Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerancis, Sepanyol bergelut kebakaran hutan ketika Eropah dilanda haba melampau
Perancis, Sepanyol bergelut kebakaran hutan ketika Eropah dilanda haba melampau
Angka korban kebakaran di Sepanyol capai 13 orang
Perancis, Sepanyol bergelut kebakaran hutan ketika Eropah dilanda haba melampau
PARIS: Gelombang haba yang melanda sebahagian besar Eropah terus mencetuskan kebakaran hutan besar-besaran, dengan Perancis berdepan kebakaran luar biasa berhampiran Paris, manakala jumlah kematian akibat kebakaran di Sepanyol meningkat kepada 13 orang.
Keadaan cuaca panas melampau yang memasuki gelombang ketiga musim panas tahun 2026 ini turut meningkatkan kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim, apabila kebakaran hutan, suhu tinggi dan kematian berkaitan haba terus meningkat di seluruh rantau itu.
Di Sepanyol, angka korban akibat kebakaran besar di wilayah Almeria meningkat kepada 13 orang – lima warga Britain, tiga warga Belgium, serta seorang warga Perancis dan Sepanyol adalah antara mangsa yang maut, menurut pihak berkuasa pada 13 Julai.
Pihak berkuasa turut memaklumkan 10 lagi mangsa masih hilang.
Kebakaran yang bermula pada 9 Julai lalu mengubah kawasan petempatan luar bandar yang indah menjadi bandar yang lengang, selain meninggalkan kesan kemusnahan yang dahsyat di wilayah tenggara Almeria – sebuah wilayah berhampiran pantai Mediterranean yang menjadi kediaman ramai penduduk warga asing.
Pasukan bomba terus bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang memusnahkan kira-kira 7,000 hektar hutan dan kawasan semak samun.
Keadaan angin yang lebih sempoi dan suhu yang lebih dingin pada hujung minggu telah membantu mereka mengawal kemarakan api, sekali gus membolehkan sekitar 1,500 penduduk yang dipindahkan pulang ke rumah masing-masing.
Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, yang melawat kawasan bencana, menggesa usaha pencegahan kebakaran dipertingkatkan.
“Kita perlu memperkukuh langkah pencegahan supaya tragedi seperti ini dapat dielakkan pada masa depan,” katanya.
Di Perancis, kebakaran hutan yang berlaku di Hutan Fontainebleau, kira-kira 60 kilometer di tenggara Paris, memusnahkan lebih 1,300 hektar kawasan hutan, memaksa penutupan Lebuh Raya A6 yang menghubungkan Paris dengan Lyon serta mengganggu perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.
Kebakaran itu turut memaksa kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan, manakala langit di sekitar kawasan terbabit diselubungi asap tebal.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata semua aset yang ada telah digerakkan bagi memadamkan kebakaran yang disifatkannya sebagai “kebakaran hutan berskala luar biasa”.
Buat pertama kali di kawasan sekitar Paris, empat pesawat Canadair, dua pesawat Dash dan tiga helikopter pengebom air dikerahkan bagi membantu operasi memadam kebakaran.
Komander operasi menyelamat, Jean-Marc Sicard, berkata sebanyak 187 guguran air dilakukan dari udara sepanjang operasi.
“Api masih terus merebak kerana keadaan cuaca masih tidak mengizinkan walaupun terdapat sedikit kelegaan seketika,” katanya.
Seramai 600 anggota bomba masih ditempatkan di lokasi bagi mengawal kebakaran sepanjang malam.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Laurent Nunez, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.
“Terdapat kira-kira 10 titik permulaan kebakaran dalam lingkungan satu kilometer, yang menunjukkan ia mungkin sengaja dicetuskan,” katanya.
Beliau mengesahkan dua individu ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran di Fontainebleau, termasuk seorang lelaki berusia 18 tahun yang ditemui dengan tangan dipenuhi jelaga serta memiliki pemetik api ketika ditahan.
Secara keseluruhan, polis menahan 59 individu di seluruh Perancis atas pelbagai kes berkaitan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kecuaian atau perbuatan khianat.
Menurut pemerintah Perancis, kira-kira 32,000 hektar kawasan telah terbakar sejak awal tahun, jauh melebihi keseluruhan keluasan yang musnah sepanjang tahun 2025 lalu.
Seramai 26 juta penduduk Perancis kini berada di bawah amaran merah gelombang haba, termasuk seluruh kawasan metropolitan Paris.
Suhu tinggi dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan minggu ini.
Gelombang haba yang melanda Eropah turut memberi kesan besar kepada negara lain.
Italy dijangka berdepan satu lagi gelombang haba baharu yang dijangka berlarutan sekurang-kurangnya seminggu, dengan suhu di Pulau Sardinia diramal mencecah antara 42 hingga 43 darjah Celsius.
Di Jerman pula, paras air Sungai Rhine yang semakin rendah akibat cuaca panas menyebabkan kapal kargo tidak dapat membawa muatan penuh, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan.
Sektor pertanian turut terjejas apabila petani di wilayah Emilia-Romagna, Italy, terpaksa meningkatkan penggunaan air dan sumber bagi memastikan ternakan serta pengeluaran keju Parmesan tidak terjejas.
Selain kemusnahan akibat kebakaran, gelombang haba juga mengorbankan ribuan nyawa di seluruh Eropah.
Sistem pemantauan kematian Eropah, EuroMOMO, melaporkan kira-kira 10,650 kematian berlebihan direkodkan ketika gelombang haba melanda benua itu pada penghujung Jun lalu.
Lebih 9,000 daripada jumlah itu membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas.
Ketua doktor Institut Serum Statens Denmark, dr Lasse Vestergaard, berkata cuaca panas melampau merupakan faktor utama peningkatan jumlah kematian.
“Sukar untuk menjelaskan angka kematian yang tinggi ini dengan sebab lain selain gelombang haba yang melampau,” katanya.
Sementara itu, satu kajian oleh Kolej Imperial London; Pejabat Meteorologi United Kingdom dan Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London menganggarkan kira-kira 2,700 orang meninggal dunia akibat haba di England dan Wales sepanjang Mei dan Jun.
Kajian itu mendapati 42 peratus daripada kematian berkenaan berpunca daripada peningkatan suhu akibat perubahan iklim.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu memberi amaran bahawa Eropah mungkin akan menghadapi “beberapa minggu yang lebih membawa maut” apabila gelombang haba baharu sedang terbentuk di Lautan Atlantik.
Saintis berpendapat perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan gelombang haba lebih kerap berlaku, lebih lama berpanjangan dan meningkatkan risiko kebakaran hutan yang semakin sukar dikawal.
Penduduk di kawasan terjejas turut membantu usaha memadamkan kebakaran.
Di Fontainebleau, petani menggunakan traktor untuk membawa tangki air ke lokasi kebakaran, manakala seorang jururawat, Cik Cindy Fuyard, kembali ke rumahnya selepas dipindahkan bagi membolehkan anggota bomba menggunakan air dari kolam renangnya.
“Dengan pemanasan global, saya memang menjangkakan perkara seperti ini akhirnya akan berlaku, walaupun di kawasan utara seperti ini,” katanya. – Agensi berita.
