Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran hutan terbesar dekat Baitulmaqdis: Israel isytihar darurat, ribuan dipindahkan

May 1, 2025 | 11:32 AM
Api dan asap menjulang ketika kebakaran hutan marak susulan cuaca panas melampau dan angin kencang di Neve Ilan, Israel.
Api dan asap menjulang ketika kebakaran hutan marak susulan cuaca panas melampau dan angin kencang di Neve Ilan, Israel. - Foto REUTERS

BET SHEMESH: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 30 April mengisytiharkan kebakaran hutan yang semakin merebak berhampiran Baitulmakdis sebagai “darurat nasional” dan memberi amaran bahawa api boleh memasuki bandar suci itu sekiranya ditiup angin barat yang kencang.

Asap tebal kelihatan membumbung tinggi di atas lebuh raya berhampiran Baitulmakdis, manakala pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang telah mencederakan beberapa orang, memaksa tentera dikerah membantu operasi kecemasan.

Agensi penyelamat Israel, Magen David Adom (MDA), melaporkan bahawa ratusan orang awam kini berdepan risiko akibat kebakaran belukar terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut MDA, seramai 23 mangsa telah menerima rawatan perubatan, dan 13 daripadanya dimasukkan ke hospital, kebanyakannya mengalami sesak nafas dan melecur akibat asap dan api.

Antara yang cedera termasuk dua wanita mengandung dan dua bayi berusia bawah setahun.

Agensi itu turut mengesahkan bahawa tahap amaran kebakaran telah dinaikkan ke peringkat tertinggi.
“Angin barat boleh menolak api ke pinggir Baitulmakdis — dan mungkin masuk ke bandar itu sendiri,” ujar Netanyahu dalam satu kenyataan video. “Kita perlu bawa sebanyak mungkin jentera bomba dan wujudkan penampan kebakaran melepasi garisan api semasa... Kita kini berdepan darurat nasional, bukan lagi isu tempatan.”

Beliau menegaskan, “Keutamaan ketika ini adalah mempertahankan Baitulmakdis.”

Polis telah menutup lebuh raya utama antara Baitulmakdis dan Tel Aviv serta memindahkan penduduk di sepanjang laluan tersebut apabila kebakaran sekali lagi tercetus di kawasan yang pernah dilanda api seminggu lalu.

Beberapa komuniti yang menempatkan ribuan penduduk telah dikosongkan.
“Saya lihat ramai polis dan anggota bomba tiba, tapi semua itu tidak membantu. Api sudahpun menguasai seluruh kawasan ini,” kata seorang pelajar, Encik Yosef Aaron kepada AFP ketika ditemui di tepi lebuh raya dengan nyalaan api kelihatan dari jauh.

Ketua bomba, Encik Eyal Caspi, dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, berkata, “Pesawat kita tidak dapat beroperasi buat masa ini akibat keadaan cuaca... Fokus kita sekarang adalah menyelamatkan nyawa.”
“Kita mungkin sedang berdepan kebakaran terbesar dalam tempoh sedekad di Israel,” katanya.

Pasukan polis dalam kenyataan di platform X turut memaklumkan bahawa anggota telah dikerahkan secara besar-besaran ke kawasan bukit-bukau Baitulmakdis dan sekitar lebuh raya utama, sambil meminta orang awam agar tidak memasuki kawasan berisiko.

Menurut seorang wartawan AFP yang berada di lokasi, kebakaran sedang merebak di kawasan hutan di antara Latrun dan Bet Shemesh, dan helikopter dilihat berusaha memadamkan api dari udara.
Tentera Israel tiba di lokasi pada sebelah petang dan ramai pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan mereka untuk menyelamatkan diri.

Media tempatan melaporkan bahawa komuniti sekitar 30 kilometer ke barat Baitulmaqdis telah dipindahkan, dan pasukan bomba dilihat bergelut mengawal kebakaran besar.

Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben Gvir, membayangkan kemungkinan kebakaran ini berpunca daripada perbuatan khianat. Polis memaklumkan bahawa seorang penduduk Baitulmakdis Timur telah ditahan kerana cuba membakar padang di selatan bandar itu.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi yang mengaitkan insiden tersebut secara langsung dengan kebakaran besar semasa.
“Kita akan tangkap sesiapa sahaja yang terlibat dengan sabotaj kebakaran,” tegas Ben Gvir, yang turut memantau sebarang potensi rusuhan.

Encik Ben Gvir, yang juga bertanggungjawab terhadap Jabatan Bomba, telah melawat kawasan terjejas dan berkata usaha sedang dijalankan untuk membawa lebih banyak bantuan serta memindahkan penduduk yang terkandas.

MDA pula memaklumkan bahawa pasukan ambulans telah bersiap siaga di sekitar komuniti berhampiran lokasi kebakaran, bersedia memberikan rawatan dan sokongan kecemasan.
Menurut polis, suhu tinggi dan angin kencang telah menyebabkan api marak dengan pantas di kawasan berbukit, menyebabkan sekurang-kurangnya lima komuniti dipindahkan.

Kementerian Luar Israel telah menghubungi negara jiran seperti Greece, Cyprus, Croatia, Italy dan Bulgaria untuk mendapatkan bantuan memadamkan kebakaran. Pejabat Netanyahu kemudian mengesahkan bahawa tiga pesawat bantuan dari Italy dan Croatia akan tiba dalam masa terdekat.

Memandangkan kekurangan anggota dan sumber, Encik Ben Gvir turut mengarahkan semua acara malam sempena Hari Kemerdekaan yang memerlukan kehadiran anggota bomba dibatalkan.
“Keputusan ini dibuat bagi mengalih sumber sepenuhnya untuk menangani kebakaran dan bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca yang diramalkan akan bertambah buruk,” kata kementeriannya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang penduduk di Modiin, Yuval Aharoni, 40, berkata dengan nada kecewa: “Ini sangat menyedihkan kerana kami sudah jangka cuaca panas seperti ini akan menyebabkan kebakaran, namun mereka masih belum cukup bersedia dengan pesawat besar yang boleh memadam api dari udara.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg