WASHINGTON: Seorang pegawai Biro Siasatan Federal (FBI) memberitahu Kongres pada 18 Julai bahawa lelaki bersenjata yang cuba membunuh mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggunakan telefon bimbitnya dan peranti lain untuk mencari imej Encik Trump dan Presiden Joe Biden serta beberapa tokoh awam.
Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, juga mencari tarikh kemunculan Encik Trump dan Konvensyen Kebangsaan Republikan, kata pegawai tersebut.
Butiran pencarian laman webnya menimbul keprihatinan terhadap keadaan mentalnya dan dia telah memberi gambaran tentang rancangan serangannya dalam platform permainan yang sering dikunjunginya.
Dia juga pernah memberitahu rakan pemain yang dia merancang melakukan sesuatu yang besar pada 13 Julai – hari dia cuba membunuh Encik Trump.
Pendedahan itu, yang dibuat semasa taklimat peribadi kepada penggubal undang-undang oleh FBI dan ketua Perkhidmatan Rahsia, menampilkan gambaran paling lengkap setakat ini mengenai seorang bakal pembunuh tanpa sejarah jenayah, atau fahaman politik yang jelas.
Namun tiada motif jelas mengapa dia melakukan serangan itu.
Beberapa bekas rakan sekelas berkata mereka tidak pernah mendengar Crooks meluahkan ideologi politik tertentu.
Tetapi Vincent Taormina, bekas rakan sekelas sekolah menengahnya, menyatakan Crooks pernah menghina ahli politik Demokrat dan Republikan.
Encik Taormina teringat semasa perbahasan politik di bilik darjah, Encik Taormina menyuarakan sokongannya kepada Encik Trump tetapi Crooks tidak mempercayainya.
“Dia kata, bukankah anda orang Hispanik? Kenapa anda suka Trump?’” kata Encik Taormina sambil menambah Crooks kemudian menyatakan beliau bodoh.
FBI telah menyelongkar barangan milik Crooks sejak kejadian pada 13 Julai. Ini termasuk dua telefon bimbitnya dan sekurang-kurangnya sebuah komputer riba untuk mendapatkan petunjuk tentang motifnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg