VILLARDEVOS (Sepanyol): Cuaca panas terik menghalang usaha mengawal 20 kebakaran hutan besar di seluruh Sepanyol pada 17 Ogos, mendorong pemerintah menambah 500 tentera daripada unit kecemasan ketenteraan bagi menyokong operasi melawan api.
Di wilayah barat laut Galicia, beberapa kebakaran telah bersatu membentuk kebakaran besar.
ia memaksa penutupan lebuh raya dan perkhidmatan kereta api ke kawasan tersebut.
Eropah Selatan sedang mengalami antara musim kebakaran hutan terburuk dalam dua dekad, dengan Sepanyol menjadi antara negara yang terjejas teruk.
Hanya dalam seminggu, kebakaran di Sepanyol telah meragut tiga nyawa dan membakar kawasan berukuran lebih 115,000 hektar, manakala Portugal yang berdekatan juga sedang bergelut dengan kebakaran yang meluas.
Awal dari ini, agensi cuaca kebangsaan Sepanyol, Aemet, berkata suhu dijangka mencecah 45 darjah Celsius di beberapa kawasan pada 17 Ogos.
“Masih ada beberapa hari yang mencabar di hadapan dan, malangnya, cuaca tidak menyebelahi kita,” kata Perdana Menteri, Encik Pedro Sanchez, dalam satu sidang media di Ourense, antara kawasan paling teruk terjejas.
Beliau mengumumkan peningkatan kekuatan tentera, menjadikan sejumlah 1,900 tentera yang dikerahkan di seluruh Sepanyol.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kecemasan, Cik Virginia Barcones, memberitahu televisyen awam Sepanyol bahawa suhu dijangka turun mulai 19 Ogos, namun buat masa ini, keadaan cuaca “sangat buruk”.
“Suhu sangat tinggi hari ini (17 Ogos) dengan risiko kebakaran ekstrem, yang menyukarkan usaha memadamkan kebakaran,” kata Cik Barcones.
Di kampung Villardevos di Galicia, penduduk yang terdesak bergotong-royong memadamkan api menggunakan baldi air kerana kawasan itu tiada bekalan elektrik untuk mengepam air.
“Pesawat pemadam api datang dari semua arah, tetapi mereka tidak datang ke sini,” kata seorang penduduk, Encik Basilio Rodriguez, kepada agensi berita, Reuters, pada 16 Ogos.
Data kementerian dalam negeri menunjukkan 27 orang ditahan dan 92 sedang disiasat kerana disyaki membakar hutan sejak Jun.
Menurut data sementara Institut Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Hutan (ICNF), di Portugal, kebakaran hutan telah memusnahkan kawasan tumbuhan sekitar 155,000 hektar pada 2025.
Ia tiga kali ganda daripada purata bagi tempoh tersebut antara 2006 dengan 2024.
Sekitar separuh dari kawasan itu terbakar hanya dalam tiga hari terakhir.
Beribu-ribu anggota bomba sedang bertarung dengan lapan kebakaran besar di Portugal tengah dan utara, dengan yang terbesar berdekatan Piodao – sebuah kawasan berbukit yang indah dan popular dalam kalangan pelancong.
Kebakaran lain di Trancoso, lebih ke utara, telah berlaku selama lapan hari.
Sebuah kebakaran kecil beberapa kilometer ke timur meragut nyawa seorang penduduk tempatan pada 15 Ogos – kejadian pertama untuk musim ini. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg