KAHIRAH/BAITULMAKDIS: Tentera Israel menyerbu dan membakar Hospital Kamal Adwan, salah satu daripada tiga kemudahan perubatan di pinggir utara Gaza, pada 27 Disember.
Ia juga mengarahkan puluhan pesakit serta ratusan orang lain keluar, kata pegawai Kementerian Kesihatan Palestin.
Di bahagian Gaza yang lain, serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk 15 orang di dalam sebuah rumah di Gaza City, kata petugas perubatan dan perkhidmatan kecemasan awam.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata hubungan dengan kakitangan di hospital di Beit Lahiya, yang telah menerima tekanan hebat daripada pasukan Israel selama beberapa minggu, telah terputus.
Timbalan Menteri Kesihatan di Gaza, Encik Youssef Abu El-Rish, berkata Israel telah membakar bilik pembedahan, makmal dan sebuah gudang simpanan bekalan di hospital tersebut.
Seperti Hospital Indonesia dan Al-Awda, Hospital Kamal Adwan telah berulang kali diserang oleh tentera Israel yang telah menyerang pinggir utara Gaza selama beberapa minggu, kata kakitangan perubatan Palestin.
Encik Youssef berkata tentera Israel telah mengarahkan 350 orang untuk meninggalkan Kamal Adwan dan pergi ke sebuah sekolah berhampiran. Mereka termasuk 75 pesakit, pengiring mereka dan 185 kakitangan perubatan.
Encik Youssef berkata tentera sedang memindahkan pesakit dan kakitangan perubatan ke Hospital Indonesia, yang telah rosak teruk dan telah dipindahkan oleh pasukan Israel sehari sebelumnya.
Kebanyakan kawasan sekitar bandar utara seperti Jabalia, Beit Hanoun, dan Beit Lahiya telah dikosongkan dan dimusnahkan secara sistematik, mencetuskan spekulasi bahawa Israel ingin menjadikan kawasan itu sebagai zon penampan selepas pertempuran di Gaza berakhir.
Pada 26 Disember, pegawai kesihatan berkata lima kakitangan perubatan, termasuk seorang pakar pediatrik, telah terbunuh akibat tembakan Israel di Hospital Kamal Adwan.
Dalam satu kenyataan, Hamas menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat atas nasib pesakit dan kakitangan hospital tersebut.
Kempen Israel terhadap Hamas di Gaza telah mengorbankan lebih daripada 45,300 rakyat Palestin. Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah dipindahkan, dan banyak kawasan Gaza kini musnah. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg