Topik diikuti
Pergi ke BHkuEropah masih bergelut dengan cuaca panas luar biasa
Eropah masih bergelut dengan cuaca panas luar biasa
5 maut di Italy, Perancis dilanda gelombang haba melampau, rekod suhu Jun UK dipecah 3 kali dalam sehari
Eropah masih bergelut dengan cuaca panas luar biasa
PARIS: Gelombang haba melampau yang melanda Eropah terus bertambah buruk pada 25 Jun apabila suhu tinggi memecahkan rekod di beberapa negara, menekan sistem kesihatan, mengganggu operasi tenaga dan memaksa pemerintah memperketat langkah kecemasan.
Menurut pengiraan agensi berita, AFP, sekurang-kurangnya 101 juta penduduk Eropah dijangka berdepan suhu melebihi 35 darjah Celsius, termasuk kira-kira 50 juta orang di Perancis dan 18 juta di Jerman.
Analisis berdasarkan ramalan cuaca Jerman dan unjuran penduduk 2025 menunjukkan lebih 380 juta penduduk Eropah atau hampir dua pertiga populasi benua itu akan mengalami suhu melebihi 30 darjah Celsius pada 25 Jun.
Perkhidmatan kecemasan di seluruh Eropah kini berada pada tahap berjaga-jaga tinggi susulan peningkatan kematian berkaitan haba di Sepanyol, Italy dan Perancis.
Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya berada di dalam bangunan serta mengelakkan perjalanan tidak penting pada waktu tengah hari hingga petang.
Sekurang-kurangnya lima individu dilaporkan maut di Italy ketika negara itu berdepan gelombang haba melampau, dengan pihak berkuasa memperluaskan amaran merah ke 18 bandar utama pada 26 Jun.
Mangsa yang terkorban termasuk dua petani di wilayah utara Lodi dan Piacenza, seorang gelandangan di Naples, serta seorang lelaki yang meninggal dunia di sebuah tanah perkuburan di Garlasco, berhampiran Pavia di wilayah Lombardy.
Di Paris, pemerintah Perancis melarang penjualan dan pengambilan alkohol di tempat awam mulai 26 Jun sebagai sebahagian langkah mengurangkan tekanan terhadap hospital yang semakin sesak akibat peningkatan pesakit berkaitan cuaca panas.
Ketua Polis Paris, Encik Patrice Faure, berkata hospital kini berada pada tahap kritikal.
“Kita sedang menghampiri titik tepu di kemudahan hospital dan jumlah pesakit yang dimasukkan terus meningkat,” katanya.
Gelombang haba itu turut menjejaskan sektor tenaga apabila syarikat utiliti elektrik Perancis, EDF, menutup dua lagi reaktor nuklear, menjadikan keseluruhannya tiga reaktor dihentikan sementara operasi.
Langkah itu diambil selepas suhu sungai meningkat ke tahap berbahaya sehingga sistem penyejukan loji tidak lagi dapat beroperasi secara selamat tanpa melanggar had alam sekitar.
Switzerland turut mengurangkan operasi di loji nuklear Beznau dan memberi amaran reaktor mungkin ditutup jika cuaca panas berterusan.
Rekod suhu tertinggi bagi Jun di United Kingdom dipecahkan sebanyak tiga kali dalam tempoh satu hari, ketika gelombang haba melampau terus melanda negara itu, menurut Jabatan Meteorologi UK (Met Office).
Suhu tertinggi mencecah 36.7 darjah Celsius di Merryfield, Somerset, selepas bacaan 36.6 darjah Celsius direkodkan lebih awal di Yeovilton, sekali gus mengatasi rekod terdahulu pada hari sama.
Perkhidmatan ambulans London berkata pihaknya merekodkan jumlah tertinggi kes kecemasan mengancam nyawa dalam tempoh sehari akibat cuaca panas melampau.
Pada 24 Jun sahaja, sebanyak 642 panggilan kategori pertama diterima, termasuk kes serangan jantung dan pesakit yang tidak bernafas.
Jerman pula hampir memecahkan rekod suhu Jun apabila bandar Kirrlach di barat daya negara itu merekodkan suhu 39 darjah Celsius.
Perkhidmatan Cuaca Jerman berkata rekod suhu tertinggi Jun sebanyak 39.6 darjah Celsius yang dicatat pada 2019 berkemungkinan diatasi hujung minggu ini.
Belanda mengeluarkan amaran merah haba buat pertama kali dalam sejarah negara itu selepas suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.
Institut Cuaca Kebangsaan Belanda memberi amaran bahawa keadaan itu berbahaya.
“Situasi ini berbahaya. Ikuti arahan pemerintah dan perkhidmatan kecemasan,” menurut institut itu.
Switzerland turut mencatat rekod suhu Jun tertinggi dalam sejarah apabila bandar Basel merekodkan suhu 38 darjah Celsius, mengatasi rekod lama 36.9 darjah Celsius yang dicatat kira-kira 80 tahun lalu.
Di Slovakia, institut meteorologi negara itu mengeluarkan amaran haba tahap tertinggi bagi Sabtu dengan suhu dijangka mencecah 38 darjah Celsius di bahagian barat daya negara itu.
Di Sepanyol, sistem pemantauan, MoMo, menganggarkan sekurang-kurangnya 212 kematian antara 21 Jun dengan 24 Jun mungkin berkait dengan gelombang haba tersebut.
Kesatuan guru di Perancis turut menyeru mogok bagi membantah keadaan kerja yang disifatkan tidak selamat ketika suhu terus meningkat.
“Murid dan kakitangan sekolah kini berdepan risiko kesihatan serius,” menurut kenyataan bersama kesatuan tersebut.
Mereka turut mengkritik apa yang disifatkan sebagai “kegagalan jelas” pemerintah membuat persediaan menghadapi gelombang haba.
Pakar iklim berkata fenomena cuaca panas ekstrem kini semakin kerap berlaku di Eropah akibat perubahan iklim global.
Mereka memberi amaran bahawa sistem kesihatan, prasarana bandar dan sektor tenaga di Eropah perlu diperkukuh segera bagi menghadapi cuaca ekstrem yang dijangka menjadi lebih buruk pada masa depan. – Agensi berita.
