BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan mengenakan tarif balas terhadap barangan Amerika Syarikat bernilai €26 bilion ($28.3 bilion) bermula bulan April, sebagai tindak balas terhadap keputusan Washington menaikkan tarif ke atas import keluli dan aluminium.
Perkara itu diumumkan oleh Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan rasmi pada 12 Mac.
Menurut Suruhanjaya Eropah, EU akan menamatkan penggantungan semasa terhadap tarif barangan Amerika mulai 1 April dan akan memperkenalkan satu pakej tindakan balas tambahan menjelang pertengahan April.
“Langkah ini menyamai skala ekonomi tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Tindakan balas kami akan dilaksanakan secara berperingkat – bermula 1 April dan berkuat kuasa sepenuhnya pada 13 April,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Beliau turut menyatakan bahawa EU bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pihak Amerika dan telah mengamanahkan Pesuruhjaya Perdagangan, Maros Sefcovic, untuk menyambung rundingan bagi mencari penyelesaian yang lebih baik.
“Kami terbuka untuk dialog yang bermakna, namun kami tidak akan berdiam diri terhadap tindakan yang menjejas industri Eropah,” tegas Cik von der Leyen.
Tindakan EU ini diambil selepas Presiden Amerika, Donald Trump, menguatkuasakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas keluli dan aluminium pada 12 mac, selepas pengecualian terdahulu termasuk kuota bebas cukai dan pengecualian produk tertentu tamat tempoh. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg