Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan trak elektrik di Las Vegas: Polis siasat kaitan dengan rempuhan New Orleans

Jan 2, 2025 | 10:51 AM
Kenderaan elektrik, Tesla Cybertruck, dilaporkan berhenti di hadapan pintu kaca Trump International Hotel sebelum berlaku letupan besar. Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk hotel sebelum meletup dan terbakar, diikuti oleh letupan kecil yang kelihatan seperti bunga api.
Kenderaan elektrik, Tesla Cybertruck, dilaporkan berhenti di hadapan pintu kaca Trump International Hotel sebelum berlaku letupan besar. Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk hotel sebelum meletup dan terbakar, diikuti oleh letupan kecil yang kelihatan seperti bunga api. - Foto REUTERS

LAS VEGAS: Sebuah kenderaan trak elektrik, Tesla Cybertruck, meletup dan terbakar di luar Trump International Hotel di Las Vegas pada 1 Januari, mengorbankan pemandunya dan mencederakan tujuh mangsa.

Biro Siasatan Federal (FBI) kini menyiasat sama ada kejadian tersebut adalah serangan keganasan, kata pihak berkuasa.

Video yang dirakam saksi menunjukkan letupan dan api yang menyambar trak tersebut di kawasan berhampiran pintu masuk hotel.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam selepas serangan trak pikap di New Orleans yang mengorbankan 15 nyawa semasa sambutan Tahun Baru.

Kenderaan elektrik itu dilaporkan berhenti di hadapan pintu kaca Tump International Hotel sebelum berlaku letupan besar, kata Sherif Las Vegas, Encik Kevin McMahill, dalam sidang media.

Menurut FBI, masih belum dapat dipastikan sama ada letupan itu berkait dengan pengganasan.

“Kami faham ramai yang ingin tahu sama ada ini adalah serangan pengganasan... itu yang sedang kami usahakan,” kata Ejen Khas FBI, Encik Jeremy Schwartz.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, menjelaskan bahawa letupan itu tiada kaitan dengan Cybertruck itu sendiri.

“Kami telah mengesahkan bahawa letupan itu berpunca daripada bunga api besar atau bom yang dibawa di bahagian belakang trak dan bukan disebabkan oleh kenderaan itu sendiri,” tulis Musk di wadah media sosial X.

Encik Musk menyatakan bahawa seluruh pasukan kanan Tesla sedang menyiasat kejadian tersebut, sambil berkata belum pernah ada kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini.

Data automatik dari trak tersebut menunjukkan semuanya berada dalam keadaan normal sebelum letupan.

Menurut Encik McMahill, trak model 2024 itu, tiba di hotel sekitar 8.40 pagi waktu tempatan.

Trak itu telah disewa melalui perkhidmatan perkongsian kenderaan Turo, sama seperti kenderaan yang digunakan dalam serangan di New Orleans.

Letupan itu menyebabkan seorang meninggal dunia di lokasi, sementara tujuh lagi mengalami kecederaan ringan. Dua daripada mereka dirawat di hospital.

Hotel Trump telah dikosongkan, dan pengunjung dipindahkan ke hotel berdekatan sebagai langkah keselamatan.

Naib Presiden Eksekutif Trump Organization, Encik Eric Trump, turut memberi kenyataan di media sosial X.

“Awal hari ini, kebakaran dilaporkan berlaku melibatkan kenderaan elektrik di pintu masuk Trump Las Vegas,” katanya.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kaitan antara kejadian itu dengan serangan di New Orleans yang berlaku pada hari yang sama.

Dalam kes New Orleans, alat letupan berpotensi telah ditemukan dalam kenderaan yang digunakan.

Siasatan masih dijalankan untuk memahami motif sebenar serangan tersebut, dengan pihak FBI berusaha mengenal pasti sama ada terdapat hubungan antara kedua-dua kejadian tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg