CIANJUR: Ibarat jatuh ditimpa tangga, sebuah keluarga enam beradik bukan sahaja dihimpit kemiskinan, bahkan terpaksa juga menanggung derita penyakit Parkinson’s.
Penyakit itu merupakan gangguan neurodegeneratif yang membawa kepada gegaran otot serta kesukaran berjalan dan imbangan.
Dalam kalangan adik-beradik tersebut yang tinggal di Desa Bojongkasih di Indonesia, hanya empat - Cik Rupiah, 58 tahun, Cik Salamah, 53 tahun, Encik Saepudin, 50 tahun dan Encik Omo, 48 tahun - yang masih boleh bergerak dan melakukan kegiatan, sementara dua daripada mereka - Cik Yayah, 63 tahun, dan Cik Patimah, 61 tahun - dalam keadaan terlantar, menurut laman berita Indonesia detikJabar.
Menurut Encik Omo, kakak-kakaknya yang paling tua itu dalam keadaan terlantar di tikar di tengah rumah.
Beliau dan adik-beradik lain masih boleh melakukan kegiatan tetapi terbatas dan sekadar mengikut kekuatan masing-masing.
Adik-beradik itu kini bergantung kepada anak Cik Rupiah untuk menyara kehidupan mereka memandangkan mereka semua tidak mampu bekerja.
Sayangnya, anak dan menantu Cik Rupiah bukan daripada masyarakat berada dan pekerjaannya sebagai petani bermakna mereka hanya mampu makan dengan lauk seadanya.
Justeru, bantuan daripada pemerintah serta dermawan amat diharapkan keluarga itu untuk mengharungi keadaan hidup mereka.
Video TikTok yang dimuat naik pengguna sahaba mereka menjadi tular dan menyentuh hati ramai warganet.
Sesetengah mendoakan mereka di ruang komen.
Pengguna Lilis S,R berkata: “Ya Allah berikan kesehatan kepada mereka Aamiin.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg