GAZA: Semenanjung Gaza kini amat memerlukan bantuan kemanusiaan sedang pertempuran antara Israel-Palestin menyaksikan pemindahan hampir 150,000 penduduk di kawasan tersebut.
“Jumlah korban semakin meningkat di Gaza, dengan 150,000 orang hilang tempat tinggal dan situasi kemanusiaan sangat teruk,” kata Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Encik Josep Borrell, selepas mesyuarat tidak rasmi menteri-menteri luar dari negara-negara ahli EU.
Encik Borrell juga berkata “sebahagian besar” menteri ehwal luar EU menyokong langkah untuk terus menyalurkan dana bantuan kepada Penguasa Palestin, yang memerintah Tebing Barat.
Pada mesyuarat itu menteri-menteri EU turut menegaskan pendirian mereka dalam pelbagai isu, termasuk pembebasan tebusan, perlindungan orang awam, menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Encik Borrell turut menegaskan bahawa EU tidak bekerjasama dengan Hamas dan Hamas diklasifikasikan oleh EU sebagai pertubuhan pengganas.
Namun menurut beliau, penting untuk EU terus memberikan bantuan kepada warga Palestin menerusi Penguasa Palestin.
EU menyatakan pihaknya merupakan penyedia terbesar bantuan kepada warga Palestin.
Tahun lalu, EU menyalurkan sekitar 283 juta euro ($408.50 juta) untuk menyokong Penguasa Palestin dan agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin dan projek-projek lain, menurut Suruhanjaya Eropah.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) juga dilaporkan bersedia memberikan bantuan kesihatan kepada Israel dan Semenanjung Gaza apabila diperlukan, kata jurucakap ICRC, Cik Fatima Sator, kepada agensi berita Russia, Sputnik, pada Selasa.
“Pada Sabtu, kami dengan segera menghantar trak bantuan perubatan (usungan, katil dan beg mayat) ke hospital di Semenanjung Gaza dan sejak itu, kami telah menyampaikan bantuan tambahan.
Israel sebelum ini memutuskan bekalan air, makanan, elektrik dan bekalan penting lain ketika ia mengebom sasaran di kawasan Palestin sebagai tindak balas terhadap serangan mengejut Hamas yang disamakan dengan serangan 9/11.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menggesa supaya koridor kemanusiaan diwujudkan untuk memasuki dan keluar dari Semenanjung Gaza yang sudah dikepung sepenuhnya oleh Israel.
WHO memaklumkan bekalannya di Semenanjung Gaza sudah kehabisan, kerana pesakit yang berada di hospital wilayah itu sangat memerlukan bekalan berkenaan.
“WHO menyeru untuk menamatkan keganasan... koridor kemanusiaan diperlukan untuk disampaikan kepada orang yang mempunyai bekalan perubatan kritikal. Kami memerlukan bekalan untuk masuk, hospital tidak boleh beroperasi tanpa bahan api, tanpa elektrik.
“Bekalan yang kami sediakan sudah hampir habis jadi kami memerlukan bekalan itu untuk tiba di sini,” kata jurucakap WHO, Encik Tarik Jasarevic, pada taklimat akhbar di Geneva.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB berkata koridor kemanusiaan itu bagi menyalurkan bantuan makanan ke Gaza.
“Apabila konflik semakin meningkat, orang awam, termasuk kanak-kanak dan keluarga yang terdedah, menghadapi cabaran semakin meningkat dalam akses bekalan makanan penting.
“WFP menggesa akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas, menyeru semua pihak menegakkan prinsip undang-undang kemanusiaan termasuk memastikan akses kepada makanan,” menurut WFP yang berpangkalan di Rome.
Menurut laporan Reuters, agensi PBB itu menyediakan bantuan makanan terus kepada kira-kira 350,000 rakyat Palestin setiap bulan, sementara turut menawarkan bantuan kepada hampir satu juta rakyat Palestin dengan kerjasama rakan kemanusiaan lain melalui pemindahan wang tunai.
WFP berkata ia bersedia menyediakan stok makanan awal untuk orang yang dipindahkan atau berada di tempat perlindungan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg