Angka korban tanah runtuh Bandung naik kepada 48, hujan jejas operasi mencari
Angka korban tanah runtuh Bandung naik kepada 48, hujan jejas operasi mencari
JAKARTA: Jumlah korban akibat tragedi tanah runtuh yang melanda Kampung Pasirlangu, Daerah Kecil Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat, meningkat kepada 48 orang, ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang berdepan cabaran hujan berterusan pada pagi 28 Januari.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 32 orang masih dilaporkan hilang, manakala usaha pencarian terpaksa disesuaikan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu demi keselamatan pasukan penyelamat.
“Hujan turun di lokasi tanah runtuh pagi ini, namun semua pasukan penyelamat bersedia untuk meneruskan pencarian dan hanya menunggu masa yang selamat,” kata jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, kepada Reuters.
Menurut laporan media tempatan yang dipetik Xinhua, pihak polis Jawa Barat mengesahkan bahawa Pos Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) telah menerima sebanyak 48 beg mayat yang dipindahkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Daripada jumlah itu, kira-kira 30 mangsa telah berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Polis memaklumkan proses pengecaman ke atas baki 18 mayat masih diteruskan melalui padanan data bedah siasat dan rekod data klinikal sebelum kematian sementara senarai individu yang dilaporkan hilang terus dikemas kini dari semasa ke semasa.
Bagi mempercepatkan usaha mencari mangsa yang tertimbus, pihak berkuasa turut mengerahkan anjing pengesan untuk membantu pasukan bersama, khususnya di kawasan cerun dan lokasi yang tidak dapat diakses oleh jentera berat.
Tanah runtuh itu berlaku pada awal pagi 24 Januari, sekitar 3 pagi, selepas hujan lebat berterusan melanda kawasan berkenaan sejak sehari sebelumnya.
Kampung Pasirlangu terletak di kawasan berbukit di utara Bandung, kira-kira 100 kilometer di tenggara Jakarta, dan berada di lereng Gunung Burangreng.
Kejadian tersebut mengakibatkan kira-kira 30 rumah tertimbus, memaksa ratusan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
BNPB sebelum ini memaklumkan hampir 700 penduduk telah dipindahkan ke bangunan pemerintah tempatan dan pusat pemindahan sementara.
Selain operasi menyelamat, pihak berkuasa tempatan turut memberi perhatian kepada aspek kebajikan mangsa, khususnya kanak-kanak.
Pejabat Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Kota Bandung menyediakan perkhidmatan pemulihan trauma, termasuk sokongan psikologi, pengagihan mainan pendidikan, ubat-ubatan dan pakaian bagi membantu memulihkan kesejahteraan mental kanak-kanak yang terjejas.
Dalam perkembangan berkaitan, kebimbangan turut timbul mengenai kemungkinan pertindihan angka korban dengan insiden berasingan melibatkan anggota tentera.
Tentera Laut Indonesia pada 27 Januari memaklumkan bahawa 23 anggota tentera maut ketika menjalani latihan rondaan sempadan.
Encik Abdul Muhari berkata masih belum jelas sama ada angka korban tanah runtuh yang diumumkan itu merangkumi kematian anggota tentera berkenaan.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 800 anggota penyelamat, termasuk tentera, polis dan sukarelawan, telah dikerahkan ke lokasi bencana bersama sembilan jentera penggali untuk mencari mangsa yang masih tertimbus.
Di sebalik usaha menyelamat yang berterusan, tragedi Pasirlangu turut mencetuskan kritikan keras terhadap pengurusan guna tanah di kawasan pergunungan Bandung Utara.
Kumpulan alam sekitar, Forum Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi) menyalahkan kegagalan pemerintah tempatan dan wilayah dalam mengawal pembangunan serta aktiviti ladang yang telah mengurangkan keupayaan kawasan itu menyerap air hujan.
“Tanah runtuh di Pasirlangu adalah hasil pengabaian selama bertahun-tahun oleh pemerintah daerah dan wilayah, yang selama 15 hingga 20 tahun gagal mengawal kawasan tadahan air dengan berkesan,” kata Pengarah Eksekutif Walhi Jawa Barat, Encik Wahyudin Iwang, kepada The Jakarta Post.
Beliau berkata Walhi telah lama memberi amaran mengenai risiko pembangunan kediaman dan pelancongan, serta aktiviti perladangan di kawasan berkenaan yang didakwa beroperasi dengan pengawasan minimum.
Walaupun mengakui pemerintah Jawa Barat telah mengeluarkan beberapa peraturan untuk menghentikan permit guna tanah di kawasan Bandung Utara, Wahyudin berkata langkah itu masih tidak mencukupi.
“Ia perlu disusuli dengan usaha konkrit untuk memulihkan fungsi kawasan sebagai zon tadahan air melalui penanaman semula hutan dan pemulihan ekologi,” katanya.
Pakar perancangan bandar Universiti Trisakti, Encik Yayat Supriyatna, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan perancangan guna tanah, khususnya bagi aktiviti pertanian di lereng Gunung Burangreng.
Menurutnya, kawasan tanaman telah bertindih dengan zon perlindungan yang sepatutnya berfungsi sebagai kawasan tadahan air.
Agensi Geologi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia pula menyimpulkan bahawa tanah runtuh tersebut berpunca daripada gabungan keadaan geologi, cerun curam, perubahan guna tanah serta faktor pencetus hujan lebat.
Timbalan Gabenor Jawa Barat, Encik Erwan Setiawan, berkata pemerintah wilayah akan mengambil tindakan tegas terhadap penukaran guna tanah secara haram dan memulihkan kawasan hutan kepada fungsi asalnya.
“Perancangan guna tanah yang mampan serta pemulihan vegetasi di cerun kritikal merupakan penyelesaian jangka panjang yang tidak boleh dirunding,” kata Menteri Alam Sekitar, Encik Hanif Faisol Nurofiq, sambil menegaskan komitmen kerajaan untuk mencegah tragedi seumpama itu daripada berulang. – Agensi berita.

