggu giliran untuk memunggah muatan di tapak pelupusan berkenaan.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jakarta, Encik Isnawa Adji, berkata runtuhan berlaku secara tiba-tiba dan menghempap beberapa kenderaan di kawasan tersebut.
“Ketika lori-lori sampah sedang beratur untuk memunggah sisa pepejal, runtuhan berlaku secara tiba-tiba dan menimpa lima lori sampah serta sebuah gerai makanan berhampiran,” katanya dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Antara.
Mangsa yang terlibat terdiri daripada pemandu lori dan pemungut barang kitar semula yang berada di sekitar tapak pelupusan ketika kejadian berlaku.
Cik Desiana berkata terdapat kemungkinan lebih ramai mangsa tertimbus di bawah timbunan sampah.
“Mangsa yang masih hilang ialah pemandu lori dan pemungut sampah. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa tertimbus,” katanya.
Data awal pihak berkuasa menunjukkan seramai 10 orang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu, termasuk lima penduduk setempat dan lima pemandu lori sampah.
Setakat ini, empat mangsa disahkan maut manakala dua lagi berjaya diselamatkan dari timbunan sampah.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini digiatkan dengan penglibatan lebih 200 anggota penyelamat termasuk polis, tentera serta sukarelawan.
Pasukan penyelamat turut mengerahkan sekurang-kurangnya 17 hingga 20 jentera ekskavator bagi menggali timbunan sampah dan mencari mangsa yang masih hilang.
Menurut pejabat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Jakarta, usaha menyelamat masih diteruskan kerana beberapa lori sampah dan gerai di kawasan tersebut masih tertimbus di bawah runtuhan.
“Operasi SAR masih berjalan dan kami sedang mengumpul maklumat tambahan kerana beberapa kenderaan dan struktur kecil masih tertimbus,” kata seorang pegawai Basarnas.
Tapak pelupusan Bantargebang meliputi kawasan kira-kira 110 hektar dan menerima antara 6,500 hingga 7,000 tan sampah setiap hari dari Jakarta dan kawasan sekitarnya.
Insiden itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan di tapak pelupusan besar di Indonesia, terutama ketika hujan lebat boleh menyebabkan timbunan sampah menjadi tidak stabil dan berisiko runtuh.
Pihak berkuasa berkata operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga semua individu yang dilaporkan hilang berjaya ditemui. – Agensi berita.

