NEW YORK: Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menyifatkan mesyuarat berhubung Gaza bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan pemimpin negara-negara Muslim di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “sangat produktif dan positif,” dan berharap hasilnya memberi manfaat kepada rakyat Palestin.
“Kami baru sahaja menamatkan mesyuarat yang sangat, sangat produktif dan positif. Saya berpuas hati semoga hasilnya membawa kebaikan,” kata Encik Erdogan kepada wartawan.
Mesyuarat tertutup itu berlangsung bersempena dengan Perhimpunan Agung PBB ke-80 dengan kehadiran pemimpin dari Qatar, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan serta Turkey.
Apabila ditanya sama ada sidang itu boleh menghasilkan langkah nyata ke arah keamanan dan melindungi orang awam, Encik Erdogan menegaskan satu deklarasi bersama akan diumumkan tidak lama lagi.
“Deklarasi akhir kemungkinan akan diumumkan sebentar lagi. Dengan kenyataan daripada Trump dan Sheikh Tamim (Amir Qatar), hasil mesyuarat malam ini (23 September) akan menjadi jelas,” katanya.
Encik Erdogan menambah, penglibatan pihak berkepentingan serantau sangat penting bagi memastikan suara Palestin lebih kuat di peringkat antarabangsa.
Trump dalam kenyataan berasingan turut menyifatkan pertemuan itu sebagai “sangat berjaya”, dengan menekankan kehadiran negara-negara Muslim utama.
“Kami mengadakan mesyuarat yang sangat baik mengenai Gaza,” katanya.
“Ia mesyuarat yang berjaya bersama semua pemain besar, kecuali Israel, tetapi itu akan menyusul.
“Saya fikir kita boleh capai sesuatu mengenai Gaza, ia pertemuan yang baik dengan pemimpin hebat.”
Encik Trump bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai isi perbincangan, hanya menegaskan bahawa Israel mungkin akan dilibatkan dalam rundingan pada peringkat seterusnya.
Dalam pertemuan lain bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron, Encik Trump menegaskan pendiriannya yang tekal dalam menyokong Israel.
“Saya berada di pihak Israel. Saya memang di pihak Israel sepanjang hidup saya, dan kita akan dapat satu penyelesaian yang baik untuk semua,” tambah Encik Trump.
Beliau turut mengulangi bahawa Gaza perlu diberi perhatian segera.
“Kita akan bincangkan Gaza. Kita akan lihat sama ada kita boleh lakukan sesuatu. Kita mahu hentikan konflik itu. Kita mahu semua tebusan dibebaskan,” katanya.
Turkey sebelum ini lantang mengkritik serangan Israel ke atas Gaza yang disokong Hamas, dengan menuduhnya sebagai pembunuhan beramai-ramai.
Ankara juga menghentikan semua perdagangan dengan Israel, selain mendesak tindakan antarabangsa bagi menghentikan perang dan melaksanakan gencatan senjata segera.
Bagi Erdogan, mesyuarat di New York itu diharap dapat membuka ruang baru dalam usaha diplomatik untuk menamatkan peperangan yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa rakyat Palestin.
“Saya gembira dengan hasil mesyuarat dan berharap ia akan membawa kebaikan kepada rakyat Palestin,” kata Encik Erdogan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg