BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan komitmen hampir AS$1 bilion ($1.28 bilion) bagi membantu usaha pemulihan awal di Jaluran Gaza.

Pada yang sama, Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, merayu agar negara Arab mengaktifkan bantuan kewangan kecemasan bagi mengelakkan krisis pentadbiran Palestin daripada menjadi lebih parah.

Pengumuman itu dibuat Pesuruhjaya EU bagi Mediterranean, Cik Dubravka Suica, pada persidangan penderma di Brussels yang menghimpunkan negara Eropah, wakil Palestin serta rakan antarabangsa bagi mempercepat usaha membangunkan semula Gaza selepas perang.

Menurut Cik Suica, dana berjumlah hampir 900 juta euro ($1.32 bilion) itu akan digunakan untuk memulihkan perkhidmatan asas, membersihkan runtuhan bangunan serta membaiki sistem bekalan air dan sanitasi yang musnah akibat konflik.

“Kini kita memerlukan keadaan di lapangan yang membolehkan bantuan ini sampai kepada rakyat Gaza,” katanya.

Beliau berkata negara penderma mahu memulakan fasa yang dikenali sebagai pemulihan awal iaitu langkah pertama sebelum projek pembinaan semula berskala besar dapat dilaksanakan.

“Kami mahu menunjukkan kesediaan untuk memulakan proses pemulihan. Tetapi bagi menjayakannya, pelucutan senjata Hamas perlu bermula supaya proses pembinaan semula dapat berjalan dengan baik,” ujarnya.

Menurut EU, Cik Suica sebelum ini mengadakan lawatan ke Israel dan mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa negara itu bagi melaksanakan dua projek utama berkaitan pengurusan sisa pepejal dan bekalan air di Gaza.

Antara negara yang menyumbang kepada dana berkenaan ialah Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Italy, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden dan Switzerland, selain Suruhanjaya Eropah serta Bank Pelaburan Eropah.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bahawa keperluan kemanusiaan di Gaza masih amat besar.

PBB menganggarkan proses pembinaan semula akan mengambil masa bertahun-tahun serta memerlukan dana puluhan bilion dolar Amerika memandangkan kekurangan bahan binaan dan peralatan untuk membersihkan runtuhan masih menjadi cabaran utama.

Mesyuarat di Brussels itu turut dihadiri Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Mustafa, yang membentangkan kemajuan reformasi pentadbiran Palestin sebagai syarat bagi mendapatkan bantuan antarabangsa berterusan.

EU yang merupakan penderma antarabangsa terbesar kepada Palestin memuji usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan.

“Kami sedar cabaran besar yang sedang dihadapi. Saya ingin mengiktiraf segala usaha yang telah dilakukan.

“Adalah sangat penting supaya reformasi ini dilaksanakan sepenuhnya,” kata Cik Suica kepada Encik Mustafa.

Antara reformasi paling sensitif adalah perubahan terhadap sistem pembayaran bantuan kepada tahanan Palestin serta keluarga mereka yang terkorban dalam konflik, yang sering menjadi pertikaian dengan Israel dan beberapa negara Barat.

Cik Suica berkata EU masih menunggu keputusan audit bebas bagi memastikan dana bantuan tidak disalahgunakan atau jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya.

Encik Mustafa menegaskan program pembaharuan yang dilaksanakan pentadbiran Palestin telah “melebihi jangkaan”.

Persidangan itu turut disertai wakil Majlis Keamanan dan Ketenteraman yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi membantu penyelarasan usaha membangunkan semula Gaza selepas perang.

Cik Suica berkata kehadiran jawatankuasa itu penting bagi memastikan semua usaha pemulihan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Abbas menggesa Liga Arab segera mengaktifkan Jaringan Keselamatan Kewangan Arab, iaitu mekanisme bantuan kecemasan yang diwujudkan bagi membantu belanjawan Palestin ketika Israel menahan hasil cukai milik Palestin.

Rayuan itu disampaikan menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Nabil Fahmy, melalui Wakil Tetap Palestin ke Liga Arab, Encik Muhannad Al-Aklouk, di ibu pejabat organisasi itu di Kahirah.

Dalam surat berkenaan, Encik Abbas menegaskan negara-negara Arab mempunyai tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat Palestin menghadapi tekanan akibat serangan berterusan Israel di Gaza serta Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur.

Beliau turut mendakwa tindakan Israel menahan hasil cukai Palestin yang dikutip bagi pihak pemerintah Palestin merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menjadi punca utama krisis kewangan yang kian meruncing.

“Tindakan itu menjejas keupayaan pemerintah Palestin memenuhi tanggungjawab asas kepada rakyat,” katanya.

Sebagai respons, Encik Fahmy memberi jaminan bahawa Liga Arab akan terus berusaha menyokong perjuangan Palestin dan membantu menangani tekanan ekonomi yang dihadapi.

Menurut pakar Timur Tengah di Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Joost Hiltermann, bantuan kewangan kecemasan daripada negara Arab kini menjadi faktor penentu kelangsungan pentadbiran Palestin.

“Tiada jalan keluar lain. Untuk terus bertahan, pemerintah Palestin memerlukan dana itu,” katanya.

Beliau menambah, Israel dipercayai telah menahan hasil kastam dan cukai import Palestin sejak Mei 2025, sekali gus mengurangkan sebahagian besar pendapatan pemerintah Palestin.

Krisis itu memberi kesan kepada kira-kira 200,000 kakitangan sektor awam serta keluarga mereka, melibatkan hampir sejuta penduduk di Tebing Barat yang bergantung kepada pendapatan tersebut.

“Ia turut menjejas mutu perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

“Ada sekolah yang terpaksa menjalankan kelas secara dalam talian kerana kekurangan dana untuk beroperasi sepenuh masa dan membayar gaji guru,” katanya.

Mekanisme Jaringan Keselamatan Kewangan Arab, yang dipersetujui pada 2012, membolehkan sehingga AS$100 juta disalurkan kepada pemerintah Palestin sekiranya Israel menahan hasil cukai yang menjadi sumber utama pembiayaan pentadbiran di Tebing Barat.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dengan Hamas dicapai pada Oktober 2025, usaha pembinaan semula Gaza serta pemulihan ekonomi Palestin masih berdepan ketidaktentuan.

Ia berikutan proses pelaksanaan fasa kedua perjanjian, termasuk pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel, yang masih belum menunjukkan kemajuan. – Agensi berita.