TOKYO: Penutup saluran kumbahan tempat empat pekerja maut semasa kerja pemeriksaan didapati mengandungi kepekatan gas hidrogen sulfida sekurang-kurangnya 15 kali ganda melebihi paras yang dibenarkan, menurut kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja tersebut.
Polis wilayah Saitama percaya bahawa para pekerja berkemungkinan telah menghidu gas hidrogen sulfida, dan sedang menyiasat untuk menentukan punca sebenar kematian. Siasatan telah dibuka atas kemungkinan kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian.
Pada 3 Ogos, polis mengesahkan bahawa kesemua mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat kejuruteraan awam yang berpangkalan di Bandar Saitama, dan telah diupah oleh kerajaan bandar Gyoda untuk menjalankan pemeriksaan tersebut.
Menurut polis, salah seorang pekerja sedang cuba menuruni tangga ke dasar saluran kumbahan yang telah berhenti mengalir, apabila dia hilang kesedaran dan terjatuh pada pagi 2 Ogos.
Tiga lagi pekerja dipercayai turut terjatuh ketika cuba menyelamatkannya.
Keempat-empat mangsa ditarik keluar dari saluran paip tersebut, yang mempunyai air kumbahan sedalam kira-kira 1.8 meter, dan disahkan meninggal dunia di hospital. Tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada tubuh mereka.
Mengikut Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Industri, di lokasi yang berisiko menghasilkan hidrogen sulfida, pengudaraan atau langkah-langkah lain mesti diambil untuk memastikan kepekatan tidak melebihi 10 ppm. Menurut syarikat terbabit, bacaan 30 ppm telah direkodkan ketika kerja bermula.
Selepas keempat-empat lelaki itu terjatuh, kepekatan gas melebihi 150 ppm telah dikesan.
Tiada seorang pun daripada pekerja itu yang memakai tali keselamatan bagi mengelakkan jatuh, atau topeng perlindungan untuk mencegah kekurangan oksigen.
Pihak polis kini sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang kecuaian dalam pengurusan keselamatan oleh pihak syarikat. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg