Eropah bantu Israel lawan kebakaran hutan
Eropah bantu Israel lawan kebakaran hutan
Eropah bantu Israel lawan kebakaran hutan
BAITUKMAKDIS: Sekutu Israel di Eropah tampil mengirimkan bantuan bagi menangani kebakaran hutan yang marak selepas Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu mengisytiharkan darurat nasional dan memohon bantuan antarabangsa.
Kebakaran hutan yang marak di luar Baitulmakdis itu dilaporkan telah memusnahkan hampir 5,000 ekar (2,023 hektar) tanah, termasuk 3,000 ekar hutan, menurut Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Israel.
Pesawat bomba dari Greece, Cyprus, Croatia dan Italy dijangka tiba menangani kebakaran dalam beberapa jam akan datang, dengan laporan bahawa Ukraine, Sepanyol, Perancis dan banyak lagi turut komited untuk menghantar bantuan.
Punca kebakaran masih tidak jelas, walaupun Encik Netanyahu berkata bahawa 18 orang telah ditangkap kerana disyaki mencetuskan kebakaran hutan.
Sekurang-kurangnya 12 orang telah dimasukkan ke hospital dan 10 telah dirawat di hospital lapangan oleh karyawan perubatan.
“Ini mungkin kebakaran terbesar pernah berlaku di negara ini,” kata komander jabatan bomba daerah Baitulmakdis, Encik Shmulik Friedman, kepada pemberita.
Beliau memberi amaran bahawa angin berkelajuan 60 batu sejam menjadikan keadaan begitu mencabar dan secara mendadak boleh meningkatkan risiko kebakaran “dalam masa terdekat”.
“Ia akan berterusan untuk masa yang sangat lama. Kami belum dapat mengawalnya sepenuhnya,” tambahnya.
Pihak berkuasa bomba dan penyelamat Israel membatalkan perintah pemindahan di kira-kira sedozen bandar di kawasan bukit Baitulmakdis pada 1 Mei.
Tiga komuniti agama Katolik yang terpaksa berpindah daripada rumah mereka telah juga dapat kembali pada 1 Mei, kata Encik Farid Jubran, jurucakap badan pentadbir komuniti Latin itu.
Beliau berkata tanah pertanian mereka, termasuk ladang anggur dan pokok zaitun, mengalami kerosakan teruk, dan beberapa bangunan rosak. Tetapi tidak ada kecederaan dan gereja bersejarah tidak terjejas.
Lebuh raya utama yang menghubungkan Baitulmakdis ke Tel Aviv telah dibuka semula, sehari selepas api mengganas di jalan raya, memaksa pemandu meninggalkan kereta mereka dan melarikan diri dalam ketakutan.
Kawasan luas yang terbakar kelihatan dari lebuh raya, manakala debu kalis api merah jambu menyelubungi bahagian atas pokok dan semak yang terbakar.
Media tempatan melaporkan bahawa komuniti sekitar 30 kilometer ke barat Baitulmakdis telah dipindahkan, dan pasukan bomba dilihat bergelut mengawal kebakaran besar.
Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben Gvir, sebelum ini dipetik sebagai membayangkan kemungkinan kebakaran tersebut berpunca daripada perbuatan khianat.
Polis memaklumkan bahawa seorang penduduk Baitulmakdis Timur telah ditahan kerana cuba membakar padang di selatan bandar itu. – Agensi berita.


