Golongan memerlukan warga Singapura akan terus menikmati penjimatan bagi barangan keperluan harian seperti beras dan telur sehingga 31 Disember 2026, selepas Kumpulan FairPrice (FPG) pada 18 Disember mengumumkan lanjutan skim diskaun hariannya.
Lanjutan itu akan meliputi diskaun buat warga emas, pemegang kad Generasi Perintis (PG) dan Generasi Merdeka (MG), serta Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru dan jingga, lapor The Straits Times (ST).
Diskaun tersebut sepatutnya berakhir pada 31 Disember.
FPG merupakan peruncit pertama dan satu-satunya yang melancarkan skim diskaun untuk pemegang kad Chas jingga pada Oktober 2024.
Skim diskaun untuk pemegang kad Chas biru pula diperkenalkan pada 2021.
Skim diskaun itu dibiayai oleh cabang dermawan FPG, Yayasan FairPrice.
Diskaun lain dibiayai oleh FPG.
Kad jingga adalah bagi isi rumah dengan pendapatan bulanan setiap orang antara $1,501 dengan $2,300.
Kad biru pula bagi pendapatan bulanan setiap orang $1,500 dan ke bawah.
Untuk menikmati diskaun, pelanggan perlu mengesahkan maklumat mereka di aplikasi FPG dengan Myinfo melalui Singpass untuk membayar barangan mereka.
Sebagai alternatif, mereka boleh menunjukkan kad keahlian secara fizikal atau digital ketika membuat pembayaran.
Diskaun itu sah hingga $200 setiap transaksi sehari.
FPG berkata sepanjang 2025, ia telah mengembalikan lebih $25 juta kepada pelanggan dan ahli melalui penebusan Linkpoints dan skim diskaun warga emas, PG, MG, Chas biru dan jingga.
Sepanjang 2025, ia turut memperkenalkan Baucar Pulangan FairPrice, penggandaan diskaun bagi pemegang kad Chas biru dan jingga untuk 60 hari pertama 2025 dan pembekuan harga makanan laut dan sayur-sayuran menjelang Tahun Baru Cina.
Anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Link juga menikmati tawaran bernilai lebih $5 juta di pasar raya FairPrice dan cawangan Kopitiam terpilih sempena Hari Pekerja dan penjimatan bernilai lebih $1,000 melalui lebih 400 baucar unik menerusi kempen Jimat Setiap Hari.
“Semasa kita memasuki musim perayaan, adalah penting untuk ingat bahawa ramai di Singapura masih menghadapi cabaran mengakses keperluan harian untuk keluarga dan orang tersayang mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FPG, Encik Vipul Chawla.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg