Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Etnik Kurdi meterai perjanjian penyatuan dengan pemerintah sementara Syria

Mar 11, 2025 | 4:30 PM
Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa dan Komander Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai etnik Kurdi, Mazloum Abdi, berjabat tangan selepas Syria mencapai persetujuan untuk menyepadukan SDF ke dalam institusi-institusi negara. Gambar ini dirakam di Damsyik dan diedarkan oleh Pejabat Presiden Syria pada 10 Mac 2025.
Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa dan Komander Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai etnik Kurdi, Mazloum Abdi, berjabat tangan selepas Syria mencapai persetujuan untuk menyepadukan SDF ke dalam institusi-institusi negara. Gambar ini dirakam di Damsyik dan diedarkan oleh Pejabat Presiden Syria pada 10 Mac 2025. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Dalam perkembangan penting yang dijangka mengubah landskap politik Syria pasca-perang, Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin oleh etnik Kurdi dan disokong Amerika Syarikat, telah menandatangani perjanjian dengan pemerintah sementara pimpinan Presiden Ahmed al-Sharaa untuk menyertai institusi negara baru Syria.

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani di Damsyik pada 10 Mac, memperlihatkan Presiden Ahmed al-Sharaa dan Komander SDF, Jeneral Mazloum Abdi, berjabat tangan – isyarat kepada dunia bahawa dua kuasa penting dalam Syria kini memilih jalan kerjasama.

Perjanjian tersebut membolehkan struktur awam dan ketenteraan yang sebelum ini dikuasai SDF di wilayah timur laut – termasuk lapangan terbang, pintu sempadan serta ladang minyak dan gas – diserap masuk ke dalam pentadbiran rasmi Damsyik.

Bagi Presiden Sharaa, yang kini berhadapan tekanan besar berikutan pembunuhan beramai-ramai melibatkan komuniti Alawiyah di Syria barat, perjanjian ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha beliau untuk menyatukan negara yang terbelah akibat 14 tahun konflik.

Dalam wawancara bersama Reuters, beliau menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap pertumpahan darah, termasuk sekutunya sendiri, akan dibawa ke muka pengadilan.

“Kami tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat dalam jenayah terhadap rakyat. Keadilan mesti ditegakkan untuk membina kepercayaan semula,” ujar Encik Sharaa dengan nada tegas.

Perjanjian ini hadir pada saat genting bagi SDF, yang selama sedekad bergantung kepada perlindungan tentera Amerika Syarikat dalam memerangi kumpulan ekstremis Daesh.

Namun, dengan dasar luar Amerika berubah secara mendadak di bawah Presiden Donald Trump, termasuk kemungkinan menarik keluar tenteranya dari Syria, SDF melihat langkah menyertai pentadbiran Damsyik sebagai bentuk perlindungan strategik.

Dalam kenyataan di platform X, Komander Abdi menyifatkan perjanjian ini sebagai satu “peluang sebenar untuk membina Syria yang baharu”.
“Kerjasama ini berlaku pada saat yang sangat kritikal, demi memastikan fasa peralihan mencerminkan aspirasi rakyat Syria terhadap keadilan dan kestabilan,” katanya.

Namun begitu, terdapat beberapa kekaburan dalam pelaksanaan perjanjian ini. Perjanjian tidak menyatakan secara terperinci bagaimana struktur ketenteraan SDF akan diintegrasikan ke dalam Kementerian Pertahanan Syria, satu isu besar yang telah membantutkan rundingan sebelum ini.

Komander Abdi sendiri sebelum ini mahu agar SDF diterima sebagai satu entiti ketenteraan secara menyeluruh, bukan sebagai individu yang diserap secara berasingan – satu cadangan yang ditolak oleh kerajaan sementara.

Penganalisis politik, Aron Lund dari badan pemikir Century International berpandangan bahawa perjanjian ini memberi ruang kepada Encik Sharaa untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang bukan anti-minoriti.

“Pembunuhan kejam di wilayah Alawiyah telah melemahkan kedudukannya, baik di dalam negara mahupun dari sudut hubungan dengan Amerika Syarikat. Perjanjian ini boleh menjadi isyarat bahawa beliau sanggup bekerjasama dengan semua pihak,” kata Encik Lund.

SDF, yang selama ini juga terlibat dalam konflik berterusan dengan kumpulan bersenjata tajaan Turkey di utara Syria, kini berdepan dilema geopolitik yang rumit. Turkey, sekutu rapat Presiden Sharaa – masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perjanjian tersebut.

Pimpinan Sharaa sebelum ini menuduh penyokong Assad masih aktif menimbulkan kekacauan di wilayah barat, dan menyifatkan keganasan terkini sebagai satu pemberontakan.

Laporan badan pemantau menyebut ratusan orang awam Alawiyah telah terbunuh sejak 6 Mac lalu, sekali gus menguji keupayaan Sharaa dalam menjaga keamanan negara.

Amerika Syarikat turut mengecam insiden pembunuhan tersebut. Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio, menyatakan bahawa keganasan itu menunjukkan cabaran besar yang dihadapi pentadbiran baharu Syria.

“Keganasan terhadap orang awam tidak boleh dibiarkan. Penyatuan politik mesti disertai dengan keadilan dan keikhlasan. Jika Syria mahu pulih, ia perlu dibina atas asas kepercayaan, bukan ketakutan,” kata Encik Rubio.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg