JALURAN GAZA: Krisis kemanusiaan di Gaza telah mencapai “tahap yang tidak dapat dibayangkan”, menurut satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh menteri luar dari 26 negara, termasuk Britain, Canada, Australia, dan Kesatuan Eropah (EU) pada 12 Ogos.
Memandangkan keadaan yang semakin memburuk itu, mereka menggesa Israel supaya membenarkan bantuan tanpa had kepada wilayah Palestin yang dilanda perang itu.
Kenyataan bersama itu juga menzahirkan keprihatinan terhadap angka kematian akibat serangan berterusan Israel dan masalah kebuluran yang terus meningkat di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan melancarkan serangan bagi menakluki wilayah tersebut.
“Tindakan segera diperlukan sekarang untuk menghentikan dan memulihkan masalah kebuluran.
“Kami menyeru pemerintah Israel supaya membenarkan semua penghantaran bantuan oleh badan-badan antarabangsa.
“Semua lintasan dan laluan mesti digunakan untuk membolehkan kemasukan bantuan ke Gaza, termasuk makanan, tempat tinggal, bahan api, air bersih, ubat-ubatan, dan peralatan perubatan,” seru kenyataan bersama itu.
Israel menafikan pihaknya bertanggungjawab terhadap kelaparan yang meluas di Gaza, menuduh Hamas mencuri penghantaran bantuan. Hamas menafikan dakwaan Israel itu.
Ekoran kritikan antarabangsa yang semakin meningkat, Israel lewat bulan lalu mengumumkan langkah-langkah untuk membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza.
Ini termasuk menangguhkan pertempuran untuk beberapa hari di beberapa kawasan dan mengumumkan laluan terlindung untuk konvoi bantuan.
Masyarakat antarabangsa bimbang akan kemusnahan besar-besaran, pemindahan paksa penduduk dan kebuluran berleluasa dalam kalangan 2.2 juta penduduk Gaza.
Bagaimanapun, negara-negara Barat menyatakan bahawa lebih banyak bantuan diperlukan dan beberapa negara telah mula menghantar bantuan melalui udara ke Gaza.
Kenyataan itu ditandatangani oleh menteri luar Australia, Belgium, Canada, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Greece, Iceland, Ireland, Jepun, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan England.
EU termasuk Italy dan Latvia kemudiannya menandatangani kenyataan itu.
Ketua Dasar Luar EU Cik Kaja Kallas, Pesuruhjaya EU untuk Mediterranean dan Pesuruhjaya Kesaksamaan, Kesediaan dan Pengurusan Krisis EU turut menandatangani kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu juga berterima kasih kepada Amerika Syarikat, Qatar, dan Mesir atas “usaha mendesak gencatan senjata dan keamanan di Gaza”.
Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya memberitahu Al Jazeera TV bahawa kebuluran di wilayah itu telah memasuki ‘peringkat yang kritikal dan berbahaya’, menjejaskan semua peringkat umur.
Kira-kira 350,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami masalah kesihatan yang serius akibat malnutrisi.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan lima lagi kematian akibat kebuluran dan malnutrisi dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk dua kanak-kanak, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan kebuluran kepada 227 orang, termasuk 103 kanak-kanak.
Jumlah keseluruhan penduduk yang terbunuh akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 telah meningkat kepada 61,599 orang, dengan 154,088 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Dalam masa yang sama, lima negara menggugurkan sejumlah 97 bungkusan makanan dari udara ke Gaza pada Selasa ketika kebuluran teruk melanda wilayah terkepung itu, lapor akhbar Xinhua.
Menurut tentera Israel, bungkusan itu dihantar oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Belgium, Perancis dan Italy sambil menyatakan bahawa penghantaran itu dibuat ‘selaras dengan arahan pimpinan tertinggi politik’.
Pihak tentera berkata pengguguran udara dijangka akan diteruskan dengan kerjasama negara luar. – Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg