PARIS: Eropah bersiap sedia menghadapi satu lagi hari gelombang panas luar biasa yang terus memecahkan rekod suhu di beberapa negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan awam, tekanan ke atas prasarana dan peningkatan kematian akibat cuaca ekstrem.

Perancis mencatat suhu purata harian paling panas dalam sejarah pada Jun apabila penunjuk suhu nasional negara itu mencapai 29.8 darjah Celsius pada 23 Jun, paras tertinggi sejak rekod bermula pada 1947.

Pihak berkuasa Perancis meletakkan sebahagian besar negara di bawah amaran merah, tahap amaran tertinggi yang membawa risiko “kesan kesihatan serius” kepada penduduk.

Gelombang panas kali ini melanda ketika beberapa negara Eropah masih belum benar-benar bersedia menghadapi suhu ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lebih 200,000 penduduk Eropah meninggal dunia akibat cuaca panas dalam tempoh empat tahun lalu.

Pakar menjelaskan gelombang panas menjadi semakin berbahaya apabila berlanjutan beberapa hari kerana tekanan haba terkumpul dalam tubuh manusia.

“Eropah kini menjadi antara rantau yang paling cepat memanas di dunia,” kata pakar epidemiologi kesihatan awam Perancis, Dr Mathilde Pascal.

Beliau menyifatkan gelombang panas kali ini sebagai “ujian sebenar” terhadap sistem persediaan yang dibangunkan sejak tragedi gelombang panas 2003 yang mengorbankan kira-kira 70,000 orang di seluruh Eropah.

“Kami lebih bersedia sekarang,” katanya.

Menurut beliau, pihak berkuasa telah membatalkan sesi persekolahan, menghentikan beberapa acara sukan dan meminta ramai pekerja bertugas dari rumah.

Di Paris, Menara Eiffel dan Muzium Louvre terpaksa menutup operasi lebih awal akibat suhu terlalu tinggi.

Menurut pihak pengurusan Menara Eiffel, monumen ikonik itu ditutup pada 4 petang waktu tempatan, dengan kemasukan terakhir dibenarkan sekitar tengah hari.

Pelawat yang membeli tiket bagi slot tertentu pula diberikan bayaran balik automatik.

Gelombang panas itu turut menjejas operasi tenaga apabila sebuah loji jana kuasa nuklear dihentikan sementara akibat suhu air sungai yang terlalu panas.

Lebih 44 juta penduduk Perancis kini terdedah kepada suhu ekstrem selepas empat lagi wilayah dimasukkan ke dalam kategori amaran merah.

Suhu antara 39 dengan 41 darjah Celsius dijangka melanda kawasan dari Brittany hingga Paris serta sebahagian besar barat daya Perancis.

Keadaan itu menyebabkan jualan kipas dan alat penyaman udara melonjak mendadak di negara yang kebanyakan bangunannya tidak direka untuk menghadapi haba melampau.

Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour, Encik Alexandre Bompard, berkata syarikat itu menjual 30,000 unit kipas dan penyaman udara dalam tempoh sehari.

“Itu 1,000 kali ganda lebih tinggi berbanding hari biasa,” katanya.

Platform Amazon dan rangkaian elektronik, Fnac Darty, turut melaporkan lonjakan besar jualan produk penyejukan.

Seorang jurutera dari Amerika Syarikat, Encik John Beeler, berkata beliau dan isterinya “terbakar” ketika melancong di Paris.

“Melawat Paris dalam cuaca seperti ini amat menyeksakan,” katanya sambil memegang kipas kecil.

“Kami sesak nafas di jalanan, dalam kereta api bawah tanah dan juga di tempat penginapan kami,” katanya.

Menurutnya, mereka akhirnya memutuskan berpindah ke hotel yang mempunyai penyaman udara.

Di Italy, Kementerian Kesihatan mengisytiharkan amaran merah gelombang panas di 16 bandar termasuk Rome dan Milan.

Sepanyol pula dijangka mencatat suhu melebihi 40 darjah Celsius, manakala Poland memberi amaran suhu mungkin melepasi rekod 40.2 darjah Celsius yang dicatat pada 1921.

Pantai Adriatik di Croatia juga diletakkan di bawah amaran merah menjelang hujung minggu ini.

Gelombang panas luar biasa itu turut meningkatkan kes kematian akibat lemas apabila ramai penduduk mencari kawasan air untuk menyejukkan badan.

Perancis melaporkan jumlah kematian akibat lemas meningkat kepada 40 kes sejak minggu lalu.

Perdana Menteri Perancis, Encik Sebastien Lecornu, berkata suhu melampau menyebabkan orang ramai berenang di kawasan tidak selamat.

“Ramai cuba menyejukkan badan di sungai dan tasik tanpa pengawasan,” katanya.

Antara mangsa ialah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang lemas di Sungai Seine di Paris.

Kejadian serupa turut dilaporkan di Jerman.

Menteri Belia dan Sukan Perancis, Cik Marina Ferrari, turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berenang di kawasan berbahaya ketika cuaca panas.

Pakar berkata ramai mangsa, khususnya lelaki, cenderung memandang ringan risiko ketika berada di air.

Pakar cuaca menjelaskan gelombang panas kali ini berpunca daripada corak atmosfera yang memerangkap udara panas selama beberapa hari, menyebabkan suhu terus meningkat sedikit demi sedikit.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh pemanasan sejagat.

Di Paris, bumbung zink yang menjadi identiti bandar itu turut menyumbang kepada haba melampau kerana memantulkan panas terus ke apartmen di bawahnya.

Walaupun beberapa negara Eropah sudah memperkenalkan pusat penyejukan, sistem amaran awal dan bantuan kepada warga emas sejak tragedi 2003, pakar berkata, rantau itu masih kekurangan penggunaan penyaman udara.

Hanya sekitar satu perempat rumah di Perancis mempunyai penyaman udara, manakala di Italy kira-kira separuh rumah dilengkapi sistem tersebut.

Pemerintah Perancis sebelum ini lebih menggalakkan kaedah penyejukan pasif seperti kawasan hijau dan teduhan kerana penyaman udara dianggap meningkatkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon.

Namun, gelombang panas terbaru ini menunjukkan Eropah masih bergelut menyesuaikan diri dengan realiti iklim baharu yang kian ekstrem. – Agensi berita.