MADRID: Kesatuan Eropah (EU) mengorak langkah penting pada Rabu untuk meluluskan undang-undang yang dipercayai kali pertama bagi mengawal kecerdasan buatan (AI) – satu kaedah yang boleh dicontohi oleh para pengubal dasar di dunia.
Undang-undang itu dikatakan akan dapat menentukan bagaimana pengawalan dapat dikuatkuasakan terhadap kemajuan pesat teknologi itu.
Parlimen Eropah, cabang perundangan utama EU, meluluskan draf undang-undang yang dikenali sebagai Akta AI, yang akan mengenakan sekatan ke atas apa yang dilihat sebagai penggunaan teknologi paling berisiko.
Ia akan menyekat penggunaan perisian pengecaman wajah, sambil memerlukan pembuat sistem AI seperti ChatGPT chatbot, untuk mendedahkan lebih lanjut tentang data yang digunakan bagi mencipta program mereka.
Pengundian itu adalah satu daripada langkah dalam proses panjang.
Versi muktamad undang-undang tersebut dijangka diluluskan lewat 2024.
Kesatuan Eropah berada lebih jauh berbanding Amerika Syarikat dan pemerintah barat bersaiz besar yang lain dalam mengawal selia AI.
Kumpulan yang dianggotai 27 negara itu telah membahaskan topik berkenaan lebih dua tahun.
Isu tersebut menjadi lebih terdesak selepas ChatGPT dilancarkan pada 2022, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kesan potensi teknologi terhadap pekerjaan dan masyarakat.
Para penggubal dasar di serata tempat, dari Washington hingga ke Beijing, kini berlumba-lumba untuk mengawal teknologi yang semakin berkembang ini yang turut mencemaskan pencipta awalnya.
Di Amerika, Rumah Putih telah memaklumkan pemikiran dasarnya termasuk peraturan menguji sistem AI sebelum dilancarkan kepada umum dan melindungi hak privasi.
Di China, draf peraturan itu diumumkan pada April, memerlukan pencipta chatbot mematuhi peraturan penapisan yang ketat.
Beijing juga menguatkuasakan lebih banyak kawalan terhadap cara pencipta sistem AI menggunakan data.
Sejauh mana sebarang peraturan tentang AI ini berkesan belum lagi jelas.
Sebagai tanda keupayaan baru teknologi muncul nampaknya lebih pantas daripada penggubal undang-undang mampu menanganinya.
Versi awal undang-undang EU tidak memberikan banyak perhatian terhadap sistem AI generatif seperti ChatGPT, yang boleh menyediakan teks, gambar dan video, sebagai tindak balas mengikut permintaan.
Dalam versi terkini Rang Eropah yang diluluskan pada Rabu, AI generatif akan dikenakan peraturan ketelusan baru.
Ini termasuk menerbitkan ringkasan bahan berhak cipta yang digunakan untuk melatih sistem selain saranan yang disokong oleh industri penerbitan tetapi dibantah oleh pemaju teknologi sebagai tidak boleh dilaksanakan secara teknikal.
Pencipta sistem generatif AI juga harus menyediakan perlindungan bagi melindungi mereka daripada menerbitkan kandungan yang tidak dibenarkan.
Selepas pengundian pada Rabu, versi muktamad undang-undang tersebut akan dirundingkan pula antara perwakilan tiga bahagian dalam EU.
Ia termasuk Parlimen Eropah, Suruhanjaya Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah.
Para pegawai berkata mereka berharap dapat mencapai kata sepakat yang muktamad menjelang hujung 2023. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg