TEHERAN: Kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu telah membuka fasa baharu dalam politik Iran.

Jika sebelum ini kuasa tertinggi negara tertumpu hampir sepenuhnya pada seorang pemimpin agama, kini struktur kuasa Iran dilihat bergerak ke arah kepimpinan kolektif yang lebih banyak dipengaruhi oleh jeneral-jeneral Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Pelantikan Ayatollah Mojtaba Khamenei, anak kepada mantan pemimpin tertinggi itu, sebagai pemimpin baharu Iran tidak serta-merta menjadikan beliau tokoh paling berkuasa seperti bapanya.

Sebaliknya, keadaan kesihatannya yang serius, kedudukannya yang masih tersembunyi, serta kebergantungannya kepada rangkaian keselamatan dan ketenteraan telah memberikan ruang lebih besar kepada IRGC untuk menentukan hala tuju perang, keselamatan dan rundingan diplomatik.

Menurut beberapa pegawai Iran, Encik Mojtaba cedera parah dalam serangan yang turut membunuh bapanya, isterinya dan anaknya. Beliau kini bersembunyi di lokasi yang sangat dirahsiakan, dengan akses yang amat terhad.

Pegawai kanan pemerintah dan komander IRGC dikatakan tidak mengunjunginya secara langsung kerana bimbang pergerakan mereka boleh dijejaki Israel.

Keadaan itu menyebabkan komunikasi dengan beliau dilakukan melalui nota tulisan tangan yang dihantar secara berantai oleh kurier dipercayai. Arahan atau pandangannya kemudian disampaikan semula melalui kaedah yang sama. Walaupun pegawai Iran menyatakan beliau masih “tajam dari segi mental”, kecederaan pada wajah, bibir, tangan dan kaki menyukarkan beliau tampil secara terbuka.

Beliau juga belum menerbitkan rakaman video atau audio, kerana menurut pegawai yang mengetahui keadaan kesihatannya, Encik Mojtaba tidak mahu kelihatan lemah dalam ucapan pertamanya sebagai pemimpin tertinggi. Ini berbeza sama sekali dengan bapanya, yang selama puluhan tahun menjadi pusat kuasa utama dalam semua keputusan besar Iran, termasuk perang, damai dan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Penganalisis melihat keadaan ini sebagai perubahan mendalam dalam sistem pemerintahan Iran. Encik Sanam Vakil dari Chatham House berkata Encik Mojtaba belum benar-benar menguasai struktur kuasa negara.

“Mojtaba belum sepenuhnya memegang perintah atau kawalan,” katanya. “Mungkin ada penghormatan terhadap beliau. Beliau menandatangani keputusan atau menjadi sebahagian daripada struktur keputusan secara formal. Tetapi buat masa ini, beliau sering hanya menerima keputusan yang sudah disediakan.”

Gambaran itu menunjukkan bahawa Encik Mojtaba mungkin masih menjadi simbol legitimasi agama, tetapi kuasa sebenar semakin berada di tangan jeneral-jeneral IRGC.

Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, yang juga mantan jeneral IRGC kini memainkan peranan penting sebagai perunding utama dengan Amerika Syarikat di Pakistan.

Encik Abdolreza Davari, ahli politik yang pernah menjadi penasihat kanan kepada mantan Presiden Mahmoud Ahmadinejad, menyamakan gaya kepimpinan Encik Mojtaba seperti pengerusi lembaga pengarah.

“Mojtaba mengurus negara seolah-olah beliau pengarah lembaga,” katanya dari Teheran. “Beliau banyak bergantung kepada nasihat dan panduan ahli lembaga, dan mereka membuat keputusan secara kolektif. Jeneral-jeneral itu ialah ahli lembaga.”

Kebangkitan IRGC bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Sejak ditubuhkan selepas Revolusi Islam 1979, ia secara beransur-ansur mengukuhkan pengaruh melalui peranan politik, kawalan terhadap sektor industri penting, operasi perisikan dan hubungan dengan kumpulan bersenjata serantau yang berkongsi permusuhan dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Namun, di bawah Ayatollah Ali Khamenei, IRGC masih perlu tunduk kepada kehendak seorang pemimpin agama yang juga panglima tertinggi angkatan bersenjata. Beliau memperkasa IRGC, tetapi pada masa sama kekal sebagai pusat terakhir keputusan.

Selepas kematiannya, kekosongan itu menjadi peluang kepada IRGC untuk menjadi penggerak utama sistem.

Encik Ali Vaez dari Kumpulan Krisis Antarabangsa berkata Encik Mojtaba tidak memiliki kedudukan yang sama seperti bapanya.

“Mojtaba bukan pemimpin tertinggi dalam erti kata sebenar. Beliau mungkin pemimpin dari segi nama, tetapi tidak setinggi bapanya,” katanya.

“Mojtaba bergantung kepada IRGC kerana beliau berhutang kedudukannya dan kelangsungan sistem kepada mereka.”

Pengaruh IRGC kini dapat dilihat dalam hampir semua keputusan strategik. Mereka merangka strategi serangan Iran terhadap Israel dan negara-negara Teluk, menutup Selat Hormuz kepada lalu lintas maritim, bersetuju dengan gencatan senjata sementara bersama Amerika Syarikat dan meluluskan saluran diplomasi belakang serta rundingan langsung dengan Washington.

Buat kali pertama, beberapa jeneral IRGC turut menyertai delegasi Iran dalam rundingan dengan Amerika Syarikat. Keadaan ini memperlihatkan bahawa isu diplomasi kini tidak lagi dikuasai sepenuhnya oleh Kementerian Luar. Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, yang sebelum perang mengetuai rundingan dengan Washington, dilaporkan semakin diketepikan, manakala Encik Ghalibaf mengambil alih peranan utama.

Hubungan peribadi Encik Mojtaba dengan jeneral-jeneral IRGC turut mengukuhkan keadaan ini. Ketika berusia 17 tahun, beliau menyertai perang Iran-Iraq sebagai sukarelawan dan ditempatkan dalam Briged Habib di bawah IRGC.

Pengalaman itu membentuk jaringan persahabatan jangka panjang dengan tokoh-tokoh yang kemudian meningkat dalam struktur ketenteraan dan perisikan Iran.

Antara rakan rapatnya ialah mantan ketua perisikan IRGC, Encik Hossein Taeb, dan Jeneral Mohsen Rezaei, yang pernah menjadi komandernya pada 1980-an.

Encik Ghalibaf juga merupakan sahabat lama beliau.

Selama bertahun-tahun, Encik Mojtaba, Encik Taeb dan Encik Ghalibaf dikatakan bertemu setiap minggu dalam jamuan kerja di kompleks ayatollah.

Namun, kepimpinan kolektif ini tidak bermakna semua pihak sependapat.

Presiden Masoud Pezeshkian dan Encik Araghchi masih mempunyai kerusi dalam Majlis Keselamatan Negara.

Kelompok reformis dan kelompok ultra konservatif juga masih terlibat dalam perbincangan politik. Tetapi dalam isu besar, jeneral-jeneral IRGC dilihat lebih dominan.

Perbezaan pandangan jelas muncul apabila pasukan rundingan Iran dan Amerika bersiap untuk pusingan kedua rundingan di Islamabad. Beberapa jeneral, termasuk Panglima Tertinggi Brigedier Jeneral Ahmad Vahidi, menilai rundingan tidak berguna selagi Amerika mengekalkan sekatan laut terhadap Iran.

Mereka melihat sekatan itu sebagai tanda Washington mahu memaksa Iran menyerah, bukan benar-benar berunding.

Encik Pezeshkian dan Encik Araghchi dilaporkan tidak bersetuju. Presiden memberi amaran mengenai kerugian ekonomi akibat perang yang dianggarkan sekitar AS$300 bilion ($383 bilion), serta keperluan Iran mendapatkan pelepasan sekatan untuk membina semula negara.

Namun, dalam perdebatan itu, jeneral-jeneral menang, dan rundingan gagal diteruskan.

Tekanan dalaman turut datang daripada kelompok ‘ultra tegar’ yang menolak sebarang konsesi kepada Amerika.

Penyokong mereka mengadakan perhimpunan malam, mengibarkan bendera dan melaungkan kesetiaan kepada Republik Islam.

Ada yang menuntut Encik Mojtaba mengeluarkan mesej video atau audio bagi membuktikan beliau menyokong rundingan dengan Washington.

Dalam suasana itu, Encik Ghalibaf cuba mengambil pendekatan tegas tetapi pragmatik. Dalam ucapan di televisyen negara, beliau menegaskan bahawa Iran memperoleh pencapaian ketenteraan, tetapi pencapaian itu harus digunakan sebagai modal rundingan.

“Kadang-kadang saya melihat rakyat kita berkata kita telah menghancurkan mereka,” kata Encik Ghalibaf. “Tidak, kita tidak menghancurkan mereka. Anda perlu memahami perkara ini. Kejayaan ketenteraan kita tidak bermaksud kita lebih kuat daripada Amerika.”

Analisisnya jelas. Iran tidak mengalami pertukaran rejim seperti yang digambarkan Presiden Donald Trump. Republik Islam masih berdiri. Namun, bentuk kuasanya telah berubah.

Pengaruh agamawan semakin berkurangan, manakala jeneral-jeneral IRGC menjadi pusat keputusan utama.

Era baharu Iran mungkin bukan era Encik Mojtaba Khamenei sebagai penguasa mutlak. Sebaliknya, ia ialah era kepimpinan kolektif yang dikawal oleh tentera, dengan pemimpin tertinggi bertindak sebagai simbol formal dan jeneral-jeneral menjadi penentu sebenar hala tuju perang, diplomasi dan kelangsungan negara. – Agensi berita