Topik diikuti
Pergi ke BHkuEropah catat 50,000 kematian, GDP turun akibat musim panas
Suhu purata yang meningkat jejas infrastruktur bangunan, sistem pengangkutan dan penyejukan
Eropah catat 50,000 kematian, GDP turun akibat musim panas
LONDON: Musim panas Eropah yang melampau menyebabkan sekitar 50,000 kematian di bandar-bandar di seluruh rantau itu, angka tertinggi pernah dicatat.
Ia juga menghakis kira-kira 0.17 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Kesatuan Eropah (EU) dari April hingga September, iaitu hampir €17 bilion ($24.36 bilion).
Penemuan itu, daripada dua kajian berasingan, menunjukkan betapa rentannya Eropah terhadap kenaikan suhu pada tahun yang mungkin menjadi antara tahun terpanas dalam sejarah moden.
Anggaran jumlah kematian itu datang daripada kajian yang dikeluarkan pada 23 Oktober, diketuai saintis di Kolej Imperial London. Kajian itu mendapati hampir dua pertiga kematian akibat suhu tinggi musim panas tidak akan berlaku tanpa perubahan iklim.
Kajian terbaharu Bloomberg Economics pula mendapati kerugian GDP Eropah kali ini dua setengah kali ganda lebih besar daripada purata bagi tempoh yang sama dalam dekad sebelumnya.
Jumlah kematian keseluruhan itu, yang dicetuskan oleh rentetan gelombang haba yang memecah rekod, jauh lebih tinggi daripada tahun-tahun paling maut yang berikutnya.
Angka itu berbanding kira-kira 29,000 kematian berkaitan haba di bandar pada 2022 dan kira-kira 28,000 pada 2003, menurut kajian tersebut, yang dijadualkan diterbitkan dalam Nature Health minggu depan.
“Kami mengalami kejadian haba yang berulang. Walaupun tanpa haba tambahan daripada pemanasan akibat manusia, kejadian ini sudah berbahaya. Tetapi dengan dorongan tambahan daripada pemanasan itu, ia menjadi sangat berbahaya,” kata penyelidik cuaca ekstrem dan perubahan iklim di Kolej Imperial, Cik Clair Barnes, yang juga penulis utama kajian itu, dalam satu temu bual.
Negara-negara Eropah mengalami suhu melampau sepanjang musim panas. Gelombang haba bermula pada Mei dan berterusan hingga September, dengan rekod suhu dipecahkan dengan margin besar di banyak negara.
Suhu purata di Eropah Barat hampir 3 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata musim panas antara 1991 dengan 2020, dengan sesetengah hari mencecah sehingga 12 darjah Celsius lebih tinggi.
Di seluruh benua itu, infrastruktur penting terjejas. Kebakaran hutan memusnahkan rumah, hospital menjadi terlalu panas, sistem pengangkutan lumpuh dan sistem penyejukan pada peti sejuk serta penyaman udara rosak.
GDP Perancis susut 0.2 mata peratusan pada suku kedua akibat haba melampau, menurut penulis laporan Bloomberg Economics, Encik Ulrich Eberle. Ekonomi Jerman pula turun 0.1 peratus dalam tempoh yang sama, manakala GDP Sepanyol jatuh 0.05 peratus akibat haba.
Kajian oleh Sekolah Kebersihan & Perubatan Tropika Imperial dan London (Imperial dan London School of Hygiene & Tropical Medicine) itu meliputi 854 bandar di 30 negara merentasi EU, Britain, Switzerland dan Norway. Bandar-bandar itu mewakili sekitar 40 peratus jumlah penduduk negara-negara itu.
Kajian itu mendapati bilangan kematian berkaitan haba yang dikaitkan dengan perubahan iklim telah meningkat dari semasa ke semasa, kerana pelepasan bahan api fosil telah menaikkan suhu.
Perubahan iklim menyumbang hampir dua pertiga (sekitar 66 peratus) daripada jumlah kematian berlebihan musim panas ini, meningkat daripada kira-kira 40 peratus pada 2003. – Agensi berita.